Ikhlas Di Sepanjang Perjalanan
Zulkifly Bin Mohd Yunus | Aina Amidin
Apa juga amal, baik yang kecil mahupun besar, niat yang ikhlas tak pernah terpisah daripada syarat diterima amal tersebut oleh Allah. Demikian Rasulullah SAW menekankan persoalan ini dalam hadis, "Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya, dan bagi setiap amal apa yang ia niatkan...", supaya umat Islam sentiasa segar dalam niat Ubudiyyah kepada Allah.Hanya kerana Allah dan untuk Allah semata-mata.
Banyak dalil yang boleh kita cari untuk bercerita tentang niat. Kita bukan berhadapan dengan kekurangan dalil, namun kurang penghayatan.
Amal yang kelihatan seperti ibadah boleh bertukar menjadi tidak bernilai dengan niat yang tersasar. Sedangkan amal yang kelihatan kecil dan kurang signifikan di mata manusia, boleh menjadi sesuatu yang amat besar nilainya di sisi Allah dengan niat yang tulus. Solat yang didasari riyak adalah dicela, sedangkan salam dan senyum yang ikhlas untuk menghubungkan silaturrahim kerana Allah itu besar nilainya.
Kita harus sentiasa meluruskan niat. Selagi ada hayat, selagi itu niat akan sentias teruji. Niat asal yang baik dan suci boleh bertukar menjadi keji jika kita tidak sentiasa muhasabah dalam perjalanan. Jangan mengatakan jemu jika pesan tentang meluruskan niat sentiasa diulang-ulang. Selagi kita masih hidup, selagi itu kita harus sentiasa menghayatinya kerana hati manusia lebih cepat berbolak balik daripada air yang menggelegak. Ikhlaskan niat di awal amal, dan sentiasalah meluruskannya sepanjang beramal dan setelah amal tersebut selesai dilaksanakan.
Demikianlah yang berlaku dalam perjalanan sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat. Hadis tentang niat disampaikan Rasulullah SAWn setelah peristiwa hijrah, 13 tahun setelah berjalannya dakwah dan tarbiyah. Tiba di perang Badar, para sahabat diingatkan lagi untuk berperang hanya kerana Allah, bukan kerana marah. Selesai perang Uhud yang menyakitkan, para sahabat belajar bahawa niat untuk mendapatkan harta rampasan perang dan tidak mengikut perintah Rasulullah SAW adalah salah. Ketika ada yang ingin masuk Islam untuk mendapatkan kedudukan-kedudukan yang tertentu, Rasulullah SAW terus memperbetulkan niat mereka dengan menjanjikan Syurga, bukannya dunia.
Bahkan setelah kewafatan Nabi SAW, Abu Bakar RA terus menjalankan peranan meluruskan niat para sahabat bahawa perjuangan ini adalah untuk Allah dan mesti diteruskan sekalipun Muhammad SAW sudah dipanggil Ilahi. Begitu juga Umar RA, beliau menukarkan jawatan pemimpin tentera yang dipegang oleh Khalid Al-Walid RA kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah RA ketika peperangan sedang berlangsung, demi meluruskan niat para tentera Islam bahawa perjuangan ini ikhlas untuk Allah, sekalipun bukan dipimpin Khalid RA.
Keikhlasan kita tak dapat dibandingkan dengan keikhlasan para Sahabat RA. Tidak terbanding dengan keikhlasan Ka'ab Bin Malik ketika mengakui bahawa beliau tidak turut serta perang Tabuk kerana kelalaiannya, tidak terbanding dengan keikhlasan Abu Dzar Al-Ghifari RA ketika beliau meletakkan kepala di tanah untuk diinjak Bilal RA, saat beliau memanggil Bilal RA dengan panggilan "anak budak hitam" dan ditegur Rasulullah SAW bahawa dalam dirinya masih punya sisa-sisa jahiliyyah. Apatah lagi nak dibandingkan keikhlasan Abu Ubaidah Al-Jarrah mencabut besi di wajah Nabi SAW dalam perang Uhud sehingga giginya tercabut, atau keikhlasan Mush'ab Ibnu Umair mempertahankan panji Islam sehingga tangannya terpotong dan nyawanya melayang.
Ah, dengan keikhlasan kita yang belum benar-benar dibuktikan, bukankah kita yang lebih patut untuk menggandakan usaha meluruskan kembali niat sepanjang masa? Jangan kita merasa selamat dan takkan terpaling daripada kebenaran dengan melihat kepada keimanan yang kita 'rasa'kan kuat sekarang, kerana kisah berpaling juga pernah berlaku pada zaman Sahabat RA. Dalam sebuah majlis Rasulullah SAW yang dihadiri beberapa sahabat, baginda berpesan bahawa akan ada salah seorang daripada mereka yang gigi gerahamnya di dalam neraka lebih besar daripada bukit Uhud (ertinya akan menjadi ahli neraka). Setelah kewafatan Nabi SAW, Raj'al Bin 'Unfuwwah (salah seorang yang berada dalam majlis tersebut) dihantar Abu Bakar RA untuk mengembalikan Musailamah Al-Kazzaab (pemimpin golongan murtad) kepada kebenaran. Tatkala dia melihat ramainya pengikut Musailamah dan termakan kata-kata manis si penipu itu, Raj'al akhirnya murtad. Riwayat hidupnya akhirnya ditamatkan oleh Zaid Bin Khattab dalam perang Yamamah. Demikianlah kisah salah seorang yang pernah bersama dalam majlis Rasulullah SAW, beriman dengan risalah baginda, akhirnya mati dalam keadaan kafir.
Kita tidak pernah bertemu dan bersama dengan baginda SAW. Kita tidak pernah berada dalam majlis baginda SAW yang begitu menghidupkan hati. Kita amat rindu untuk bertemu dengan baginda SAW di syurga. Bagaimana mungkin syurga itu layak bagi kita, jika kita tidak sentiasa meluruskan niat 'Ubudiyyah kepada Allah? Tiada jaminan bahawa kita akan sentiasa berada atas jalan yang lurus. Barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tiadalah yang dapat memberi petunjuk. Maka bersungguh-sungguhlah kita memohon agar Allah menetapkan hati kita dalam agama-Nya, dalam ketaatan kepada-Nya.
Rasulullah SAW dan para sahabat telah meninggalkan teladan yang terbaik tentang menjaga keaslian niat. Jangan sampai keaslian itu kita cemari, sehingga generasi yang kita lahirkan nanti adalah generasi yang lebih jauh daripada niat asal perjuangan yang suci, iaitu untuk Allah. Jangan sampai amal-amal yang besar yang boleh membawa ke Syurga, memasukkan kita ke neraka kerana niat yang tercemar. Biarpun kita sakit dalam mempertahankan niat, kesakitan kita tidak sampai seperti Khabbab Bin 'Arat yang dipanggang atas bara yang beliau gunakan untuk membuat pedang, sehinggakan lemak daripada belakang badannya memadamkan bara api tersebut. Kesakitan kita tidak seperti Bilal RA, yang menahan batu besar dalam teriknya matahari kerana menjaga keikhlasan 'Ubudiyyahnya, "ahad...ahad...".
Tulisan ini adalah tentang meluruskan niat sepanjang hayat, sepanjang zaman. Di fasa manapun kehidupan kita, jangan pernah leka membiarkan niat tersasar walaupun sedikit. Kerana asal penyimpangan yang besar adalah kelengahan terhadap perkara-perkara kecil di peringkat awal. Jangan biarkan niat Ubudiyyah kita berubah ketika sampai kepada titik pernikahan, atau dikurniakan cahaya mata, diberikan harta yang begitu mempesonakan, diberikan jawatan dengan begitu banyak keistimewaan. Jika sebelum sampai kepada fasa-fasa tersebutpun kita begitu lengah dengan persoalan niat, maka jangan terlalu yakin bahawa niat kita akan sentiasa tulus ketika kita sampai kepada fasanya.
Hargailah, ketika di awal setiap majlis pertemuan, ada yang berpesan "mari kita sama-sama luruskan niat". Kata Ibnu Atho'Illah As-Sakandari, "Antara tanda-tanda kejayaan di akhir perjalanan itu adalah kembali kepada Allah di awal perjalanan".
Semoga Allah membersihkan niatku dan niatmu.
Wallahua'lam.
Biodata Penulis
Zulyunus merupakan seorang manusia biasa yang sedang berjalan menuju kehidupan abadi. Bukan yang terbaik, tapi sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Terbuka untuk menerima kritikan dan pendapat untuk sama-sama difikirkan. Berkongsi karya di zulyunus.blogspot.com.
Ulasan
Catat Ulasan