Hadith Muaz Ibn Jabal - Amalan Yang Tiada Nilainya
Imam Abdullah bin Al Mubarak radhiAllahu `anhu telah meriwayatkan di dalam
kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin
Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: "Wahai Muaz! Ceritakanlah
kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah sollallahu
`alahi wasallam."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada
pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat
keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit
pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata
malaikat penjaga langit ketiga itu:
Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis
sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti
daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata:
Aku mendengar Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam pernah
bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu
sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat
akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak
memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat
nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta`ala telah
menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu
ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga
pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut
mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang
membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama. Mereka menganggap bahawa
amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama
itu bagi malaikat Hafazhah:
"Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya.
Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya
aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui
aku untuk terus naik ke atas."
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak
(Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke
langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:
"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka
orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan
mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak
membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas.
Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan.
Akulah malaikat penjaga kebesaran."
"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka
orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah menyuruhku supaya
tidak membiarkan amalan orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu
sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba.
Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya
suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya
membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata
malaikat penjaga langit keempat itu:
"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka
orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub
(bangga dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan
amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan
perasaan ujub terhadap dirinya."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba
sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan
itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya
itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:
"Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang
mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia
sangat hasad dengki kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti
amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam
ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan
amalan orang yang hasud ini melintasi aku."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad
dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit
yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:
"Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya kerana ia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba Allah
yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah
malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang
seperti ini dapat melintasi aku."
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi
(maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya
matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah
berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata
malaikat penjaga pintu langit tersebut:
"Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang
yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan
tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). Aku
akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal
bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat
yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan
supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan
amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas
adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang
hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak
berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini
diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi
segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan
Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah
berfirman kepada para malaikatnya:
"Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan
sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan Aku lebih
mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak
ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu
(malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha
Mengetahui”.
“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa
sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama
dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi".
“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan
pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana
hambaKu ini menipu Aku dengan amalnya ini?”
"Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalan tersebut.
Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka Aku
turunkan ke atasnya akan laknatKu."
Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang
mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan
laknat kami sekelian bagi mereka."
Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah
kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.
Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis
teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dan apa
yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, "Hai Muaz, ikutilah
Nabimu dalam soal keyakinan”.
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini
hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh selamat
dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”
Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada
kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah
dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan
orang lain”.
“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan
termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan
berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik.
Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan
jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut
kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan
(pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek
oleh anjing-anjing api neraka jahanam”.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada
anjing-anjing perobek badan manusia”.
Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung
penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, “Muaz, yang kami
ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah subhanahu wa
ta`ala. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain
sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada
orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan
selamat dan dirimu pasti akan terhindar”.
Huraian:
Jauhilah daripada penyakit hati (batin) seperti:
1) Mengumpat
2) Amalan untuk mendapat keuntungan dunia
3) Takabbur
4) Ujub (Bangga diri sendiri)
5) Hasad dengki
6) Merasa senang apabila orang mendapat bala'
7) Sum'ah (Ingin masyhur)
8) Riak, amalan yang tidak ikhlas kepada Allah subhanahu wa
ta`ala
Wallahu'alam....
Read more: http://cahayamukmin.blogspot.com/2012/01/hadith-muaz-ibn-jabal-amalan-yang-tiada.html#ixzz23HlWYiR0
Ulasan
Catat Ulasan