Rahsia Lailatul Qadar Menurut Ihya' 'Ulumiddin
Dan Malam Al-Qadar
adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang
dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam
Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)
Barangsiapa
menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia
terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian
itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya
daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal
semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan.
Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam
kitab Ihya’nya.
HURAIAN
Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang
antara penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan
bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan manusia.
Menurut Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada alam malakut ini terbuka pada Malam
Al-Qadar.
Sabda baginda Rasulullah saw :
“Jikalau tidaklah
kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak
Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)
Sebelum melanjutkan huraian ini, hendaklah kita fahami
bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis :
1.
Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku
2.
Dapat kelebihan Malam Al-Qadar
3.
Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.
4.
Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’
Malam Al-Qadar itu.
Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara
yang pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti
terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak berkocak,
pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang yang kacak berserban
dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam terlalu sunyi, tercium bau yang
sangat wangi dan pelbagai lagi.
Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud
malam itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar.
Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah dengan dapat
melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti yang disebutkan tadi.
Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan dikejar-kejar oleh mereka. Jika
berjaya melihat atau mengalami sesuatu yang luar biasa pada malam itu, bukan
main puas hati dan kadang-kadang sampai ke tahap berbangga dengan orang lain
yang gagal memperolehinya. Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah
‘dapat lailatul Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.
Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar. Jenis inilah
yang dikehendaki oleh Rasulullah saw, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan
membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu
bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar. Dapat kelebihan Malam
Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar, adalah jauh
lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar tetapi tidak
menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal padanya.
“Adalah Rasulullah
saw apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar
(menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan
keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)
Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan
mengerjakan amal pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam
Al-Qadar.
Jenis keempat? Ikuti huraian di bawah.
Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya
punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali
memberikan tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang
diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah
yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang banyak makan pada
malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati
dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding
daripada mendapat Lailatul Qadar.
Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang
halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung
yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan
(makanan) yang halal.”
Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar
hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu
berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam
Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada
setiap hari. Perlakuan ini tidak ubah seperti mengumpulkan sarapan, minum pagi,
makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk di makan sekaligus pada
waktu Maghrib. Cuba lihat juadah berbuka kita, bukankah semua makanan yang
disebutkan itu ada? Apalah ertinya puasa sebegini? Berbukalah dengan makan malam
yang biasa kita makan pada malam-malam bukan Ramadhan.
Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan
nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain.
Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui
pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.
Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan juadah untuk
menggembirakan sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang
yang sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak
memperbaiki keagamaannya.
Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh
Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah
daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan
hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang
tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai
macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala
macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam
bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”
Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan
kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan
yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu
dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila
dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam,
maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”
Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan
perut. Semakin lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan
keinginan kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan
keinginan pada hari-hari biasa. Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan
dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata. Akibatnya,
lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan. Akhirnya, kita makan
dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada hari-hari yang tidak berpuasa.
Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang berperanan sebagai penunduk hawa
nafsu?
Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali : “Apabila perut ditolak (dikosongkan)
daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak
keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya (keinginannya untuk makan),
kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang,
nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta
membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau
dibiarkan atas kebiasaannya.”
Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang
sangat istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu
malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis :
1.
Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya
makanan membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu
melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.
2.
Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana
perut yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa
itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan banyak
berehat dan tidur.
Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul
Qadar itu, padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan
tercari-cari malam berlangsungnya.
Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam
terakhir Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan
menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan berlapar
pula pada malamnya? Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah sekadar untuk
menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai kenyang dan puas.
InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang kita untuk bertemu dengan
Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah ‘menyaksikannya’.
Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi
hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”
Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum
memadai. Kata Al-Ghazali : “Barangsiapa
menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia
terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian
itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN
ALLAH ‘AZZA WA JALLA. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU
adalah dengan menyedikitkan makanan.”
Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi
bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
WaAllahua’lam.
Abu Zulfiqar
Ulasan
Catat Ulasan