Catatan untuk Kakak
Bila seseorang itu berada di depan kita, kehadirannya tidak menjadi soal besar kepada kita. Namun selepas pemergiannya buat selamanya, barulah kita merasa kehilangan dan adakalanya timbul perasaan rindu terhadapnya. Begitulah perasaan ku terhadap kakak.
Sentiasa terpancar kenang-kenangan ku bersama kakak yang sering mengasihi dan tanpa ku sedarinya waktu dirinya masih berada di muka bumi ni. Betapa besar pengorbanan kakak terhadap 6 orang adiknya, tanpa disedari oleh adik-adiknya. Agaknya banyak cerita-cerita kesusahan beliau yang tidak diketahui oleh kami, adik-adiknya.
Betapa bangga agaknya perasaan seorang kakak apabila setiap seorang adik-adiknya berjaya dalam pelajaran sedangkan beliau hanya seorang pekerja biasa di sebuah pam minyak , dua orang Doktor, seorang Jurutera, seorang ahli sains dan 2 orang ahli pentadbiran. Tidak pernah dirinya meminta balasan apa-apa daripada adik-adik yang telah berjaya dalam hidup.
Agaknya, begitu sayu hatinya bila dirinya dibentak-bentak dan dilukai hatinya oleh perangai adik-adiknya. Tidak pernah terkeluar sepatah huruf dari mulutnya mendoakan kecelakaan terhadap adik-adiknya. Setiap kesusahan adik-adiknya juga menjadi kerisauan dalam dirinya.
Tempoh beliau uzur di atas katil selama 5 tahun merupakan saat-saat yang sungguh memilukan hatinya. Ketika kaki tidak boleh melangkah lagi, tiada siapa yang sudi menghiburkan hatinya kecuali pembantu yang akhir menjaganya. Di kala itulah hatinya terhibur dan sempat melafazkan kata-kata kehibaan dan kesedihan. Hanya layanan yang baik dari pembantunyalah menjadi penghibur hatinya. Itulah menjadi temannya sebelum beliau kembali mengadap illahi.
Semuga roh kakak terus aman di sana dan sentiasa Allah swt menurunkan rahmatnya dan ihsan kepada kakak. Sesungguhnya adik-adikmu sangat merindui kehadiranmu biarpun sekarang hanya pusara sahaja yang dapat dilawati...
Ulasan
Catat Ulasan