Kualiti Iman Yang Terbaik


Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Manusia dinilai dengan kualiti iman yang baik di sisi Allah. Tak kira siapakah dia di mata masyarakat, hal itu tidak bermanfaat sama sekali melainkan siapakah dia pada pandangan Tuhannya. Orang ramai boleh memuji kita sebagai seorang yang dermawan, baik budi, wara’ dan alim. Tetapi mereka tidak mengetahui sepertimana Tuhan Maha Mengetahui rahasia-rahasia keburukan dan kekejian yang kita sorokkan daripada pandangan mereka. Andai setiap perbuatan itu dibukakan untuk pengetahuan umum dan manusia saling melihat secara terang keaiban satu sama lain, rosak binasalah dunia ini. Sesungguhnya perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Allah Taala Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang. Namun jika ada seorang hamba yang sengaja dibukakan aibnya di khalayak ramai, itu semua mengandungi pengajaran dan rahmat baginya supaya tidak menzalimi diri sendiri. “Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk supaya mereka kembali (bertaubat).” Surah Al-A’raf ayat: 168
Di kala tahun berganti tahun, azam yang lalu pun tak sempat lagi dikotakan menjadi bukti. Hanya rahsia-rahsia kekejian dalam peribadi kita tetap dipelihara dengan rapi, Namun Kuasa Allah Taala menggariskan setiap nasib anak Adam menurut qada dan qadar-Nya yang mengandungi hikmah supaya kita sedar dan faham bahawa hidup ini tidaklah indah jika tiada matlamat yang menuju kepada Allah semata-mata. Darimana kita datang dan hendak kemana kita menuju. Kita berjalan tertatih-tatih membawa dosa umpama seorang pengemis yang membusuk oleh nanah dan darah di seluruh badannya. Bayangkanlah bagaimana seorang insan menghadap Tuhan dengan aib dan cela pada jasadnya. Kehinaan apakah yang paling dahsyat ditimpakan kepada diri kita selain menghadap Allah membawa dosa-dosa?
Kalau boleh kita membawa kualiti kemuliaan dan kesempurnaan ketika hidup dan apabila pulang kepada Allah nanti. Pada hakikatnya manusia seperti sebuah kereta, ada enjin, stering, tayar, lampu, kerusi yang nyaman, penghawa dingin, besi badan yang kuat, warna cat yang cantik dan muzik yang menyenangkan telinga. Begitulah kualiti manusia, ada yang berilmu tetapi tak amal seperti kereta yang mempunyai enjin tapi tak ada tayar. Ada pula yang suka menderma tapi tak sembahyang, mungkin dia hanya sebuah kereta yang cantik tanpa brek. Yang beriman dan ahli ibadattetapi kedekut dan tamak pada harta orang lain seperti kereta yang remuk dan tak sejuk. Yang berjaya dalam hidupnya tetapi melupakan orang tua yang banyak berjasa umpama kereta hilang steringnya. Begitulah keadaan manusia yang tidak sempurna, segala puji hanya milik Allah Taala.
Betapa ramai mereka yang memburu kecemerlangan dunia dan akhirat tetapi sayang ada yang sempurna pada satu bahagian tetapi rosak pada bahagian yang lain. Rasulullah SAW menggambarkan kesempurnaan kualiti iman seseorang melalui sabdanya: ”Iman mempunyai enam atau tujuh puluh lebih cabang yang tertinggi ialah kalimah lailahaillallah dan terendah menyingkirkan sesuatu gangguan dari jalan dan sifat malu merupakan caabang iman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bolehkah kita sampai pada tahap iman yang tujuh puluh lebih cabangnya? Sempurna zahir dan bathin, baik dalam hati dan amal perbuatan? Semua kesempurnaan memerlukan proses yang panjang untuk dicapai, jalan-jalan bagi mendapatkan kualiti iman terbaik telah diajarkan oleh baginda SAW kepada umatnya melalui petunjuk Al-Quran dan Hadis. Ada yang mengambil petunjuk itu untuk bekalan hidupnya dan ada pula yang meninggalkannya. Firman Allah Taala:
”Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih diantara hamba-hamba Kami, diantara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada pula yang pertengahan dan ada yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.” (Surah Al-Fathir ayat: 32)
Tiga peringkat iman pada diri seseorang telah dijelaskan dalam ayat tersebut, yang menganiaya diri sendiri, yang pertengahan dan yang paling terkedepan dalam berbuat kebaikan. Kita tinggal memilih dimana diri ini harus diletakkan. Jalannya telah pun jelas dan terang hanya hamba yang mendapat pertolongan Allah saja yang menduduki peringkat teratas dalam carta iman tersebut.
Dahulu, para sahabat amat suka bertanya tentang sesuatu amalan yang paling utama. Hadis-hadis yang menceritakan tentang ’apa-apa yang utama atau yang paling dikasihi Allah, atau yang paling baik dan dekat kepada Allah Taala menjadi pertanyaan yang paling ditunggu-tunggu oleh para sahabat sebagai tips iman yang boleh mereka ambil setiap kali beramal. Rasulullah SAW melihat keadaan orang yang bertanya dan memberi jawapan yang sesuai dengan keadaan orang tersebut. Jika yang datang bertanya seseorang yang tua dan lemah badannya, baginda memberi tips terbaik untuk meningkatkan iman dengan banyak berzikir. Berlainan dengan seorang yang gagah, maka Nabi menyuruhnya untuk berjihad meninggikan kalimah Allah dengan kekuatannya.
Sebenarnya kita juga boleh merasa apakah kekurangan yang belum kita perbaiki dalam amalan kita sehari-hari. Hanya diri sendiri yang boleh menjawab setiap persoalan yang ditanya oleh hati kita. Mengapa orang membenci kita? Mungkin ada aib-aib yang perlu dihapuskan dalam pergaulan dengan orang lain. Atau mengapa hati berasa risau, sedih dan tidak tenang? Kerana hati tidak mendapat suplemen yang diperlukannya untuk hidup dengan sihat. Rupanya telah lama kita tinggalkan zikrullah, tidak seronok ketika solat, Al-Quran pun tak tersentuh oleh kedua tangan apatah lagi hati kita. Lupa bersyukur dan banyak komplen dengan ketentuan Allah Taala keatas diri kita. Malas dan tak berperancangan dalam menguruskan harta dan kehidupan keluarga. Keras dan menakutkan bagi anak-anak kita yang memerlukan sentuhan kasih sayang. Tinggalkan majlis-majlis ilmu dan biarkan diri bangga dengan amalan yang sedikit dan riyak yang banyak. Semua itu perlu diperbaiki dan menjadi azam terpenting dalam kehidupan orang mukmin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MANUNGGALING KAWULA GUSTI: 140 AJARAN DAN PEMIKIRAN SYEIKH SITI JENAR

KHASIAT DALAM SURAH ALI IMRAN

Hizb ut-Tahrir's Manifesto for the Revolution of Al-Sham: Towards the Birth of a Second Rightly-Guided Khilafah