Senaman kurangkan sakit saraf bagi pengidap diabetes
by sitik dari blog Sitik's
Sebagaimana kita tahu senaman sangat penting bagi kesihatan semua, termasuk pesakit/pengidap diabetes, kerana senaman yang betul dan dilakukan secara konsisten dapat membantu mengawal sakit saraf atau neuropati periferal.
Kebanyakan pesakit diabetes mempunyai masalah saraf yang mana deria rasanya kurang berfungsi. Banyak kajian yang dilakukan mendapati berjalan pantas di atas ‘threadmill’ sebanyak 4 kali seminggu dapat memperlahankan kemerosotan atau kerosakan saraf.
Pesakit diabetes disaran melakukan senaman yang sesuai atas nasihat doktor secara konsisten supaya ia tidak memberi kesan yang tidak diingini. Biasanya pesakit diabetes perlukan 2 jenis senaman iaitu untuk kesihatan dan keseimbangan badan yang berkait dengan saraf.
Di antara tips senaman yang sesuai bagi pesakit diabetes:
1. Senaman jenis perlahan bagi mengelakkan kerosakan saraf pesakit diabetes, dan perlulah dilakukan secara konsisten. Contohnya,
* Berenang atau senaman dalam air kerana air dapat menyokong berat badan, oleh itu kurang tekanan ke atas kaki.
* Yoga atau Tai Chi yang mana pergerakannya dapat membantu keseimbangan badan serta rasa relaks.
2. Apa jenis senaman pun, pergerakan perlu dilakukan secara perlahan-lahan dahulu, kemudian baru boleh dicepatkan, mengikut kemampuan badan. Jika tiada kecederaan terjadi, lakukan senaman sehingga 30 minit sehari dan 5 hari seminggu.
3. Jika melakukan senaman berjalan, pastikan gunakan kasut yang sesuai dan selesa serta ikat tali kasut dengan kemas supaya ia tidak terpijak semasa berjalan yang boleh mengakibatkan jatuh dan cedera. Amalkan berjalan dengan cara tumit ke ibu jari (seperti dalam gambarajah di bawah ini). Semasa melangkah ke depan, pastikan kaki belakang lurus dengan kaki depan. Biarkan lutut bengkok sedikit dan kembangkan lengan bagi membantu keseimbangan badan. Jika mahu, cuba lakukan beberapa langkah ke belakang pula.
4. Senaman bagi keseimbangan badan boleh dilakukan dengan 3 cara yang biasa iaitu:
* Senaman seimbangkan badan dengan latihan bangun dari kerusi. Lakukan 3 kali setiap pusingan, kemudian berhenti sekejap, dan ulang semula beberapa pusingan lagi sehingga keseimbangan badan menjadi lebih baik.
* Seimbangkan badan dengan berdiri atas satu kaki. Caranya, dengan perlahan-lahan angkat sebelah kaki dan berdiri di atas kaki sebelah lagi (seperti dalam gambarajah di bawah ini), dan biarkan selama 30 saat (kiraan 30). Kemudian tukar kaki sebelah lagi.
Apabila badan sudah seimbang, lakukan lebih lama lagi mengikut kemampuan badan masing-masing.
* Berdiri atas hujung kaki dengan menggunakan kerusi atau benda lain sebagai penyokong supaya tidak jatuh. Caranya, dengan perlahan-lahan naikkan kedua-dua tumit kaki dan biarkan (seperti dalam gambarajah di bawah ini). Lanjutkan tempoh masa bagi latihan ini dari semasa ke semasa mengikut kemampuan masing-masing bagi memperbaiki keseimbangan badan. Lakukan senaman ini setiap hari.
5. Sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal, buat pemeriksaan doktor ke atas jantung, mata dan kaki terlebih dahulu bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Selepas setiap senaman atau aktiviti fizikal lain, periksa kaki bagi melihat sama ada ada atau tidak sebarang kecederaan, melecet, kulit tersiat, rekah, tercalar, luka, dsb. Jika ada, rawatlah kecederaan tersebut dengan segera sebelum menjadi bertambah teruk. Pemeriksaan ini perlu kerana pesakit diabetes biasanya tidak ada atau kurang deria rasa di kaki.
6. Apabila melakukan aktivit fizikal di luar rumah, pastikan pesakit diabetes memakai kasut yang sesuai bagi mengelakkan kecederaan, luka atau melecet di tumit atau hujung jari. Pesakit diabetes juga dinasihatkan membawa sedikit bekalan makanan sebagai sumber tenaga (seperti gula-gula atau kismis) yang dapat membantu sekiranya gula dalam darah menurun secara mendadak.
7. Pemeriksaan kandungan glukosa darah sebelum dan selepas menjalankan aktiviti fizikal adalah perlu bagi membantu mengetahui kesan aktiviti fizikal tersebut ke atas gula dalam darah. Julat kandungan gula dalam darah yang selamat ialah di antara 100 hingga 250 mg/dL. Jika purata gula dalam darah melebihi 250mg/dL di samping mempunyai diabetes Jenis 1, maka perlulah diperiksa juga kandungan keton dalam air kencing. Sekiranya kandungan keton ini sederhana atau tinggi, tangguhkan dulu aktiviti fizikal ini sehingga bacaannya turun.
8. Pilihlah senaman atau aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan tidak membosankan, sama ada dibuat secara sendiri atau bersama rakan-rakan.
Ulasan
Catat Ulasan