Puasa Cara RASULULLAH
Puasa Cara RASULULLAH
July 7, 2012 | 0 commentsRasulullah S.A.W Bersahur
Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan
diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah
s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia
dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu
solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan
hari siang kita dengan berpuasa.
Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah
kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.(HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur
kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam.
Sabdanya: bermaksud: Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu
al-Kitab adalah makan sahur (HR: Muslim)
Rasulullah Menyegerakan Berbuka
Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa
yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat
mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.
Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia
menyegerakan berbuka puasa.(al-Bukhari & Muslim)
Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan
yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat
perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata
masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu
untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan
untuk membeli juadah mereka.
Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun
azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di
dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini
kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.
Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah
s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah
bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn
Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani
r.h yang bermaksud:
Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya
menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan
Kristian, mereka melewat-lewatkannya.
Berbuka dengan beberapa biji kurma
Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan
memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk
memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah
diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad,
Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka
dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma
basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering,
baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering
meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan
dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib.
Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila
Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa
di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara
kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar
sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk
memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa
Nabi s.a.w telah bersabda;
Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan
melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan
ibadah malam.
Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak
menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini.
Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur
sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa
bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk
melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala
dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikit pahala
dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga.
Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak
menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan
lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu
yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.
Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun
bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong
hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan al-Tabarani yang bermaksud:
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada
pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya
hanyalah mengantuk (tiada pahala)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh
Imam al-Bukhari yang bermaksud:
Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka
janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela
oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata “Saya berpuasa”.
Memberi Makan Orang Yang Berpuasa
Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk
meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta
dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang
berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah
/* Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk
berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti
pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun
daripadanya*/ (Tirmidzi dan Ibn Majah)
Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang
yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa.
Doa Ketika Berbuka Puasa
Berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab. Kita digalakkan untuk
berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut.
Rasulullah s.a.w bersabda
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil,
Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang
dizalimi. (Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa.
Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi
tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadis ini
sebagai hasan. Doa tersebut adalah:
ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Bermaksud: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah
ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w
dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu
mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam
beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat
menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh
makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam.
Mohammad Sufian Talib
Ulasan
Catat Ulasan