eDomz

asia Fans

banner

PRODUK LUAR NEGARA UNTUK DIBELI

Isnin, 13 Ogos 2012

Impian Ramadan


Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

August 13, 2012

13 OGOS — Sedar tak sedar kita sudah dalam minggu terakhir Ramadan yang hanya datang setahun sekali.

Umat Islam seluruh dunia majoritinya menghabiskan masa untuk beribadat dengan harapan untuk memperolehi “ganjaran pahala besar” dari pencipta.

Akan tetapi, tidak ramai umat Islam yang mengambil iktibar daripada falsafah Ramadan bagi meneruskan kehidupan sepanjang tahun.

Di bulan Ramadan, pada waktu siang, katakanlah teman kita yang bukan Islam menawarkan makanan, kita akan menolak dan berkata, “maaf saya berpuasa hari ini.”
Teman yang menawarkan makanan tadi pasti memohon maaf kerana beliau lalai atau terlupa bahawa kita sedang berpuasa.

Situasi kedua, seorang pegawai kerajaan yang menguruskan bahagian tender pembersihan bagi sesuatu jabatan ditawarkan “wang sagu hati” kerana membantu sebuah syarikat mendapatkan perkerjaan tersebut.

Tidak pula pegawai kerajaan itu menolak atau berkata, “maaf saya tidak ambil rasuah kerana saya orang Islam.”

Kebanyakkan daripada mereka akan ambil wang tersebut kerana rasuah dalam masyarakat Islam pada hari ini tidak dianggap sebagai dosa bagi kebanyakkan orang.

Umat Islam hari ini terutamanya di Malaysia terlalu sibuk untuk mengintai dengan siapa si “A” tidur atau skodeng ditaman-taman bunga kalau-kalau ada pasangan bercinta sedang berdua-duaan.

Ini sebabnya mengapa kita lihat dunia Islam pada hari ini berada dalam kemunduran dan tidak menjadi pemain utama dunia dalam kebanyakkan bidang baik dari segi politik, ekonomi, kelilmuan dan macam-macam lagi.

Nilai yang diajarkan oleh Islam tidak diterapkan dalam pemerintahan negara seperti “good governance” atau pentadbiran baik.

“Good governance” diamalkan oleh kebanyakkan negara kafir di Eropah atau negara Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan.

Di Korea Selatan, bekas presiden Roh Moo Hyun membunuh diri kerana dituduh rasuah.

Belumpun lagi dibuktikan bersalah beliau sudah mengambil tindakan sebegitu oleh kerana di negara Kafir seperti Korea selatan, rasuah itu adalah sesuatu yang jijik dan hina dan tidak boleh dimaafkan.

Di negara-negara Islam, yang dituduh atau dibuktikan rasuah pergi umrah atau haji untuk “mencuci dosa” dan hidup seperti biasa selepas pulang oleh kerana masyarakat sekeliling menganggap mereka sudah diampunkan dosa.

Impian Ramadan saya pada tahun ini adalah agar umat Islam di Malaysia menghayati falsafah disebalik bulan mulia ini.

Jika kita boleh menahan lapar dan dahaga, sudah tentu kita boleh menahan diri daripada mengambil rasuah.

Jika pada waktu malam di bulan Ramadan umat Islam boleh memberi tumpuan untuk beribadat di masjid atau surau untuk solat Terawaih dan membaca Al-Quran, mengapa tidak selepas Ramadan umat Islam menuntut ilmu sebanyak mungkin yang akan memberi maanfat kepada semua.

Sebab itu saya sering tekankan terdapat perbezaan besar diantara Islam dan Arab.
Jangan kita menyangka apabila mengenakan jubah Arab kita sudah Islam daripada yang lain.

Tanya kepada diri sendiri apakah kita mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan yang diajarkan oleh Muhammad S.A.W?

Atau cukup sekadar berbangga kerana menganggap diri kita bersama kebenaran dan orang-orang lain semuanya berada dalam kesesatan?

Maaf, saya tidak berminat dengan apa yang dibawa oleh golongan yang mendakwa mereka adalah ulamak pewaris kepada Nabi pada hari ini.

Jika benar mereka membawa ajaran Muhammad, mengapa tidak golongan yang mendakwa mereka ulamak membebaskan masyarakat daripada penindasan?

Bukankah ayah kepada Fatimah Al-Zahra itu menghapuskan amalan perhambaan yang jelas sebagai satu penindasan daripada satu manusia kepada manusia lain?

Jika seseorang dianggap ulamak hanya kerana boleh berbahasa Arab dan menghafal ayat-ayat Quran tetapi dangkal pemikirannya dalam pelbagai perkara, tidak hairanlah mengapa dunia Islam pada hari ini berada di zaman gelap.

Dunia Islam pada hari ini sama seperti masyarakat Eropah dizaman gelap.
Akan menjadi cerah apabila, umat Islam merasa jijik dengan rasuah sepertimana masyarakat kafir di Korea Selatan.

Semoga impian Ramadan saya tercapai.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Follow by Email