eDomz

asia Fans

banner

PRODUK LUAR NEGARA UNTUK DIBELI

Isnin, 13 Ogos 2012

Sunyinya Shawal ku kini…….







Pada tanggal 19 atau 20 Ogos 2012 hadirlah Syawal sekali lagi di bumi Malaysia ini. Kehadirannya mengundang nostalgia sambutan Syawal 30 ke 40 tahun dahulu. Ketika itu penulis berusia kanak-kanak dan remaja. Begitu bahagia rasanya tiap kali tibanya Syawal.  Begitu shahdu perasaan kegembiraan pada ketika itu. Berkumpulnya adik  beradik. Kegembiraan terpancar di wajah emak dan abah apabila abang-abang dan kakak-kakak penulis pulang berhari raya. Berkumpul semuanya anak-anak yang bertebaran melata di sekitar bumi Malaysia. Penulis sahaja pada ketika itu berada di kampong.

Malam Hari Rayalah malam yang sangat indah dan suasana kegembiraan itu begitu kemuncak sekali. Malam itu lemang dibakar. Malam itu ketupat dimasak. Malam itu serunding digoreng. Malam itu juga segala lauk pauk dimasak. Kesibukkannya tidak terkira. Becoknya mulut emak tidak terkata. Penulislah yang selalunya menjadi orang suruhan emak samada ke kedai membeli barang-barang keperluan masakan yang kurang maupun dah habis. Pergi membeli air batu pada waktu petang untuk persiapan berbuka. Pergi beli minyak masak bila minyak masak habis. Pergi beli bawang besar, bawang putih, bawah merah, sayur dan segalanya tidak ketinggalan. Pendek katanya   sibuknya penulis ketika itu tidak terkata. Walau sibuk dan lelah, hati sangat gembira dan riang. Sering kali emak memberi  peringatan agar naik motor dengan hati-hati. Bimbang kemalangan juga tidak dilupa.

Pada lewat petangnya, selalunya kakak sulung akan tiba bersama-samanya bunga api. Tambahlah lagi kegembiraan untuk bermain bunga api pada malam nanti. Terasa tidak sabar hati untuk bermain bunga api. Terasa malam bagaikan lambat tibanya.

Apabila senja melabuh dirinya maka berkumandanglah takbir Hari Raya di radio maupun dikaca televisyen. Tidak ketinggalan juga dari corong-corong surau. Bertambahlah riangnya hati dikala tiu. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap kegembiraan penulis ketika itu. Selepas selesai berbuka diteruskan berjemaah solat Maghrib. Abah menjadi imam dan kami adik beradik menjadi makmum.

Selepas solat maghrib, abah meneruskan zikirnya seorang diri. Kami adik beradik terus bermain bunga api dengan tanpa berlengah. Kami juga akan mengembara serta kampong melihat persiapan orang lain pula seperti mak saudara-mak saudara yang lain. Dapat juga menumpang semangkuk sekiranya bunga api mereka lebih banyak dan power. Begitulah indahnya Malam 1 Shawal….Kini kegembiraan itu telah pergi bersama masa dan zaman. Susana kini semakin terasa sepi  dan sunyi. Walau pun didepan mata suasana bunga api, kesibukan di rumah ibu mertua serupa dengan rumah ibu sendiri di kampong halaman, keadaannya tetap berbeza.

Kini emak dan abah telah kembali mengadap ilahi. Kakak sulong terlantar sakit angin ahmar di katil. Abang-abang telah berkeluarga dan sentiasa berhari Raya di rumah ibu mertua masing-masing. Tiada fakta giliran buat mereka. Begitu juga hanyutnya seorang kakak dengan dunianya. Berhari Raya di rumah sendiri atau di rumah emak saudara. Terjadi akibat masalah sendiri memilih pasangan hidup tanpa mengikut proses biasa.

Pada malam-malan raya di rumah kampongku  kini, begitu sunyi. Tiada lagi bunyi mercun , bunga api, ketawa riang kanak-kanak maupun dewasa di sebuah rumah usang ini. Tiada lagi bakar lemang, rebus ketupat, persiapan lauk pauk yang banyak. Tiada lagi berbuka puasa beramai-ramai. Cuma yang ada penulis, isteri penulis, kakak yang sakit di katilnya dan kakak seorang lagi yang sentiasa tak puas hati dengan orang lain. Sunyinya Shawal ku kini…….Begitu pantasnya masa bergerak dan begitu cepat suasana berubah. Masihkah aku berkesempatan untuk bergembira seperti dulu ???

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Follow by Email