Iran & Syria, Senjata Kimia Lwn Pemberontak?


IMEJ daripada laman YouTube menunjukkan sebuah kereta kebal dinaiki anggota-anggota kumpulan pemberontak di Aleppo semalam.

Syria tidak akan guna senjata kimia

TEHERAN - Menteri Luar Syria, Walid al-Muallem berkata, negaranya tidak akan menggunakan senjata kimia ke atas para pemberontak. Beliau juga menyatakan kumpulan pemberontak akan kalah dalam pertempuran yang berlaku di Aleppo, Syria.

Walid berkata demikian pada satu sidang akhbar dengan rakan sejawatannya dari Iran, Ali Akbar Salehi di sini.

"Kami telah berdepan dengan kempen kotor media oleh negara-negara Arab dan Barat sejak beberapa hari lalu.
"Namun, tidak seperti Israel dan pertahanan nuklearnya, kami menentang sebarang kemusnahan besar-besaran dan menghormati peraturan antarabangsa," katanya.

Beliau turut memberitahu pemberita bahawa Iran dan Syria bersetuju bahawa terdapat agenda tersembunyi dalam plot menentang Syria. Menurutnya, rejim Zionis bertindak sebagai perancang utama dan ketua provokasi plot tersebut.

"Syria bertekad untuk memerangi plot itu dan mengalahkan pihak penghasut dan tentera pengganas termasuk di Aleppo," katanya.


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan sebuah rumah musnah di Maarat, al-Numaan di wilayah Idlib, Syria


Beliau berkata, sebahagian pemberontak yang ditangkap merupakan anggota Al-Qaeda.

"Sebahagian mereka masuk ke dalam negara Syria menerusi Turki, terdapat juga kumpulan penduduk Libya dan Tunisia datang dari Mesir dan sebahagian penduduk Iraq dari Al-Qaeda," jelasnya.

Menteri itu turut memberi amaran Qatar, Arab Saudi dan Turki supaya tidak mengikuti langkah Israel. Sementara itu, tentera Presiden Bashar Al-Assad melancarkan siri pengeboman di kawasan perumahan di bandar Aleppo bagi menguasai bandar kedua terbesar di negara tersebut, kata beberapa aktivis.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Majlis Kebangsaan Syria yang merupakan kumpulan pemberontak meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan situasi di Aleppo. Jordan semalam membuka kem pelarian pertama untuk penduduk Syria.

Kem itu terletak di Mafraq di sempadan Syria yang boleh menempatkan 120,000 pelarian. Lebih 12,000 pelarian Syria dilaporkan mendapatkan perlindungan di Algeria. Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu menyebabkan lebih 19,000 orang telah terbunuh. Kumpulan pemberontak menuntut supaya Bashar meletakkan jawatan - Agensi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MANUNGGALING KAWULA GUSTI: 140 AJARAN DAN PEMIKIRAN SYEIKH SITI JENAR

KHASIAT DALAM SURAH ALI IMRAN

Hizb ut-Tahrir's Manifesto for the Revolution of Al-Sham: Towards the Birth of a Second Rightly-Guided Khilafah