Ibadat puasa tercela jika tidak hirau solat fardu
Keghairahan
menjalani ibadat Ramadan, banyak perkara sering kita abaikan sehingga
menjejaskan amalan di bulan mulia ini. Antara kesilapan dilakukan ialah ibu bapa
begitu bersungguh-sungguh menyuruh dan melatih anak kecil berpuasa tetapi tidak
memberi penekanan terhadap latihan solat.
Pendakwah bebas,
Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata penekanan terhadap amalan solat lebih
diutamakan dengan Rasulullah SAW sendiri memerintahkan ibu bapa supaya menyuruh
anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun.
Katanya, tiada
nas khusus mengenai umur diperintahkan berpuasa bagi kanak-kanak, tetapi ulama
menyamakannya seperti perintah solat berdasarkan kemampuan anak-anak.
Di sini,
menunjukkan perintah melatih anak supaya bersolat ketika berusia tujuh tahun
lebih utama. Kesimpulannya, tidak salah menyuruh anak berpuasa tetapi pada masa
sama perlu bersungguh-sungguh melatih mereka solat, katanya.
Katanya,
kesilapan lain yang sering dilakukan ketika Ramadan ialah bersungguh-sungguh
melaksanakan solat tarawih secara berjemaah yang hukumnya sunat tetapi
mengabaikan solat Subuh dan fardu lain secara berjemaah yang lebih dituntut.
Ke masjid ketika
Ramadan
Malah, ada yang
ke masjid ketika Ramadan saja, tetapi tidak ke masjid untuk berjemaah di bulan
lain.
Lebih malang
katanya, mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat terutama solat Subuh dan
Asar.
Ramai yang ambil
mudah bab solat ini, solat Subuh tinggal kerana sepanjang malam habiskan masa
menonton Olimpik, apabila masuk Subuh tidak terjaga.
Bagi yang
bekerja, keluar pejabat tidak solat Asar dulu, kemudian terperangkap kesesakan
lalu lintas dan setibanya di rumah, masuk waktu berbuka.
Ada juga yang
berbuka di luar seperti restoran dan hotel, disebabkan leka makan dan lepak
selepas makan hingga habis waktu Maghrib lalu terlepas waktu solat. Bukankah ini
kerugian sangat besar? katanya.
Beliau turut
menegur wanita yang mendedahkan aurat kerana tindakan itu bukan hanya
mengurangkan pahala puasa tetapi juga mengeringkan pahala orang lain iaitu bukan
muhrim yang melihatnya.
Syed Mohd
Norhisyam berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan bazar Ramadan sebagai
lokasi kunjungan wajib setiap hari kerana membeli makanan ketika lapar selalunya
mendorong kepada pembaziran.
Begitu juga niat
murni bertadarus al-Quran yang menjadi amalan pada Ramadan tetapi biarlah ia
dilakukan mengikut tertib, bukan semata-mata kerana hendak khatam segera.
Tadarus bermaksud
seorang membaca dan ahli kumpulan mendengar serta menegur jika ada kesilapan
bacaan bukannya membaca beramai-ramai atau membahagi bahagian yang perlu dibaca
supaya khatam segera.
Bacaan perlu
betul tajwid
Bacaan perlu
dihayati dan betul tajwidnya seperti yang Rasulullah SAW mengulang kaji al-Quran
bersama Jibril di bulan Ramadan, katanya.
Katanya, banyak
perkara sunat menjadi rebutan umat Islam pada bulan puasa untuk mendapat
ganjaran berlipat ganda tetapi disebabkan kurangnya kefahaman, maka ibadat
sunnah itu gagal dihayati.
Contohnya, sunnah
Rasulullah SAW yang menggalakkan orang berpuasa supaya melewatkan bersahur
tetapi apa yang berlaku, ramai mempercepatkan waktu sahur dengan menikmati
hidangan pada waktu tengah malam sebelum tidur.
Amalan itu bukan
saja tidak mendatangkan pahala tetapi boleh menjejaskan kesihatan terutama
sistem penghadaman kerana mengambil makanan berat sebelum tidur.
Selain amalan
sepanjang Ramadan, sambutan hari raya juga banyak yang tidak selari dengan
ajaran sebenar Islam.
Allah
menganugerahkan hari raya untuk hamba-Nya bergembira tetapi ada antara kita
menjadikan hari raya hari kesedihan.
Amalan menziarahi
kubur untuk mengingati kematian dan ia tidak seharusnya dilakukan hanya ketika
hari raya untuk mengundang kesedihan.
Amalan ini boleh
dilakukan pada bila-bila masa. Hari raya untuk bergembira dan dalilnya kita
diharamkan berpuasa pada hari raya pertama, katanya.
Selain itu, ibu
bapa tidak seharusnya mudah mengalah dengan tindakan anak yang enggan mengikut
mereka menziarahi sanak saudara pada hari raya semata-mata hendak menonton
televisyen. Akibatnya nanti, anak tidak kenal saudara mara.
Ulasan
Catat Ulasan