PUASA SAMA, PAHALA BERBEZA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramadan adalah bulan ibadah. Suasana Ramadan itu sebenarnya berada dalam jiwa setiap yang beribadah. Tahap perasaannya tidak sama, berdasarkan tidak samanya kadar ibadah kita. Di samping setiap yang beribadah tidak sama nilainya di sisi Allah, walaupun mungkin sama pada jenis dan bilangannya. Seseorang yang bersolat lapan rakaat terawih bersama sahabat-sahabat tidaklah semestinya setiap mereka mendapat ganjaran pahala yang sama. Ini kerana di antara mereka sudah pasti ada perbezaan pada kadar khusyuk, ikhlas dan kesusahan yang dialami dalam menunaikan ibadah itu.
Seorang peniaga yang meninggalkan perniagaan kerana ingin bersolat tentu tidak sama pahala mereka yang memang mempunyai masa lapang untuk bersolat. Begitulah juga perbezaan-perbezaan yang lain. Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.


Pahala Atas Kesusahan

Hal ini disebut oleh para ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunahnya itu sama. Namun yang mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang terpaksa ditanggung.

Bukannya perbezaan pahala itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji, jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.

Demikianlah Puasa..

Begitulah puasa, walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunahnya yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Hud, ayat 115)
Keadilan Allah dalam hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri. Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.

Demikian seorang yang berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa tentu mendapat pahala yang lebih disbanding mereka yang puasa dalam keadaan tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan apa sahaja pengorbanan keranaNYA.

Cabaran dalam berpuasa yang ditempuhi dengan jaya akan menjadikan jiwa insan yang berpuasa itu lebih khusyuk dan tinggi nilai spritualnya. Puasa dalam keadaan tiada rasa dan lapar dan ujian juga ada nilai spiritualnya, namun tentu tidak sama dengan yang mengharungi ujian Allah dalam melaksanakan ibadah tersebut. Setiap individu menerima tingkatan spiritualnya yang tersendiri. Maka, tiada siapa yang tahu siapakah yang lebih tinggi kedudukan puasanya di sisi Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu tentang kedudukan hamba-hambaNYA.

* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MANUNGGALING KAWULA GUSTI: 140 AJARAN DAN PEMIKIRAN SYEIKH SITI JENAR

KHASIAT DALAM SURAH ALI IMRAN

Hizb ut-Tahrir's Manifesto for the Revolution of Al-Sham: Towards the Birth of a Second Rightly-Guided Khilafah