Keistimewaan 10 Hari Pertama Dzulhijjah Yang Tidak Boleh Dilepaskan!
Oleh: al-bahanj
"
"
Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat
besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi
sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.
Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang
memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Maksud hadith Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam:
“Satu umrah sampai umrah berikutnya
adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan
haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga”
(HR al-Bukhari &
Muslim)
Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai
kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan
keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan
Zulhijjah.
Apakah amalan-amalan itu?
1) Memperbanyakkan amalan kebaikan dan
ibadah sunat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi
sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada hari yang amal soleh
padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan
Zulhijjah).”
Para sahabat bertanya: “Walaupun
berjihad di jalan Allah?”
Rasulullah sallAllahu `alaihi
wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang
keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas
itu(syahid).”
(HR al-Bukhari)
Perbanyakkanlah amalan soleh pada 10 hari
pertama Dzulhijjah
Para salafussoleh merebut kelebihan yang
terdapat pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah dengan menghidupkan siang dan
malam mereka dengan amalan-amalan soleh dan ibadah-ibadah sunat.
2) Puasa pada hari `Arafah iaitu pada
9 Zulhijjah
Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata,
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari
`Arafah, kemudian Baginda menjawab yang maksudnya:
“Puasa itu dapat menebus dosa
setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)
Kelebihan Puasa Hari Arafah
3) Solat `Eidul-Adha
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda
yang maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah
menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa
daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya
Aidiladha”
(HR Abu Daud: 1134, al-Albani
mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021)
Di dalam hadith lain, Nabi sallAllahu `alaihi
wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sebaik-baik hari di
sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.”
(HR Abu Daud: 1765, al-Albani
mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud)
4) Menyembelih haiwan korban selepas
Solat `Eidul-Adha.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda
yang bermaksud:
“Amalan anak Adam pada Hari Raya
Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan
datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya
ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi.
Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban
itu.”
(Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi:
1412)
Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar
menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari
Akhirat.
Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan
kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari
terawal bulan Zulhijjah.
ALLAHU A`LAM.
Ulasan
Catat Ulasan