cara memimpin hati
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Hati
mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah
wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.
Di
antara cara-cara memimpin hati ialah:
Pertama:
Ada
ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang
positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah
tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan
sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.
Kedua:
Perlu
latihan-latihan praktikal melalui:
a.
Mujahadatunnafsi
b.
Istiqamah
c.
Tafakur
d.
Bergaul dengan orang yang baik-baik
e.
Pimpinan mursyid
A.
MUJAHADATUNNAFSI
Mujahadatun
nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menem-puh tiga peringkat iaitu:
1.
Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyu-cikan daripada sifat-sifat yang
keji.
2.
Tahalli – mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3.
Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa
bertuhan.
Pada
ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang
dinamakan riadatunnafsi( Yakni latihan melawan atau memerangi semua
kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu. Cara
memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang
ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
1.
TAKHALLI
Di
peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus
semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah.
Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya
jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan
sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.
Rasulullah
SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang
terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)
Kerana
kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk
dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan
firman-Nya: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa
nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan
ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)
Apabila
nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila
iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi
dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah
dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah
sabda Rasulullah SAW pada Sahabat-Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari
satu medan peperangan:“Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil
untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya: “Peperangan
apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al
Baihaqi)
Melawan
hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita
dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan membunuhnya sampai mati.
Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah,
menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita
iaitu tubuh yang halus (jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan
paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan
semahu-mahunya.
Untuk
lebih jelas, disenaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia. Sepertimana iman
itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu. Seseorang yang dapat
mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah
seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada
perintah Allah.
Berikut
ialah peringkat-peringkat nafsu yang saya senaraikan mengikut aturan
tingkatannya:
i.
Nafsu ammarah
ii.
Nafsu lawwamah
iii.
Nafsu mulhamah
iv.
Nafsu mutmainnah
v.
Nafsu radhiah
vi.
Nafsu mardhiah
vii.
Nafsu kamilah
Orang
yang imannya di taraf iman ilmu, nafsunya berada di taraf yang kedua iaitu nafsu
lawwamah. Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga ia mahu tunduk sepenuhnya
pada perintah Allah iaitu paling minima, nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah ada
pada orang yang memiliki iman ayan. Di peringkat inilah sahaja kita akan dapat
menyelamatkan diri daripada seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah
SWT dengan firman-Nya:“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah),
kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah
ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (Al
Fajr: 27-30)
Di
sini diperpanjangkan lagi, bagaimana mahu membersihkan sifat-sifat mazmumah yang
melekat pada hati itu. Sifat-sifat mazmumah yang melekat pada hati sepertilah
daki yang melekat di badan. Kalau kita malas menggosoknya, akan bertambah
menebal dan kuatlah ia bertapak di badan. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti
dan menggosoknya, maka akan bersihlah badan. Begitulah mazmumah (daki) hati.
Jika kita rajin meneliti dan membersihkannya dengan zikrullah, maka bersihlah
hati itu, malah ia bercahaya.
Bagaimanakah
cara membuang sifat-sifat mazmumah dari hati? Tentulah tidak sesenang membuang
daki di badan. Ia memerlukan latihan jiwa yang sungguh-sungguh, didikan yang
berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan dari guru mursyid. Yakni guru yang
dapat membaca dan menyelami hati muridnya sehingga dia tahu apakah kekurangan
dan kelebihan muridnya itu. Malangnya di akhir zaman ini kita ketiadaan guru
mursyid. Ini dinyatakan sendiri oleh baginda Rasulullah bahawa di akhir zaman
yang banyak adalah mubaligh tetapi sukar mencari guru mursyid. Maka berdoalah
kita moga dipertemukan dengan guru yang mursyid
Nasib
kita hari ini umpama anak ayam kehilangan ibu. Tiada yang akan memandu kita
melalui jalan kebaikan yang ingin kita tempuhi. Meraba-rabalah kita. Tetapi bagi
orang yang mempunyai keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwanya, dia tidak
akan kecewa hanya kerana tiada orang yang boleh mendidik dan memimpinnya. Ia
akan sanggup berusaha sendiri demi kesempurnaan diri dan hidupnya, sekadar yang
termampu.
Untuk
jelasnya dibuat beberapa contoh, cara membersihkan hati yang jahat ini:
Contoh
1: Rasa Bakhil
Biasanya
nafsu mendorong kita bersifat bakhil. Sedangkan bakhil itu dikeji dan dibenci
oleh Allah. Kerana Allah mahu kita jadi pemurah. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah
SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah
yang bakhil.” (Riwayat Al Khatib)
Oleh
itu kita mesti melawan kemahuan nafsu itu. Paksalah hati memberi atau menderma
selalu, terutamanya waktu rasa bakhil itu menguasai diri. Yang paling baik,
waktu duit tinggal sedikit, waktu itulah kita latih berkorban kerana waktu
itulah nafsu rasa paling tercabar. Itulah waktu yang sebaik-baiknya untuk
menundukkan nafsu. Sedangkan waktu kita kaya, fungsi menderma tidaklah sebagai
riadah melawan nafsu tetapi perbuatan itu sekadar dapat pahala.
Katakanlah
kita sedar bahawa pada diri kita ada sifat bakhil. Kita pun tahu bahawa Allah
tidak suka pada orang yang bakhil. Kerana itu kita berazam untuk mengikis sifat
yang terkutuk itu. Maka kita perlu cuba membiasakan dan membanyakkan sedekah,
memberi hadiah dan lain-lain amalan yang berupa pemberian hak kita kepada orang
lain. Agar sifat pemurah menjadi subur dan sebati seterusnya menjadi tabiat
kita. Sebagai pendorongnya, kita hendaklah selalu membaca firman-firman Allah dan
Hadis-Hadis yang banyak menganjurkan kita berkorban. Di sini dipetik beberapa
ayat Al Quran dan Hadis untuk menunjukkan Allah dan Rasul-Nya sangat
menganjurkan sifat pemurah itu.
Firman
Allah SWT: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkan
sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka
orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagian dari hartamu,
memperolehi pahala yang besar.” (Al Hadid: 7)
Firman
Allah SWT: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik,
maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan
memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Bersabda
Rasulullah SAW: “Orang yang membantu perempuan janda dan orang miskin,
samalah seperti berjihad di jalan Allah dan seperti bersolat malam tanpa letih,
dan seperti berpuasa siang hari tanpa berbuka.” (Riwayat Bukhari)
Sebenarnya
sifat bakhil bukan sahaja ada pada orang kaya dan berharta bahkan orang miskin
pun tidak mustahil dihinggapi penyakit ini. Kerana itu dalam Islam bukan sahaja
sedekah itu boleh dilakukan dengan harta benda tetapi boleh juga dilakukan
dengan cara yang lain. Cara-cara ini dapat mendidik akhlak mulia bagi semua
orang, memberi peluang pada orang miskin mengikis sifat bakhil selain turut
mendapat pahala sedekah.
Allah
SWT berfirman: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik dari sedekah
yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha
Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263)
Rasulullah
SAW pernah memberikan garis-garis panduan berikut dalam satu riwayat Hadisnya:
“Segala perbuatan yang baik itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dan Bukhari dari
Jabir)
Sabda
Rasulullah SAW: “Senyuman kepada saudaramu itu adalah
sedekah.”(Mashabi Assunah)
Lagi
Sabda Baginda: “Aku khabarkan kepadamu, yang lebih tinggi dari darjat
puasa, sembahyang dan sedekah. “Khabarkanlah,” kata Sahabat-Sahabat.
“Mendamaikan dua golongan yang bergaduh itu sedekah.” (Riwayat Ahmad
dari Abi Dardak)
Dengan
menggunakan panduan-panduan di atas, orang yang menyedari ada padanya sifat
bakhil, bolehlah cuba melatih diri untuk mengubatnya. Bila ada saja peluang
untuk sedekah dan sebagainya, jangan dibiar begitu sahaja. Paksalah hati untuk
mengeluarkan harta atau bertindak memberi kebaikan kepada orang lain dengan
bermacam-macam cara itu.
Di
waktu rasa bakhil itu terasa kuat bergantung di hati, waktu itulah perlawanan
mesti dihebatkan. Keluarkan apa-apa yang disayangi itu dengan segera dan
sebanyak-banyaknya. Latihan ini akan jadi lebih berkesan kalau kita sanggup
mengeluarkan harta itu semasa kita sendiri kekurangan. Katakanlah kita didatangi
oleh peminta derma di waktu kita hanya ada RM5 di poket. Waktu itu, paksakan
hati supaya mengeluarkan separuh yang ada. Tentulah hati rasa berat tetapi
keluarkanlah juga. Insya-Allah, kalau ini dibuat dan sanggup kita buat selalu,
kita akan jadi seorang yang pemurah dan rasa bakhil akan lenyap terus dari hati
kita. Katakanlah kita ada duit RM10,000 tetapi yang kita dermakan hanya RM10
sahaja, tentu tidak akan berkesan apa-apa di hati kita. Di waktu duit sedikit,
rasa bakhil sangat kuat maka waktu itu kita akan rasa berat untuk menderma.
Ketika itulah kita perlu lawan sifat bakhil itu. Itulah yang dikatakan latihan.
Itulah caranya untuk suburkan sifat-sifat pemurah.
Contoh
2: Sifat Takabur
Sifat
takabur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak
ia akan menutup semua jalan-jalan kebaikan yang mungkin dibuat oleh seseorang
itu. Hampir semua dari kita ada sifat ego atau sombong ini. Untuk membuangnya,
amat susah sekali. Imam Ghazali ada berkata bahawa sifat ego itu hampir-hampir
mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia. Ada ulama sufi berkata,
setelah melakukan latihan melawan hawa nafsu, sifat mazmumah yang paling akhir
sekali keluar dari dirinya ialah kibir, sombong atau ego.
Bagaimanapun
kita perlu berusaha untuk mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan
memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai
manusia biasa. Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang
lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak,
akuilah bahawa kita juga turut bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan,
“Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”
Kalau
kita mampu dan berani mengakui kesalahan, akan mampu pulalah kita meminta maaf.
Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh
itu perlu sangatlah kita melatih diri untuk melawan sifat sombong atau takabur
itu.
Latihan
yang lebih berkesan lagi ialah kita biasakan diri tinggal bersama dengan
orang-orang yang dipandang rendah oleh masyarakat. Orang-orang susah, peminta
sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli.
Duduk, bercakap-cakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa
sama seperti mereka. Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan
terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan
merendah-rendahkan kita. Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya
miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu
tanpa seurat benang dan sesen wang.”
Kalaulah
amalan ini dibiasakan, insya-Allah sifat ego itu sedikit demi sedikit akan dapat
kita buang dari hati kita. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar
tidak akan hilang bisanya. Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu
memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di
muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong
lagi membangga diri.” (Luqman: 18)
Allah
berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan
menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari
mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain
kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang
menghina.” (Al Hujurat: 11)
Janganlah
kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita. Kekuatan kita
tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai
bukit. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri
dan tidak akan hina orang yang merendah diri.” Sifat berkasih sayang sesama
manusia adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Allah. Ia adalah lawan pada
sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya,
kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah.
Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan
latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah. Tetapi yang
memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah
berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat
kepada kita.
Latihan
ini sangat susah hendak dibuat kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu.
Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya. Sebab itu Rasulullah ada
bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.”
Biasanya
kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja.
Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik
kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu. Caranya,
orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak
bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan
hati susah sedikit. Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat
hasilnya. Kita kena lakukan latihan ini sepanjang masa. Bila ada peluang
melakukannya, teruslah bertindak.
Sanggupkah
kita membuat latihan seperti yang telah kita sebutkan tadi? Kalau kita mampu
berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya
sanggup memerangi diri sendiri. Namun ianya bukan mudah. Amat susah. Tersiksa
kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat
baik kepada kita pun amat susah. Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang
yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun melalui
latihan yang bersungguh-sungguh, insya-Allah ianya akan dipermudahkan oleh
Allah. Allah berfirman: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami
tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat
baik.” (Al Ankabut: 69)
Contoh
3: Rasa Takut
Rasa
takut yang menguasai hati akan bertindak dalam berbagai bentuk mengikut suasana
yang dihadapi. Contohnya, takut jin, takut harimau, takut ular, takut penjahat,
takut miskin, takut orang kata, takut menegakkan kebenaran, takut maksiat dan
takutkan Allah.
Di
antara rasa-rasa takut yang disenaraikan di atas, ada rasa takut yang dilarang
syariat dan ada pula rasa takut yang disuruh syariat. Perlu diketahui bahawa
kedua-dua jenis takut ini tidak mungkin mengisi hati manusia dalam satu masa.
Kalau rasa takut yang dilarang syariat ada dalam hati, maka rasa takut yang
disuruh syariat, tidak akan bertapak di hati. Sebaliknya kalau takut yang
disuruh syariat mengisi ruangan hati, maka hilanglah pula rasa takut yang
dilarang syariat.
Tujuan
melawan hawa nafsu yang dianjurkan syariat adalah untuk membuang segala rasa
takut yang dilarang, untuk diganti dengan rasa takut yang disuruh. Kemuncak rasa
takut yang dikehendaki syariat ialah rasa takutkan Allah, dengan erti takutkan
segala azab yang dijanjikan oleh Allah di dunia apalagi di Akhirat.
Untuk
itu kita mesti melawan nafsu kita yang takut pada hantu atau momok misalnya.
Setiap kali kita terserempak dengan suasana itu, jangan kita mengalah dengan
nafsu. Kuatkan hati dan tanamkan keyakinan bahawa Allah sahaja yang layak kita
takuti. Yang lain-lain hanyalah makhluk seperti kita dan tidak ada apa-apa
kuasa.
Untuk
lebih berkesan, cuba di waktu tengah malam, kita pergi sendirian ke tanah
perkuburan atau ke tempat-tempat yang menyeramkan. Masya-Allah! Tentulah takut.
Takut itulah yang mesti kita lawan. Lawan dengan iman dan ilmu. Yakin bahawa
tidak ada suatu kuasa pun yang boleh memberi kesan melainkan kuasa dan keizinan
Allah. Waktu itu, isikan hati dengan zikrullah. Sedar dan yakinlah bahawa Allah
sentiasa bersama dan Allah sangat hampir dengan kita. Allah Maha Melihat dan
sedang melihat apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar dan sedang mendengar
apa yang kita katakan. Allah Maha Mengetahui segala masalah yang sedang melanda
hati kita. Allah penentu, Allah pemutus, Allah penolong, Allah pembantu, Allah
penyelamat dan Allah Maha Kasihan Belas pada hamba-hamba-Nya yang mahu mengikut
jalan-Nya. “Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk mencari keredhaan Allah)
pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah
berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
Lakukan
latihan ini dengan tawakal dan doa yang sungguh-sungguh, agar Allah merestui dan
memudahkan perjalanan kita. Buangkan rasa takut itu dan gantikan dengan ingatan
serta keyakinan hanya pada-Nya.
Bagi
orang yang ingin menegakkan kebenaran, tetapi takut dikata orang, takut dihina,
takut dibuang kerja, takut ditangkap, takut dijel, takut dibenci dan
diketepikan, juga wajib bermuhajadah. Lawanlah rasa takut yang begitu dengan
bertindak melakukan amalan tersebut. Misalnya kita takut hendak menghantar anak
ke sekolah yang terjamin ada pendidikan Islam, dengan alasan takut tidak dapat
kerja, takut gelaplah masa depannya di samping takutkan sikap hidup yang konon
ketinggalan zaman.
Cara
melawannya ialah hantarkan sahaja anak ke sekolah yang ditakuti itu. Kuatkan
hati, pejamkan mata, pekakkan telinga dan lepaskan si anak pergi. Apa sahaja
yang dibisikkan nafsu dan syaitan itu kita lawan. Jangan dilayan. Tawakal dan
berdoa kepada Allah semoga usaha itu direstui dan semoga Allah bukakan
jalan-jalan kemenangan kepada kita di dunia dan Akhirat.
Bagi
orang-orang yang tidak melawan nafsu, imannya tidak mungkin dapat bertambah.
Malah makin berkurang. Sama ada mereka sedar atau tidak, mereka telah
diperhambakan oleh nafsu, menempah kecelakaan dan kutukan Allah di dunia dan
Akhirat. Sebenarnya apa yang ditakuti itu, baik jin, mahupun kemiskinan atau
penghinaan dari orang lain, pada hakikatnya tidak begitu. Adakah selama ini jin
yang mencekik dan membunuh orang? Benarkah orang yang berpendidikan Islam itu
miskin dan hina? Benarkah orang yang berpendidikan sekular terjamin hidup
dunianya? Cubalah renung dan fikirkan hakikat ini. Kemudian sesuaikan pula dengan
firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong Allah, Allah akan
menolong kamu dan Dia akan menetapkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)
Demi
Allah yang tidak akan mungkir janji, yakinlah bahawa setiap usaha yang bertujuan
mencari keredhaan-Nya pasti mendapat jaminan dan dimuliakan. Seperkara yang
harus kita sedar bahawa Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih itu, sentiasa
bersedia untuk menolong sesiapa sahaja dari hamba-hamba-Nya. Kerana telah
ditetapkan-Nya bahawa untuk mendidik hati, menambah iman itu perlu kita
banyakkan latihan melawan hawa nafsu, maka Allah sendiri selalu memberi peluang
pada kita untuk berbuat demikian.
Mehnah
atau ujian dari Allah yang selalu menimpa kita seperti miskin, sakit, kematian,
kecacatan anggota, kekurangan rupa paras, lemah dan bodoh, kata nista, hasad
dengki orang, bencana alam dan lain-lain kesusahan serta penderitaan itu adalah
peluang yang Allah berikan untuk kita bermujahadah.
Lagi tinggi taraf iman seseorang, lagi banyaklah mehnah
yang Allah datangkan. Demikian maksud sabda Rasulullah SAW: “Bala yang paling
berat akan ditimpa pada nabi-nabi, kemudian orang yang paling mulia (selepas
nabi), kemudian yang paling mulia selepas itu. Seseorang itu diuji mengikut
pegangan agamanya. Jika kuat agamanya beratlah ujiannya. Jika lemah agamanya,
maka diuji mengikut agamanya.” (Riwayat At Tirmizi)
Apabila
jiwa dihimpit dengan kesusahan-kesusahan, ertinya nafsu tercabar. Nafsu bakhil,
sombong, penakut dan lain-lain mazmumah itu menjadi sakit dan terseksa setiap
kali ditimpa ujian. Sesiapa sahaja sama ada orang Islam atau bukan Islam,
asalkan dia hamba Allah, pasti merasakan hal ini. Bagi orang-orang yang beriman,
dia sedar maksud Allah berbuat begitu. Setiap kali ditimpa ujian dia cepat-cepat
memberitahu hatinya bahawa kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu ia pasti
akan mendapat satu dari dua yakni:
1.
Penghapusan dosa atau
2.
Kasih sayang Allah dan pangkat darjat di Syurga
Apabila
diyakini sungguh-sungguh, bagi kita yang bertaraf iman ilmu tentu akan sanggup
bermujahadah, memaksa nafsu untuk tenang dan merasa tidak ada apa-apa dengan
penderitaan itu. Kalau kita miskin, maka pujuklah hati untuk tidak sedih dan
susah hati dengan kemiskinan. Kajilah kebaikan yang diperolehi oleh orang
miskin, di dunia mahupun di Akhirat. Misalnya di dunia kita beruntung, tidak
payah mengurus, tidak payah bertanggungjawab membantu orang lain. Di Akhirat
pula hisab akan dikurangkan dan dipercepatkan masuk ke Syurga.
Kemudian
ajaklah hati untuk menerima pemberian Allah itu dengan redha, tanpa kesal dan
buruk sangka dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah cukup tahu kenapa kita perlu
miskin. Kita pula sangat lemah untuk memahami hakikatnya apalagi untuk
menangkisnya. Ibarat baju kita yang mana ia tidak pernah tahu kenapa
kadang-kadang dibasuh, kadang-kadang digosok, kadang-kadang dijahit,
kadang-kadang dipakai dan kadangkadang dibuang. Maka begitulah kita yang jahil
tentang rahsia diri dan hati sendiri. Amat munasabahlah untuk kita redha dan
sabar dengan ketentuan Allah kepada kita.
Memang
di peringkat mujahadah, hati masih sakit dan tidak puas hati. Hanya jagalah
supaya kita tidak gelisah, tidak mengungkit-ungkit, tidak mengadu-ngadu serta
tidak buruk sangka dengan Allah. Kalau sifat ini dapat dikekalkan, insya-Allah
peluang untuk meningkatkan iman adalah besar. Sebaliknya kalau setiap ujian
dihadapi dengan keluh-kesah dan gelisah, kebimbangan, tidak sabar dan buruk
sangka dengan Allah, bersedialah untuk menanggung kegelisahan jiwa yang perit
dan penderitaan di Akhirat yang amat sangat.
Untuk
pengetahuan kita, perlu dinyatakan bahawa bagi orang-orang muqarrobin dan
nabi-nabi, iman yang tinggi menjadikan mereka lebih senang hidup dalam kesusahan
daripada kesenangan. Mereka lebih inginkan kekurangan daripada kecukupan.
Sebagai bukti cuba kita lihat doa Rasulullah SAW: “Wahai Tuhan, hidupkan aku di
dalam ke-miskinan, matikan aku dalam kemiskinan dan kumpulkan aku dalam Syurga
bersama orang-orang miskin.” (Riwayat At Tirmizi)
Sayidina
Ali dalam sejarahnya pernah ketika dia hanya ada sebiji kurma untuk berbuka
puasa, tiba-tiba datang peminta sedekah meminta makanan, terus diberikannya
kurma yang sebiji itu.
Seorang perempuan di zaman Rasulullah SAW, yang punya tiga
anak lelaki, sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum
ketika anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang tetapi menangis
bila diberitahu anak bongsunya juga syahid. Bila ditanya kenapa dahulu senyum,
sekarang menangis? Beliau menjawab: “Aku sedih kerana tiada lagi anak yang boleh
aku korbankan untuk jihad fisabilillah.”
Nafsu
kita juga selalu membuatkan kita kelu dan takut untuk bercakap bila berhadapan
dengan orang-orang besar atau raja. Sedangkan bercakap benar di hadapan raja
yang zalim itu adalah dituntut. Rasulullah SAW bersabda: “Jihad yang
paling utama itu berkata benar kepada penguasa yang zalim.” (Riwayat
Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh
itu kita mesti berusaha dapatkan sifat berani. Untuk melakukannya, mesti
biasakan bercakap kebenaran bila semajlis dengan orang-orang besar. Memanglah di
permulaannya kita akan rasa gementar tetapi lama kelamaan rasa takut pada
makhluk itu pasti hilang. Yang timbul hanya rasa takut pada Allah sahaja.
Tanpa
latihan tidak mungkin kita boleh buat peningkatan. Sedangkan latihan itu memang
sulit. Kerana kita dihalang oleh nafsu. Rasa takut dan rendah diri itu sudah
lama mendarah mendaging. Jadi dengan jiwa tauhid yang kuat dan ampuh bertunjang
di hati saja, kita mampu menolak nafsu-nafsu takut dan hina diri itu. Terutama
bila berhadapan dengan orang besar atau orang yang berkuasa.
2.
TAHALLI
Tahalli
bererti menghias. Yakni perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah kita mujahadah
yakni mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji atau mazmumah, segera pula kita
menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami,
cuba gambarkan hati kita sebagai sebuah mangkuk yang kotor. Kemudian mangkuk itu
dibersihkan. Setelah bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan
barang-barang yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah dengan hati
yang telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi. Janganlah dibiarkan
ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifatsifat mahmudah pula.
Untuk
mengisi hati dengan sifat mahmudah, sekali lagi kita perlu mujahadah. Saya
tegaskan sekali lagi, bahawa dalam pe-ringkat mujahadah ini, kita masih berasa
berat dan susah. Susahnya memerangi hawa nafsu itu kerana hakikatnya kita
terpaksa memerangi diri kita sendiri. Bukankah sebelum ini kita katakan nafsu
itu sebahagian dari jasad kita, iaitu jasad halus kita (jismul latif). Maknanya
belum ada ketenangan dan kelazatan yang sebenar. Bagaimana hendak lazat kalau
terpaksa memerangi diri sendiri. Insya-Allah, kalau kita bersungguh-sungguh,
lama kelamaan bila ia sebati dengan hati, di waktu itu akan terasalah lazatnya.
Kerana setelah kita bersungguh-sungguh, Allah akan membantu sepertimana
janji-Nya dalam Al Quran.
Cara-cara
mujahadah dalam tahalli samalah seperti kita mujahadah untuk takhalli. Macamlah
juga orang yang buat latihan senaman untuk sihatkan badan. Peringkat awal
tentulah terasa letih, menjemukan dan sakit-sakit badan. Tetapi akhirnya nanti,
dia akan rasa seronok dan terhibur dengan senaman itu. Begitulah juga dalam
riadatunnafsi ini. Ertinya, kita bersenam secara rohaniah. Peringkat awal
tentulah jemu dan terseksa tetapi akhirnya ia akan mesra dengan tabiat diri
kita.
Misalnya,
kita mahu menghiasi hati dengan sifat pemurah. Maka kita mujahadah dengan
mengeluarkan harta atau barang kita, terutama yang kita suka dan sayang, untuk
diberi pada yang memerlukannya. Mulanya tentu terasa berat dan payah. Tetapi
jangan menyerah. Kita lawan. Ingatkan hati bagaimana orang-orang muqarrobin
berebut-rebut untuk dapatkan pahala sedekah. Sayidatina Aisyah r.ha. di waktu
tiada apa yang hendak dimakan, beliau cuba juga mendapatkan walau sebelah kurma
untuk disedekahkan. Begitu kuat keinginan mereka pada pahala dan rindunya dengan
Syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT: “Siapakah
yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan
melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperolehi pahala
yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Setiap
kali kita rasa sayang pada harta, setiap kali itulah pula kita keluarkannya.
Insya-Allah lama-kelamaan kita akan memiliki sifat pemurah. Begitu juga dengan
sifat-sifat mahmudah yang lain seperti kasih sayang, berani, tawadhuk dan
sebagainya, perlulah kita miliki. Untuk itu kenalah bermujahadah. Jika tidak,
iman juga turut hilang. Sebab iman itu terdiri di atas sifat-sifat
mahmudah.
3.
TAJALLI
Sebagai
hasil mujahadah dalam takhalli dan tahalli , kita akan memperolehi tajalli.
Iaitu sejenis perasaan yang datang sendiri tanpa memerlukan usaha lagi. Agak
sukar untuk dituliskan atau digambarkan dengan bahasa. Apakah yang dikatakan
tajalli? Yang sebenarnya ia adalah sejenis perasaan yang bersifat maknawiah
(zauk), yang hanya mungkin dimengertikan oleh orang-orang yang mengalami dan
merasainya. Sepertilah kemanisan gula, tidak akan dapat digambarkan secara
tepat.
Tajalli
secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah perasaan rasa
bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan
terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju pada Allah. Hati
tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam mencintai-Nya dengan tidak putus-putus
lagi. Harapan dan pergantungan hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah.
Dirasakan oleh hatinya bahawa seluruh amal bakti yang dibuatnya, adalah kerana
dan untuk Allah semata-mata. Atau hadiah daripada Allah kepadanya. Apa sahaja
masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada pun kesusahan dalam
hidupnya. Sebab semua itu dirasa pemberian dari Kekasihnya, Allah SWT. Kalau
begitu, bagi orang-orang yang beriman, dunia ini sudah terasa bagaikan Syurga.
Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan kebahagiaan abadi iaitu
kebahagiaan hati.
Setakat
ini yang mampu saya gambarkan rasa tajalli yang agak rasional yang boleh
dihuraikan secara ilmiah. Yang selebihnya, lemahlah tinta untuk menulisnya.
Hanya siapa yang dapat, dia akan merasakannya dan tidak dapat berkongsi dengan
orang lain pula. Kalau cuba juga diceritakannya, akan menimbulkan fitnah di sisi
orang-orang yang jahil. Sementara orang-orang yang hasad dengki pula akan
mengambil peluang menuduhnya sesat, kafir atau zindik. Dalam soal ini ada seorang
Sahabat Rasulullah SAW pernah berkata: “Kalau aku luahkanlah apa yang terasa
dalam hati ini, orang akan menuduh aku kafir dan lantas membunuh aku.”
B.
ISTIQAMAH
Sikap
istiqamah (tetap) beramal adalah benteng iman yang keempat. Seseorang yang
memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya
daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka
satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya.
Bagaimana ini boleh terjadi?
Telah
dikatakan berulang kali bahawa tujuan ibadah serta membersihkan hati itu adalah
untuk membuahkan iman dan akhlak. Kalau tidak begitu, ibadah itu tidaklah
bererti apa-apa. Amalan yang membuahkan iman dan akhlak itu adalah benteng yang
menjaga iman. Maka melaksanakannya secara tetap dan berterusan akan menetapkan
iman dan akhlak itu pada hati kita. Sebaliknya, kalau amalan yang berbuah itu
dilakukan sekalisekala dan tidak berterusan, maka tentulah iman itu juga tidak
terjamin keselamatannya. Di waktu amalan itu kita lakukan, iman akan tinggi
tetapi ketika amalan itu ditinggalkan, iman akan menurun atau merosot.
Oleh
itu supaya iman sentiasa ada dan stabil, sikap istiqamah beramal adalah penting.
Ia akan bertindak sebagai benteng yang dapat memelihara dan menyelamatkan iman
daripada serangan musuh terutama nafsu dan syaitan. Sabda Rasulullah SAW:
“Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan (berkekalan)
walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang
penting dalam beramal ialah mengekalkan amalan itu. Kalau tidak mampu berbuat
banyak amalan, cukuplah sedikit, asal dikekalkan (istiqamah), daripada banyak
amalan tetapi tidak kekal. Contohnya, membaca Al Quran, cukuplah lima baris
sahaja tetapi dibuat tiap-tiap hari daripada lima juz sekali baca tetapi dibuat
sebulan sekali. Sembahyang sunat pula, cukuplah dua rakaat tiap-tiap malam
daripada seratus rakaat tetapi sebulan sekali. Begitu juga dengan sedekah. Biar
hanya 10 sen setiap hari daripada RM10 tetapi setahun sekali.
Kebaikan
dari sikap istiqamah ini ialah:
1.
Amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau
terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu. Sebaliknya kalau
banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas
pada batu.
2.
Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali
kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu
kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat
inilah yang akan memelihara iman kita.
3.
Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita.
Dengan istiqamah, barulah seim-bang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu.
Makna-nya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak
kita.
Imam Al Ghazali pernah mengingatkan, “Banyakkanlah olehmu
akan amalan yang terasa berbekas di hati.”
Lain
orang lain hatinya, maka lain pulalah minat dan kegemaran beramal. Ada orang
seronok dengan zikir ‘alhamdulillah’. Maknanya bila sebut ‘alhamdulillah’ terasa
di hati lazatnya zikir itu. Maka untuk orang ini banyakkanlah zikir itu. Orang
lain pula rasa lazat dengan puasa. Maka banyakkanlah puasa sunat. Begitu juga
ada orang yang terasa lazat dengan berfikir. Bila berfikir terasa bertambah iman.
Maka banyakkanlah berfikir.
Kebaikan
dari sikap ini ialah apabila sesuatu amalan itu dilakukan dengan suka dan rela,
ia akan lebih berkesan dan tidak menjemukan. Orang yang beramal kerana terpaksa
dan ikut-ikutan atau secara jahil dan tidak faham falsafah ibadah itu, tidak
akan memperolehi apa-apa kesan baik. Sebaliknya akan mudah terasa jemu. Orang
yang jemu beramal akan putus hati dengan Allah. Bila putus hubungan hati dengan
Allah, bermakna orang itu sedang berada dalam kemurkaan Allah. Allah berfirman
dalam Hadis Qudsi: “Hai hamba-Ku, mengapa kamu jemu beramal sedangkan
Aku tidak pernah jemu memberi pahala padamu?”
Allah
SWT sentiasa bersedia untuk melimpahkan rahmat dan pahala pada kita tetapi
mengapa kita tidak mempedulikan-Nya? Untuk mengelak dari sikap itu, kita mesti
berhati-hati dalam beramal. Jangan beramal kerana ikut-ikut orang dan kerana
terpaksa. Tilik dahulu hati dan minat kita, kemudian pilihlah amalan yang
betul-betul sesuai. Barulah dilakukan amalan itu. Kalau tidak, lama-kelamaan
penyakit jemu beramal akan menyerang kita.
Bila
jemu, banyaklah perkara yang boleh berlaku. Ada yang langsung meninggalkan
amalan itu. Ada pula yang langsung benci dengan Islam. Ada yang kadang-kadang
buat, kadang-kadang tinggalkan. Sebab itu, banyak berlaku orang lari
meninggalkan jemaah Islam, pergi meneruskan hidup yang sesuai dengan kehendak
nafsu dan syaitan.
Dalam
beramal elok dipraktikkan teori: “Biar sedikit tetapi banyak jenis
daripada banyak tetapi satu jenis.”
Mencari
keuntungan Akhirat samalah seperti mencari keuntungan di dunia. Di dunia
macam-macam yang kita buat seperti berniaga, tanam padi, tanam sayur, tangkap
ikan, ternak kambing dan lembu. Kalau satu daripada usaha-usaha itu mengalami
kerugian, kita masih boleh bergantung pada usaha-usaha yang lain. Tetapi kalau
kerja kita satu jenis sahaja, katakanlah berniaga sahaja, tiba-tiba kita rugi,
akan menderitalah kita waktu itu.
Begitulah
juga halnya dalam mencari keuntungan hidup di Akhirat. Elok kita beramal banyak
jenis selain yang difardhukan seperti sembahyang, puasa, sedekah, zikir, baca
Quran, tolongmenolong, berkhidmat, berdakwah dan lain-lain yang dianjurkan oleh
syariat. Katalah ada di antara amalan itu tidak diterima oleh Allah, waktu itu
masih ada lagi amalan yang lain boleh kita harapkan. Tetapi kalau satu jenis
sahaja amalan, tiba-tiba yang satu itu tidak diterima, apalagi yang boleh
diharapkan? Oleh itu cuba jangan tumpukan amalan kita pada satu jenis sahaja.
Usahakan supaya banyak jenis. Biarlah sedikit asalkan istiqamah.
C.
BERTAFAKUR
Seterusnya
kita lalui jalan berfikir (tafakur). Banyak ayat Al Quran yang menganjurkan kita
berfikir. Firman Allah SWT: “Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang
(kejadian) diri mereka?” ( Rom:8 )
Firman
Allah: “Apakah kamu tidak memikirkannya?” (Al An’am: 50)
Firman
Allah: “Pada diri kamu mengapa kamu tidak memerhatikannya.” (Az Zariyat:
21)
Berfikir
yang dimaksudkan di sini ialah merenung dengan hati dan akal tentang ciptaan
Tuhan hingga datang rasa insaf dan terasa kelemahan diri. Misalnya memikirkan
rahsia ciptaan alam sehingga terasa kebesaran Allah dan timbul rasa gerun pada
kekuasaan-Nya. Seterusnya memikirkan rahsia perjalanan hati yang bergelombang
antara berbagai alunan rasa mazmumah dan mahmudah. Yakni tanpa dikontrol oleh
kita, dapat kita rasakan satu pentadbiran Yang Maha Agung sedang mengawasi diri
kita. Kesannya kita akan rasa sungguh takut untuk menderhakai Allah. Merenung
dan berfikir tentang mati, yang tidak pernah ada seorang pun dapat mengelak
darinya sehingga timbul rasa ingin beramal secara serius, sekaligus mahu membuat
persiapan ke arah itu. Berfikir terus tentang itu semua, insya-Allah hati kita
akan dimasuki sifat-sifat mahmudah.
Jadi
untuk memiliki sifat-sifat mahmudah mestilah seseorang itu membuat
latihan-latihan berfikir seperti berfikir tentang kesalahan diri, tentang dosa dan
tentang mazmumah dalam diri. Bawa tafakur dan merenung barulah terasa betapa
buruknya mazmumah. Ketika itu barulah mahu menyerah dan menghina diri kepada
Allah. Kesannya akan mendorong kita untuk tunduk dan patuh kepadaAllah dan
perintah-Nya. Mendorong kita menjadi tawadhuk, rendah diri, berlemah-lembut
sesama manusia dan memiliki lain-lain sifat mahmudah. Jadi berfikir juga salah
satu cara boleh membaiki diri seseorang.
D.
BERGAUL
Tarbiah
dan didikan juga boleh didapati melalui pergaulan. Imam Al Ghazali r.hm. ada
berkata, di antara cara-cara yang praktikal untuk membaiki diri, hendaklah kita
bergaul dengan orang ramai. Melalui pergaulan dapat dikesan sifat-sifat buruk
kita. Manusia umum biasanya lebih memperkatakan tentang keburukan kita daripada
kebaikan kita yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu itu
satu kejahatan. Jadi bila kita dikata orang, barulah kita tahu akan kejahatan
diri. Maka di waktu itu mudahlah untuk membaikinya.
Cara
membaiki diri seterusnya ialah melalui pimpinan. Pemimpin atau guru mursyid itu
mampu memimpin kerana kelebihannya yakni dia lebih tahu tentang kecacatan dan
kelemahan muridnya lebih daripada muridnya mengenali dirinya sendiri. Mengetahui
tentang sir dan batin muridnya. Tahu pula membaca hal-hal halus yang ada pada
hati seseorang. Pemimpin yang soleh atau guru mursyid itu juga nampak dan boleh
menunjuk kelemahan diri kita. Boleh mendidik dan menunjuk ajar. Biasanya cara
ini lebih berkesan dan lebih cepat untuk kita membuat perubahan diri. Asalkan
kita dapat memberi kepatuhan kepadanya tanpa berbelah lagi. Biasanya dia
sentiasa buat teguran kepada pengikut-pengikutnya atau murid-muridnya sama ada
secara langsung dengan lisan mahupun dengan perbuatan secara tidak
langsung.
Jadi
pimpinan pemimpin yang mursyid itu lebih berkesan daripada latihan-latihan lain
dalam membaiki diri yakni membaiki roh kita itu. Walau bagaimanapun pelbagai
macam latihan lagi boleh dibuat. Terpulanglah kepada kesedaran dan kemampuan
kita. Begitulah ilmu tentang roh atau ilmu rohani. Ia adalah ilmu untuk dapat
mengesan sifat-sifat roh sama ada yang mahmudah untuk disuburkan mahupun yang
mazmumah untuk ditumpaskan supaya roh kita ini bersih dan murni. Membersihkan
roh atau hati itu mestilah melalui dua peringkat. Peringkat awal dengan
mengetahui ilmu dan peringkat kedua melalui latihan.
Setelah
menempuh kedua-dua jalan ini, dengan hidayah dan taufik daripada Allah, hati atau
roh itu akan bersih. Sedangkan hati ini merupakan raja dalam kerajaan diri.
Dialah yang mengarah, dialah yang menahan, dialah yang menyuruh dan
sebagainya.
Bila
mana roh dan hati ini menjadi raja dalam diri, kalau raja sudah bersih, ertinya
raja itu sudah baik, maka segala anggota lahir atau jawarih seperti tangan,
kaki, mulut, mata, telinga dan lain-lainnya, akan mematuhinya. Walaupun terasa
berat, bila hati sebagai raja dalam negara diri sudah memerintah, maka seluruh
rakyat dalam dirinya akan mematuhinya.
Ditegaskan
sekali lagi, anggota-anggota lahir itu adalah ibarat rakyat dalam negara diri
dan hati adalah rajanya. Bila raja baik, seluruh rakyat akan baik. Maknanya
seluruh anggota lahir kita ini akan baik. Tetapi bila raja itu jahat, maka
dikerahkan pula anggota lahir kita ini untuk buat kerja-kerja jahat. Bila raja
dalam diri baik, baiklah seluruh jawarih, maka jawarihkita ini akan tunduk
kepada perintah Allah. Itulah anggota manusia yang bersyariat. Jadi anggota
lahir ini boleh bersyariat kerana hati itu bersyariat. Anggota lahir kita ini
baik, kerana hati itu baik. Anggota lahir kita ini boleh rukuk dan sujud, kerana
hati itu sudah rukuk dan sujud. Anggota lahir ini walau bagaimana susah pun, dia
sanggup juga tunduk kepada Allah kerana hati sudah tunduk. Inilah yang
dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul
daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah
manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari
Nukman bin Basyir)
Begitu
besarnya peranan hati atau roh ini. Ia adalah raja dalam kerajaan diri. Sebab
itu Allah memerintahkan hati atau roh mesti dibersihkan. Bersihkan mazmumahnya
digantikan dengan mahmudah melalui takhalli, tahalli dan tajalli, sepertimana
yang telah dibahaskan. Jadi baru kita tahu anggota lahir kita ini akan
bersyariat bila hati itu bersyariat. Anggota lahir itu baik bilamana hati itu
baik. Bila anggota lahir itu tidak patuh kepada Allah atau tidak bersyariat, itu
menunjukkan hati tidak baik. Jahatnya berpunca dari hati yang tidak baik.
Ertinya raja dalam kerajaan diri ini sudah khianat dan sudah zalim hingga dia
menzalimi semua rakyatnya yang ada dalam dirinya, iaitu anggota lahir atau
jawarih kita itu.
Jadi
kalau hati yang menjadi raja dalam kerajaan diri sudah baik, maka dia akan
kerahkan anggota lahirnya sebagai rakyat dalam diri membuat baik. Maka Allah
berkata dalam Al Quran: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang
membersihkan hatinya (roh atau nafsu). Dan kecewalah orang-orang yang
mengotorinya.”(As Syams: 9-10)
Jadi
Allah sebut orang yang hatinya baik, dia akan berjaya atau menang dalam hidup.
Berjaya di dunia dan berjaya di Akhirat. Mendapat kemenangan di dunia dan
mendapat kemenangan di Akhirat. Sebaliknya, kalaulah hati seseorang itu sudah
rosak, hatinya kotor hingga mazmumahnya subur, mahmudahnya kurus, maka hati yang
kotor itulah yang akan mengecewakan manusia di dunia lagi. Hidupnya
lintang-pukang, haru-biru, tidak ada kasih sayang, tidak ada kemesraan, selalu
bergaduh, bergeseran dan krisis hingga membawa peperangan. Maka dengan kerosakan
itu tidak ada lagi keamanan di dunia ini. Ini semua adalah hasil atau kesan
daripada roh atau jiwa atau hati yang tidak dibersihkan. Akibatnya gagallah
hidupnya walaupun dia seorang kaya, seorang raja, seorang pembesar atau seorang
alim. Orang yang gagal di dunia, akan gagal di Akhirat. Orang yang kecewa di
dunia, akan kecewa di Akhirat. Di Akhirat terjun ke Neraka.
Sebab
itu dalam ajaran Islam, membersihkan roh itu amat penting sekali bahkan
diwajibkan yakni dengan cara mempelajari ilmu rohaniah atau ilmu mengetahui
tentang sifat-sifat roh atau hati. Roh itulah hakikat diri manusia. Ia adalah
penentu baik atau jahatnya seseorang itu. Oleh itu bila roh manusia baik,
ertinya manusia itu kembali kepada hakikatnya iaitu bersifat seperti manusia.
Kalau rohnya diabaikan hingga penuh dengan sifat mazmumah, maka dia tidak
kembali kepada hakikatnya. Walaupun rupanya manusia tetapi sifatnya mungkin
haiwan atau mungkin syaitan.
Begitulah
pentingnya roh atau hati dalam Islam. Begitu penting mempelajari ilmu rohani
supaya kita tahu tentang sifat-sifat roh itu. Yang mahmudahnya hendak kita
suburkan manakala yang mazmumahnya hendak kita tumpaskan dan dicabutbuangkan.
Perbincangan atau perbahasan ini hanya ada di dalam ilmu
tasawuf.
Read more at http://mencariygbenar.blogspot.com/2012/03/cara-memimpin-hati.html#RRz1rO0ut7L2XJ7s.99
Ulasan
Catat Ulasan