APAKAH UCAPAN RAMADAN BID’AH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada yang berkata bahawa ucapan ‘Selamat Menyambut Ramadan’ ataupun Ramadan Mubarak itu bid’ah. Ini atas alasan tiada riwayat daripada Nabi s.a.w ataupun para sahabat tentang hal tersebut. Saya bertanya ‘apakah mereka yang mengucapkan perkataan tersebut bermaksud ingin mengujudkan satu ibadah khusus dalam Islam? Ataupun ia sekadar adat kebiasaan manusia mengucapkan ucapan yang baik sempena kebahgiaan dan kegembiraan tertentu? Jika mereka maksudkan ingin mengujudkan satu rupa ibadah ataupun syiar khusus baru Islam maka itu bid’ah. Jika itu satu ucapan kebiasaan seperti ‘selamat pengantin baru’, maka itu adat yang dibenarkan oleh agama ini. Agama ini luas dalam soal adat dan kebiasaan manusia. Islam meraikan budaya yang baik yang dapat menguatkan hubungan antara manusia.
Ucapan Tahniah
Sudah menjadi kebiasaan manusia bertamadun mengucapkan tahniah atau apa-apa ucapan penghargaan apabila mendapati seseorang lain memperolehi sesuatu kebaikan ataupun selamat dari sesuatu bahaya. Manusia dalam pelbagai bangsa dan budaya telah mencipta ungkapan tahniah atau tahiyyah (greeting) untuk pelbagai sempena. Ada ucapan sempena waktu pagi dan petang, sempena hariraya dan sambutan kenegaraan, sempena kejayaan dan pelbagai lagi. Ini adalah adat manusia yang merupakan sebahagian dari lambang ketinggian budi dan tamadun.
Oleh kerana ucapan kepada mereka yang diberikan nikmat tertentu sebagai satu cara bagaimana manusia menggambarkan hubungan antara mereka, maka Islam menghitungnya sebagai perbuatan yang mendapat pahala. Oleh itu apabila tiga orang sahabat Nabi s.a.w iaitu Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin al-Rabi’ yang telah dihukum oleh Nabi s.a.w secara dipulau oleh masyarakat muslim kerana tidak menyertai peperangan Tabuk diberikan kemaafan oleh al-Quran, maka para sahabat Nabi s.a.w yang lain mengucapkan tahniah kepada mereka atas keampunan Allah tersebut. Kisah mereka disebut dalam Surah at-Taubah ayat 118 dan juga hadis-hadis sahih termasuk al-Bukhari dan Muslim. Mengulas ucapan gembira yang para sahabat Nabi s.a.w berikan kepada mereka bertiga, al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) menyebut dalam Syarh Sahih Muslim:
“Ia adalah dalil disunatkan mengucapkan kegembiraan dan tahniah kepada sesiapa yang baru mendapat sesuatu nikmat zahir , ataupun terlepas dari sesuatu kesusahan yang amat, ataupun seumpamanya. Sunat ini merangkumi segala nikmat yang diperolehi, ataupun kesusahan yang terlepas, samada dalam urusan agama ataupun dunia”.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Zad al-Ma’ad juga menyebut:
“Pada hadis (kisah tiga sahabat tersebut) dalil disunatkan mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang baru mendapat nikmat berkaitan agama, (disunatkan) bangun kepadanya dan berjabat tangan jika bertemu. Ia pula sesuatu yang harus (diboehkan) bagi sesiapa yang mendapat nikmat dunia”.
Tiada Halangan
Ertinya, walaupun Islam telah menetapkan bahawa ucapan rasmi Islam apabila muslim bertemu antara mereka adalah ‘salam’, namun Islam dalam masa yang sama tidak menghalang untuk kita mengucapkan ucapan yang lain yang tidak menyanggahi ajaran Islam. Salam adalah ucapan apabila kita bertemu ataupun memulakan bicara dengan seseorang. Namun ucapan perhormatan dan tahniah, membabitkan lebih banyak keadaan dan sempena yang pelbagai. Islam tidak melarangnya. Bahkan Islam memerintahkan kita menjawab setiap ucapan penghormatan (greeting) dengan yang lebih baik, ataupun setara dengannya. Ini seperti firman Allah: maksudnya):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa: ayat 86).
Maka sebab itu jumhur ulama tidak melarang ucapan tahniah sempena hariraya. Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam al-Mughni memetik bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal mengizinkan ucapan “TaqabbalalLahu minna wa minka” (Allah terima dari kami dan kamu). Walaupun tiada hadis yang meriwayatkan hal ini, namun perkara ini termasuk dalam keumuman urusan kehidupan yang diizinkan dan diluaskan oleh Islam. Ia bukan satu penciptaan ibadah baru, tetapi suatu hubungan social antara manusia.
Tanpa syak lagi, kedatangan Bulan Ramadan suatu nikmat kegembiraan dunia dan akhirat untuk umat Islam. Maka ucapan sempena kedatangan Ramadan sama seperti ucapan sempena kedatangan hariraya dan selainnya yang mengembirakan kita. Justeru itu, ucapan itu sesuatu yang baik dan boleh mendapat pahala kerana mengukuh hubungan sesama muslim. Jika pada senyuman ada pahala, apatahlagi bagi ucapan yang baik. Maka ini juga menjawab mereka yang melarang penghantaran ucapan selamat hariraya ataupun selamat menyambut Ramadan.
* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”
Ulasan
Catat Ulasan