Pekarangan Al-Aqsa kini taman awam
- Foto fail REUTERS
BAITULMAKDIS:
Majlis Perbandaran Israel memutuskan pekarangan Masjid Al-Aqsa sebagai kawasan
taman awam, sekali gus membolehkan pendatang Yahudi berada di kawasan berkenaan
pada bila-bila masa.
Pemimpin
kedua Pergerakan Islam Bagi Wilayah Palestin Dijajah 1948, Sheikh Kamal
Al-Khatib, mendedahkan keputusan itu diluluskan majlis berkenaan berkuat kuasa
Ramadan tahun ini.
Sheikh
Khatib memberi amaran, langkah pihak berkuasa Israel itu adalah satu langkah
meng-Yahudikan tanah suci umat Islam di sini.
Menurutnya,
buat kali pertama, mereka membenarkan pendatang dan pelampau Yahudi masuk pekarangan Masjid Al-Aqsa tanpa mengira
perasaan orang Islam dalam masjid.
Beliau
juga mendedahkan tindakan askar Yahudi pada Jumaat lalu menyerbu Masjid Al-Aqsa
dan menahan imam masjid yang sedang sujud memimpin solat subuh menyebabkan
ibadat itu tidak dapat disempurnakan.
Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin mengutuk keputusan Israel itu dan menyifatkannya pencabulan terang-terangan kesucian tanah suci umat Islam ketiga itu.
Sehubungan
itu, kementerian itu menggesa pemimpin Islam seluruh dunia mengadakan sidang
bagi membincangkan langkah bagi melindungi masjid itu.
Sementara
itu, di London, Pertubuhan Arab bagi Hak Asasi Manusia (AOHR) menyifatkan
langkah Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa.
Dalam
kenyataannya, AOHR menekankan, keputusan Majlis Perbandaran Israel itu
bercanggah dengan Konvensyen Geneva.
Ia
juga mengecam penasihat politik pemerintah Israel, Encik Yehuda Vinstein, yang
mencadangkan kepada majlis dan pihak berkuasa antikuiti supaya mengkaji langkah
menetapkan masjid itu sebagai sebahagian Israel.
AOHR
menegaskan, Al-Aqsa bukan hanya meliputi struktur masjid malah kawasan
pekarangannya termasuk Masjid Kubah Batu.
Kawasan
Masjid Al-Aqsa seluas 144,000 meter persegi, temboknya sepanjang 491 meter ke
sebelah barat, 462 meter ke sebelah timur, 310 meter ke utara dan 281 meter ke
selatan, kata AOHR. - Agen
Ulasan
Catat Ulasan