Apa Itu Aurat, Hijab, Jilbab Dan Niqab
Assalamualaikum...
Adalah suatu perkara yang indah jika seseorang itu berhijrah untuk memahami dan melaksanakan tuntutan berhijab. Namun dewasa ini perkara atau hukum hijab ini seolah-olah dianggap sebagai peredaran fesyen yang sekadar menjadi sebutan dan trend. Pihak yang memberi pengaruh dan ikutan semestinya dari golongan selebriti disebabkan oleh faktor populariti. Namun yang demikian, perkara hijab dan jilbab ini merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan. Apa yang merisaukan adalah pemahaman terhadap tuntutan ini disalah ertikan dengan pelaksanaan yang sarkastik semata-mata.
AURAT
Aurat merupakan istilah Arab yang bermaksud bahagian anggota badan yang wajib ditutup (haram jika dipamerkan) kepada orang asing (ajnabi) yang bukan muhrim. Diperjelaskan lagi, batas aurat juga merangkumi jenis pakaian yang tidak menonjolkan bentuk tubuh badan. Secara dasarnya dinyatakan bahawa batas aurat bagi lelaki adalah di antara pusat hingga ke lutut. Berlainan pula dengan aurat yang ditekankan kepada golongan wanita. Aurat bagi kaum wanita merangkumi :
- Di hadapan saudara lelaki (muhrim) diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali kepala dan tangan.
- Ketika bergaul sesama wanita muslim aurat bagi wanita itu adalah dari pusat hingga ke lutut
- Ketika bergaul di kalangan wanita bukan muslim adalah diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Namun bagi sesetengah pendapat para ilmuan batas aurat wanita muslim kepada wanita bukan muslim adalah sama dengan batas aurat ketika bergaul sesama muslim
- Apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrim pula diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan
- Aurat ketika solat adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan
Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa suara juga merupakan aurat bagi kaum wanita. "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (terjemahan langsung adalah: 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada :
- Suami mereka atau
- Bapa mereka atau
- Bapa mertua mereka atau
- Anak-anak mereka, atau
- Anak-anak tiri mereka atau
- Saudara-saudara mereka atau
- Anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
- Anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
- Perempuan-perempuan Islam atau
- Hamba-hamba mereka atau
- Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan
Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur: Ayat 31)
HIJAB
Pelaksanaan hijab adalah perkara wajib yang diperjelaskan secara nyata di dalam Al-Quran. Secara umumnya hijab itu membawa maksud cara menutup aurat bagi lelaki dan juga perempuan dengan sempurna.
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." - [Surah Al-A'raaf: Ayat 26]
JILBAB
Jilbab adalah tuntutan dalam pelaksanaan hijab yang sebenar. Perkara ini dijelaskan dengan penurunan ayat Al-Quran dari petikan surah Al-Ahzab. Jilbab merupakan kaedah atau fesyen pakaian yang labuh. Jika dilihat kepada revolusi wanita Islam masa kini, fesyen pemakaian tudung labuh adalah teramat kurang sekali untuk dilihat. Malahan di negara Malaysia ini, golongan yang bergelar ustazah juga kurang dilihat mengenakan pakaian berunsur jilbab.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [Surah Al-Ahzab: Ayat 59]
NIQAB
Niqab adalah sehelai kain yang digunakan untuk menutupi muka seorang wanita kecuali mata yang lebih dikenali sebagai "purdah". Pemakaian niqab bagi seorang wanita menjadi persoalan para cendekiawan sama ada ianya wajib ataupun tidak. Namun begitu, penggunaan purdah dipersetujui bahawa adalah sangat dicadangkan.
PENUTUP
Hukum menutup aurat adalah wajib bagi setiap insan yang bergelar muslim. Namun, pelaksanaan hukum ini tidak mendapat perhatian oleh kebanyakan umat Islam dewasa ini. Walaupun kita berada di dalam sebuah negara yang diiktiraf sebagai negara Islam, tetapi tiada undang-undang khusus yang mewajibkan etika menutup aurat. Oleh yang demikian, perihal hukum menutup aurat mula dipandang sebagai hukum yang boleh diringan-ringankan. Sedangkan hakikatnya hukum menutup aurat ini sememangnya diketahui sebagai WAJIB bagi umat Islam, tetapi begitu sukar memenuhi tuntutan hukum ini sebagai tunjang kekuatan iman...
Sumber : IluvIslam
Sumber : IluvIslam
Ulasan
Catat Ulasan