Sepuluh Ceritera Menjelang Ramadhan
Untuk menyemarakkan kita semua menyambut Ramadhan. marilah kita berkongsi cerita dari blog rakan di alam cyber untuk santapan rohani dan renungan dan diambil iktibar. Mana yang baik kita ambil sebagai pedoman dan amalkan...
Sepuluh Ceritera Menjelang Ramadhan
SATU
“Kita nak sambut raya pulakah ummi…?”
Suara anak kecil itu
meminta kepastian daripada ibunya mengenai kedatangan Aidilfitri. Senyuman si
ibu sambil membelek-belek kain-kain yang bakal dijadikan baju raya untuk
anak-anak sudah menjadi jawapan.
“Tapi…, sebelum raya kena puasa dulukan? Tak bestlah
ummi..!”
Begitulah anak
kecil. Kalau boleh biarlah Ramadhan tidak muncul dan yang muncul hanyalah
Syawal. Hari raya adalah segala-galanya bagi mereka, baju baru, duit raya, kueh
raya, balik rumah opah dan banyak lagi.
Adakah kita yang
sudah bukan anak kecil ini begitu juga?
Dilaporkan bahawa
Umar bin al-Khattab berkata pada penghujung Syaaban, “Selamat datang wahai
pembersih diri kami daripada dosa…”
* * * * *
DUA
Menjelang petang,
tumpuan orang ramai adalah pasar Ramadhan. Semua jari tangan tergantung
karung-karung berisi makanan dan minuman. Pada pandangan mata, semuanya sedap
dan terasa tidak mencukupi.
“Besok kita nak berbuka dengan apa pula
ya…?”
Tanya isteri ketika
waktu Maghrib sudah semakin masak.
“Ha,
kalau ada…. tentu sedap”.
Suami pula seperti
belum mahu berganjak dari meja makan.
Patutkah sikap
begini diteruskan?
Diriwayatkan bahawa,
Abdullah bin Umar tidak pernah berbuka puasa kecuali bersama fakir miskin.
Apabila ada orang yang meminta makanan daripadanya, beliau memberikannya. Beliau
makan apa sahaja yang ada sehingga ada ketikanya beliau berpuasa dalam keadaan
tidak makan apa-apa pada malamnya.
* * * *
*
TIGA
“Masjid kampong kita
imam baca panjang atau pendek…?”
Sambil menyelak
helaian akhbar harian, dia bertanya rakannya.
“Entah, aku
sembahyang di masjid hujung sana. Setengah jam siap semua. Nak ikut…
boleh!”
Ada orang
menghabiskan malam-malam Ramadhan dengan bersembang kosong bersama rakan-rakan
di ‘port-port’ yang terpilih. Siangnya pula, dihabiskan dengan tidur. Malam
sembang, siang tidur.
Bagi yang bekerja,
waktu-waktu senggang dihabiskan dengan berbual kosong. Lebih teruk lagi kalau
‘makan daging saudara sendiri yang telah mati’.
Adakah itu sudah
menjadi tradisi?
Dilaporkan, apabila
menjelang Ramadhan, Imam Malik menutup kitab-kitabnya dan tidak lagi berfatwa.
Beliau memberikan sepenuh tumpuan kepada al-Quran. Ibnu Hajar menceritakan, Imam
Syafie menghatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak enam puluh kali.
Begitu juga dilaporkan bahawa, al-Bukhari mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga
puluh kali. Pada bulan biasa, Imam Ahmad mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu.
Menjelang Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran dua kali
seminggu.
* * * *
*
EMPAT
“Akulah tuhan kamu
yang maha tinggi…”
Bentak Firaun kepada
para pengikutnya. Mereka dipaksa menyembahnya. Orang yang melawan akan dihukum
bunuh.
Perasaan rendah diri
terhasil dengan kelaparan. Orang yang tidak pernah lapar, sukar merendah diri.
Orang yang sentiasa kenyang sukar memahami makna kesusahan.
Setahun sekali, kita
memasuki sekolah latihan merendah diri, sekolah Ramadhan. Inilah sekolah yang
diasaskan oleh Islam yang telah melahirkan mereka yang menguasai dunia dengan
kekuatan sifat rendah diri, bukan dengan kekuatan
kesombongan.
Bukankah Firaun
dimusnahkan selepas dia mempromosikan kesombongannya di hadapan nabi
Musa?
Dilaporkan, Umar bin
Abdul Aziz mendapat berita bahawa anaknya telah membeli sebentuk cincin berharga
seribu dirham. Beliau menulis sepucuk surat kepada anaknya, “Aku mendapat berita
bahawa kamu membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham. Apabila sampai
kepadamu suratku ini, kamu hendaklah menjual cincin itu. Belanjakan wang itu
untuk membeli makanan kepada seribu orang yang kelaparan. Belilah cincin besi
yang berharga dua dirham sahaja dan ukir di atasnya ungkapan ini, Allah
merahmati seseorang yang mengetahui kedudukan dirinya.”
* * * *
*
LIMA
“Banyak borong…!”
Sapa seorang wanita
kepada temannya.
“Oh…, semua ni bahan
untuk buat kueh raya. Raya dah dekat, entah sempat entah tidak…”.
Semakin dekat dengan
hari raya, malam-malam Ramadahan juga semakin meriah. Sebahagian orang
memeriahkannya dengan acara menyediakan kueh raya. Tidak kurang juga yang
memeriahkannya dengan peningkatan ibadah kepada Yang Maha
Berkuasa.
Dengan apakah
sepatutnya malam-malam terakhir Ramadhan diisi?
As-Sa’ib Ibnu Yazid
melaporkan, Umar bin al-Khattab mengarahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim ad-Dariy
supaya mengimamkan orang ramai dalam solat pada bulan Ramadhan. Mereka membaca
surah-surah yang panjang sehingga kami perlu bertopangkan tongkat untuk berdiri
kerana terlalu panjang. Kami tidak berhenti bersolat sehingga hampir-hampir
fajar.”
Abdullah bin Abu
Bakar as-Siddiq meriwayatkan, bapaku berkata, “Kami hanya berhenti beribadat
pada bulan Ramadhan ketika para khadam terpaksa bergegas-gegas menyediakan
makanan untuk bersahur kerana bimbangkan kemunculan fajar.”
* * * *
*
ENAM
“Tak laratlah nak
berdiri lama-lama…! Buat pendek-pendek sudahlah”.
Getus seorang lelaki
separuh umur sambil menyarung selipar.
“Kita dah tua, mana
larat nak buat panjang-panjang…!”
Besoknya, dia
menyambung cerita bila ditanya sebab dia terlalu awal meninggalkan solat
terawikh di surau.
Bolehkah faktor usia
dijadikan alasan untuk mengurangkan ibadah?
Dilaporkan oleh
Asma’ bin Ubaid, beliau bersama Said bin Amir masuk menemui Abi Raja’
al-A’taridiy yang berusia 130 tahun. Beliau berkata, “Mereka menemuiku,
mengangkatku kerana badanku yang kurus dan meletakkanku di tempat imam. Aku
bacakan di dalam solatku bersama mereka pada bulan Ramadhan, setiap rakaat tiga
puluh atau empat puluh ayat.
Bahkan diceritakan,
Abu Raja’ mengkhatamkan al-Quran di dalam solat pada bulan Ramadhan setiap
sepuluh malam.
* * * *
*
TUJUH
Tidur pada siang
hari pada bulan Ramadhan dikira ibadat khususnya kepada mereka yang puasanya
terdedah kepada kerosakan jika dia berjaga.
Tapi ada juga orang
yang menghabiskan siang dengan tidur dengan alasan letih berpuasa. Justeru, dia
akan terlepas peluang untuk meningkatkan ibadah khusus kerana ‘ibadah’
tidur.
“Huh… panas betullah
hari ini. Nak minum pun tak boleh…”
Ada orang merungut
begitu.
Betulkah puasa
menghalang tugas?
Peperangan Mu’tah
berlaku pada bulan Jamadil Awal. Ibnu Kathir melaporkan, Abdullah bin Rawahah
mengetuai peperangan Mu’tah dalam keadaan berpuasa.
Abdullah bin Rawahah
berkata, “Bawakan kepadaku seketul tulang. Aku ingin ikatkan diperutku untuk
menahan lapar”.
Selepas itu, beliau
diberikan sepotong daging. Sambil memandang matahari, beliau bertanya, “Adakah
matahari sudah terbenam?”
Beliau berbuka puasa
di atas belakang kuda, mengetuai peperangan besar dalam keadaan nyawa berada di
hujung pedang.
Beliau adalah pemimpin ketiga yang syahid dalam medan
peperangan itu selepas Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi
Talib.
* * * *
*
LAPAN
Gastrik, penyakit
yang menjadi alasan sebahagian orang untuk meninggalkan puasa Ramadhan.
“Aku bukan tak nak
puasa, tapi aku tak boleh lapar. Aku ada penyakit…!”
Kalau betul, orang
itu tetap terikat dengan hukum meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana
sakit. Kalau dia berbohong, dia berdosa kerana berbohong dan berdosa kerana
meninggalkan perkara fardu.
Sanggupkah kita
mensia-siakan anugerah Ramadhan yang sangat berharga
itu?
Dilaporkan, seorang
pemimpin dalam kerajaan Umawi bernama Rauh bin Zanba’ dalam perjalanan melalui
padang pasir untuk menunaikan umrah. Ditengah-tengah perjalanan, beliau bertemu
seorang arab badwi yang sedang mengembala
kambing.
“Wahai A’raby, mari ke sini makan bersamaku”,
pelawa Rauh bin
Zanba’.
“Ada
orang lain yang lebih mulia daripada kamu mempelawaku”, jawab arab badwi
itu.
“Siapa?” Rauh memohon
kepastian.
“Allah, Tuhan semesta alam”, tegas arab badwi
itu.
“Macam mana?” Rauh kehairanan.
“Aku
sedang berpuasa dan aku hanya berbuka untuk-Nya sahaja”, jawab arab badwi
itu.
“Tidak mengapa. Kamu berbuka sekarang, besok kamu
berpuasalah lagi”, desak
Rauh.
“Adakah kamu boleh menjamin bahawa besok aku akan
hidup lagi?” soal arab badwi
itu.
“Kamu mengambil berat terhadap hari-hari kamu,
sedangkan kami pula mensia-siakannya”, jawab Rauh dengan tersedu-sedan.
* * * *
*
SEMBILAN
“Ya Rasulallah,
pakaian ini hamba jahitkan khusus untuk tuan.
Terimalah…”.
Wanita ini begitu
teruja menghadiahkan sehelai pakaian jahitan tangannya sendiri untuk insan yang
paling disayanginya. Dirinya seakan-akan melayang ke langit apabila pakaian itu
diterima dan dipakai oleh baginda, makhluk paling agung di dunia dan di akhirat.
“Ya Rasulallah,
berikan pakaian itu kepadaku…”
Rasulullah saw
memasuki rumah baginda, menanggalkan pakaian yang dihadiahkan oleh wanita tadi
dan memberinya kepada lelaki yang meminta itu.
“Apa yang kamu buat
ni…? Rasulullah telah memakai pakaian itu, baginda memerlukannya.
Mentang-mentanglah kamu tahu baginda tidak pernah mengecewakan orang yang
meminta, kamu memintanya daripada baginda?”
Para sahabat
melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap lelaki itu. Mereka tahu,
mintalah apa sahaja daripada nabi, baginda akan memberinya. Baginda sangat
pemurah melebihi angin yang berhembus.
“Demi Allah, aku
tidak memintanya daripada baginda kecuali pakaian ini akan aku jadikan
kafanku”.
Benar, pada hari
kematiannya, lelaki itu dikafankan dengan kain yang pernah menyentuh tubuh
baginda yang mulia. Alangkah beruntungnya lelaki itu.
* * * *
*
SEPULUH
Ingin sekali perkara
itu ditanyakan kepada bondanya, namun dibimbangi bondanya berkecil hati. Beliau
faham, bagi bonda, walau pun seperit mana kehidupan yang ditempuh bersama buya,
bonda sangat berbangga kerana buya hidup sebagai pejuang.
Tiada sesaat pun
hidup buya, tiada sekalimat yang terpancar dari mulut buya, tiada selangkah buya
bergerak kecuali semuanya demi perjuangan untuk meninggikan kalimah
Allah.
“Bonda, mengapa jari
telunjuk buya bergerak-gerak sepanjang masa? Buya seperti menulis sesuatu.
Apakah masalah buya?”
Akhirnya, setelah
kewafatan Buya Hamka, si anak tidak dapat menahan lagi gejolak jiwanya. Akhirnya
soalan itu terpacul jua dari bibirnya.
“Anakku, buyamu
menulis kalimah Allah dengan jarinya. Itulah zikirnya sepanjang
hayatnya”.
* * * * *
Ulasan
Catat Ulasan