Benarkah Mereka Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim?
1.0
PENDAHULUAN
Selalu
benar kita mendengar pihak-pihak tertentu mengaku sebagai Tuhan, rasul, nabi,
Al-Mahdi, Pemuda Bani Tamim, wali dan sebagainya. Kali ini seorang lelaki dari
Yaman bernama NASSER MOHAMED mengakui dirinya Al-Mahdi, dan seorang lelaki dari
Lombok, Indonesia bernama ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR mengakui dirinya sebagai
Pemuda Bani Tamim. Kedua-dua hamba Allah ini saling mengiktiraf. Dari sehari ke
sehari mereka semakin rancak mencari pengikut. Benarkah dakwaan mereka? Ataupun
mereka tidak lebih hanya salah satu daripada sekian banyak ajaran sesat yang
wujud di muka bumi ini?
Tulisan
ini umumnya dihidangkan dalam bentuk PERBINCANGAN, bukannya ARGUMENTASI. Oleh
itu saya akan membincangkan pro dan kontra, menyatakan kecenderungan peribadi
saya jika perlu ke atas setiap bahagian itu, dan lebih suka jika pembaca dapat
membuat pertimbangan sendiri ke atas maklumat-maklumat yang dihidangkan. Namun
begitu di akhir-akhir tulisan ini nanti, pembawaannya akan lebih kepada
argumentasi kerana sudah semakin jelas apa yang bendar dan apa yang salah.
Secara peribadi, saya tidak fikir mereka ialah Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim.
WAllahua’lam.
Tulisan
ini juga dibuat tanpa saya merujuk kepada mana-mana tulisan berkaitan kerana
setakat ini saya belum jumpa mana-mana orang yang menghuraikannya dengan panjang
lebar. Oleh itu, maklumat-maklumat dalam tulisan ini tidak mustahil mengandungi
kelemahan dan kesalahan. Semoga Allah mengurniakan gerak yang baik kepada saya
dan anda semua.
Isi
kandungan tulisan ini adalah seperti berikut :
1.0
Pendahuluan
2.0
Menilai
Pegangan Nasser Mohamed (Al-Mahdi?)
3.0
Menilai
Pegangan Abdul Aziz Muhammad Nashir (Pemuda Bani Tamim?)
4.0
Persoalan-persoalan
Sampingan (yang dikemukakan oleh orang ramai)
5.0
Perbezaan-perbezaan
Antara Al-Mahdi dan Nasser Mohamed
6.0
Cara
Penyebaran Dakwah/Dakyah Nasser dan Abdul Aziz
7.0
Hasil
Dakwah/Dakyah Nasser dan Abdul Aziz
8.0
Kesimpulan
2.0
MENILAI PEGANGAN NASSER MOHAMED (AL-MAHDI?)
2.1
WAJAH AL-MAHDI
Saya
ada melihat beberapa keping gambar yang dikatakan wajah Al-Mahdi iaitu Nasser
Mohamed. Melihatkan pada hidungnya yang mancung, memang sudah kena dengan
isyarat hadith Nabi. Tapi, bahagian dahinya tidak sama kerana dahinya jenis
sempit sedangkan dahi Al-Mahdi luas.
“Al-Mahdi
itu DAHINYA LUAS dan hidungnya mancung.”
(Abu Daud)
Imam
Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya ‘Ulasan Ringkas Tentang Tanda-tanda
Al-Mahdi Yang Dinanti’ menyatakan : “Kulit Al-Mahdi seperti kulit orang Arab,
bentuk tubuhnya seperti tubuh Bani Isra’il, pipi kanannya bertahi lalat, dan
kekhalifahannya diredhai penduduk bumi, penduduk langit dan burung di
angkasa.”
Riwayat
senada ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dan Thabrani. Riwayat ini mungkin tidak
kukuh, tapi boleh juga kita cuba-cuba padankan dengan Nasser
Mohamed.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.
Bagi Nasser, Abdul Aziz dan para pengikut mereka, riwayat-riwayat ini tidak ada
ertinya kerana mereka menolak pelbagai hadith yang sahih dan hasan, apatah lagi
yang dhaif. Hal ini kerana bagi mereka, banyak hadith-hadith yang digunakan oleh
umat Islam adalah palsu. Hanya Imam Nasser sahaja yang tahu palsu atau tidaknya
sesuatu hadith kerana dia mendapat tahu terus daripada Tuhan. Nasser tidak
menilai sesuatu hadith mengiktu method ilmu mustalah hadith, tetapi cukup
melalui KEGHAIBAN.
2.2
KEMAKSUMAN
Nasser
Mohamed mengakui dirinya tidak maksum. Bahagian ini memang kita persetujui.
Tetapi dia menambah pula, bahwa TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG MAKSUM KECUALI ALLAH.
Bahagian ini janggal bunyinya, kerana kita sedia maklum yang para nabi bersifat
maksum. Atau mungkin juga Nasser Mohamed mempunyai definisi ‘maksum’ yang lain
daripada yang biasa kita fahami.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi.
2.3
ILMU LADUNI
Katanya
dia menerima ilmu terus daripada Allah sebagaimana Nabi Sulaiman pernah
menerimanya. Ilmu ini tidak melalui perantaraan Malaikat Jibril. Oleh itu dia
bukan rasul atau nabi. Dalam kata lain, ilmu yang dimaksudkan oleh Nasser
Mohamed ialah ilmu laduni. Hal ehwal ilmu laduni ini ada dibincangkan dengan
agak terperinci oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ar-Risalah Al-Laduniyyah’.
Para pembaca boleh merujuk kitab itu untuk mendapatkan pemahaman tentangnya.
Bahagian
ini kita boleh pertimbangkan (boleh dipertimbangkan bukannya bermaksud boleh
dipercayai terus). Setakat ini saya memandang bahagian ini mungkin dapat
menguatkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi. Namun apabila kita
mengembara semakin jauh ke bawah nanti, kita akan dapati dakwan-dakwaannya penuh
dengan kekarutan.
2.4
KHULAFA AR-RASYIDIN
Nasser
Mohamed menyanjung Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Hal ini
menunjukkan dia bukanlah penganut fahaman Syiah. Namun begitu dia memandang
keutamaan lebih terletak pada Saiyidina Ali berbanding tiga orang lagi khalifah.
Hal ini tidak mengejutkan kita kerana memang ramai ahli masyarakat Yaman yang
memandang Saiyidina Ali lebih afdhal dan lebih utama untuk menjawat jawatan
khalifah selepas pemergian Rasulullah saw. Namun begitu, dengan pemahaman
sebegitu sahaja tidaklah membuatkan mereka terkeluar daripada Ahli Sunnah wal
Jamaah. Pandangan majoriti ulama ialah Saiyidina Ali bukan yang terafdhal atau
paling utama, namun ada juga beberapa pandangan lain yang boleh dikira terpencil
seperti lebih afdhal dan utamanya Fatimah binti Rasulullah dan Saiyidina
Abbas.
Saya
memandang bahagian ini dapat menguatkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi (setakat perjalanan awal artikel ini).
2.5
HOLLOW EARTH NASSER MOHAMED
Menurut
Nasser Mohamed, Hollow Earth ialah satu terowong malah alam di bawah tanah yang
memiliki dua pintu. Satu pintu terletak di Utara dan satu lagi di Selatan. Di
sinilah tempat asal Nabi Adam sebelum baginda dihantar keluar ke bumi.
Ramai
umat Islam percaya tempat asal Nabi Adam ialah di syurga. Namun begitu ada juga
yang mengatakan bahawa tempat itu bukannya syurga. Ia lebih kepada sebuah taman
atau kebun yang indah. Sebab itulah ia disebut sebagai “jannah”, yang bermaksud
kebun. Jannah ini tidak sama dengan Jannah syurga. Pada zaman itu, syurga
sebenar belum dibangunkan. Kalau sudah diwujudkan pun, ia terletak di tempat
yang lain. Bukankah Tuhan telah berjanji bahawa mana-mana manusia yang masuk ke
dalam syurga, tidak akan keluar-keluar lagi? Padahal Nabi Adam dan Hawa
dikeluarkan dari jannah.
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam jannah dan (berhampiran) mata
air.”
(Al-Hijr
: 45)
“Mereka
tidak berasa letih di dalamnya dan MEREKA TIDAK AKAN DIKELUARKAN
DARIPADANYA.”
(Al-Hijr : 48)
Tuhan
juga mengatakan bahawa di dalam syurga tidak akan terdengar perkataan yang
sia-sia, yang tidak elok. Tapi Adam dan Hawa terfitnah dengan kata-kata Iblis di
dalam jannah itu sehinggakan mereka diusir keluar.
“Dalam
jannah na’im (dalam syurga kenikmatan).”
(Al-Waqi’ah : 12)
“Di
sana mereka TIDAK MENDENGAR PERCAKAPAN YANG SIA-SIA ataupun yang menimbulkan
dosa.”
(Al-Waqi’ah : 25)
Kemudian,
jika benar jannah yang diduduki Adam dan Hawa itu syurga, bagaimana IBLIS yang
enggan bersujud kepada Adam sebelum itu BOLEH MASUK KE SANA lalu menghasut Adam
dan Hawa?
Kata
Iblis : “Tuhan kamu hanya melarang kamu berdua
mendekati POHON INI…” (Al-A’raf : 20)
Perkataan
“pohon ini” menunjukkan dekatnya Adam, Hawa dan Iblis dengan pohon larangan itu.
Jika jauh, Iblis akan menyebutnya sebagai “pohon itu”.
Berdasarkan
maklumat-maklumat ini, tidak mustahil juga mereka dahulunya berada di sebuah
alam berupa taman atau kebun, bukannya syurga sebenar.
WaAllahua’lam.
Bible
pula menyatakan yang Adam dan Hawa berada di sebuah taman yang dikenali sebagai
Taman Eden (ada kaitan dengan Syurga ‘Adn/ ‘Adnin ataupun wilayah Aden/Eden di
Yaman?). Nampaknya maklumat daripada Bible sedikit-sebanyak menyokong pandangan
di atas. Kajian tentang hal ini masih berterusan.
“The LORD God planted a garden eastward in
Eden, and there He put the man whom He had formed.” (Genesis 2 : 8 – New
King James Bible)
Maksudnya : “Tuhan membangunkan taman di timur Eden, dan di sanalah Dia
meletakkan manusia lelaki yang diciptakan-Nya itu.”
Berbalik
kepada Nasser Mohamed, dia percaya yang Nabi Adam dan Hawa asalnya bukan tinggal
di syurga, tetapi di tempat lain. Hal ini bolehlah kita beri pertimbangan yang
sewajarnya. Namun apabila dia mengatakan tempat itu ialah di bawah tanah, sukar
juga untuk kita memberi pertimbangan. Kalau dikatakannya tempat itu berada di
Bukit Qaf, ataupun di kayangan, ataupun di alam jin, rasanya lebih selesa untuk
kita beri sedikit ruang pertimbangan berbanding dikatakannya “ di dalam
bumi”.
Ayat
Al-Quran pula berbicara tentang keluarnya Adam dari Jannah ke muka bumi sebagai
“TURUN”. Maksudnya Nabi Adam turun dari suatu tempat yang tinggi, bukannya
keluar dari bawah bumi. Sekalipun ‘turun’ dalam ayat itu hendak kita kaitkan
dengan turunnya darjat dan bukan turunnya lokasi, keluar dari bawah bumi masih
tidak enak didengar untuk dikaitkan dengan ‘turun’.
“(Allah)
berfirman : “TURUNLAH KAMU (wahai Adam dan Hawa). Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain.
Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu, sampai lah waktu yang ditentukan.”
(Allah) berfirman : “DI SANA (bumi) kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana
(juga) kamu akan dibangkitkan.”
(Al-A;raf : 24-25)
Sekiranya
Adam dan Hawa berada dalam perut bumi iaitu di Hollow Earth, pastinya Tuhan akan
mengatakan : “Di sini kamu hidup, di sini
kamu mati, dan dari sini kamu akan dibangkitkan.” Hal ini kerana Hollow
Earth berada dalam satu planet dengan permukaan bumi yang kita duduki hari ini.
Apabila Tuhan menggunakan perkataan “di sana”, maksudnya antara tempat asal Nabi
Adam dengan bumi, jaraknya sangat jauh.
Menurut
Nasser Mohamed lagi, satu hari di Hollow Earth sama panjangnya dengan setahun di
bumi. Di sini pelik bunyinya. Jika Hollow Earth berada di dalam bumi, tentulah
ia bergerak (sama ada mengelilingi ataupun dikelilingi objek-objek angkasa lepas
yang lain) dengan kadar yang sama. Maka masanya sepatutnya sama. Bahagian ini
kurang jelas kerana tidak banyak maklumat yang diberikan oleh Nasser
Mohamed.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.
2.6
YAKJUJ DAN MAKJUJ
Nasser
Mohamed percaya Hollow Earth itu didiami oleh makhluk-makhluk tertentu
termasuklah Yakjuj dan Makjuj. Maknanya selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada
di dalam perut bumi. Suatu hari nanti mereka akan keluar merosakkan atas muka
bumi.
Bahagian
berkaitan Yakjuj dan Makjuj ini kalau dibincangkan secara terperinci akan
menjadi sangat panjang. Oleh itu saya RINGKASKAN perbincangan tentangnya di sini
dengan mengatakan bahawa setakat ini sukar untuk saya menerima yang Yakjuj
Makjuj berada di dalam tanah, sekalipun ia tidak mustahil. Hal ini kerana kita
tahu Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj DI ANTARA DUA GUNUNG,
maksudnya Yakjuj Makjuj berada DI SEBALIK SANA kedua-dua gunung tersebut,
bukannya di dalam tanah.
“Hingga
ketika dia (Zulqarnain) sampai DI ANTARA DUA GUNUNG, didapatinya di belakang
(kedua-dua belah gung itu) suatu kaum yang hampir-hampir tidak memahami
perkataan.”
(Al-Kahfi : 93)
Suatu
hari nanti, tentera Yakjuj Makjuj akan meluru dari segenap tempat yang tinggi.
Jika mereka keluar dari dalam bumi, tentulah tak sesuai untuk dikatakan mereka
meluru turun dari segenap tempat yang tinggi.
“Hingga
apabila dibukakan Yakjuj dan Makjuj, mereka (datang/turun) dari seluruh TEMPAT
YANG TINGGI.”
(Al-Anbiya’ : 96)
“Sesungguhnya
kamu merasakan kamu tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu sentiasa membunuh
musuh kamu, sehingga datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan muka yang lebar dan
mata yang kecil berwarna kekuning-kuningan, bersegera (meluru) dari TEMPAT YANG
TINGGI, seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena
pemukul.”
(Ahmad)
Seterusnya
Nasser Mohamed memaklumkan bahawa Yakjuj dan Makjuj belum keluar ke muka bumi
kerana Hollow Earth dipisahkan bahagian Utara dengan Selatannya oleh Tembok
Zulqarnain, yang tentunya sebuah tembok besi bersalut tembaga. Bahagian ini pun
sukar untuk KITA berikan ruang pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain membina
tembok di dalam tanah, atau di alam ghaib. Katanya lagi, mereka akan keluar apabila
Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti kerana ketika itu
Tembok Zulqarnain akan termusnah.
Namun
begitu, sabagaimana yang saya maklumkan pada bahagian pendahuluan artikel ini,
hujah yang pro tidak saya tinggalkan. Ada sebuah hadith yang boleh kita katakan
sebagai penguat kepada kepercayaan mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam
tanah iaitu :
“Sesungguhnya
Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu setiap hari sehingga mereka HAMPIR DAPAT
MELIHAT CAHAYA MATAHARI. Berkata dalam kalangan mereka : “Marilah kita pulang
dan datang semula esok……”
(Ahmad, Turmizi)
Yakjuj
dan Makjuj menggali setiap hari sehingga hampir dapat melihat cahaya matahari.
Di sini mungkin maksudnya mereka menggali dari lokasi yang tidak dipancar cahaya
matahari. Mungkinkah mereka di dalam tanah? WAllahua’lam.
“Nabi
saw bangkit dari tidurnya dalam keadaan muka merah, baginda berkata : “Tiada
Ilah selain Allah! Celakalah kaum Arab yang melakukan kejahatan. Sesungguhnya
makin hampir. Telah terbuka hari ini penutup (AR-RADM) Yakjuj dan Makjuj.” Dan
baginda membuat isyarat bulatan.
(Ahmad)
Terbukanya
penutup Yakjuj dan Makjuj ini bersesuaian dengan keluarnya suku kaum Khazar dari
utara (Rusia) melalui pergunungan Kaukasus, iaitu dari Celahan Darial (Darial
Pass). Setakat ini saya cenderung mengatakan di situlah lokasi tembok besi
bersalut tembaga yang dibina oleh Zulqarnain, berbanding lokasi-lokasi lain.
Penghalang Yakjuj Makjuj melebar dari Tembok Besar China sehinggalah ke Eropah.
Kebanyakannya penghalang semulajadi berupa gunung-ganang dan kawasan tinggi.
Selebihnya ialah tasik besar, tembok batu, pintu besi dan seumpamanya.
Tapi apabila Rasulullah bermimpi tentang
‘penutup’ (ar-radm) kepada Yakjuj Makjuj, maksudnya lebih kepada SUATU BINAAN
BUATAN MANUSIA, bukannya penghalang semulajadi. Ar-radm merujuk kepada binaan
buatan manusia, maka sudah tentulah di Celahan Darial itu ada binaan manusia
yang menutup laluan Yakjuj Makjuj. Di situlah kemungkinan besarnya terdapat
tembok besi bersalut tembaga buatan Zulqarnain. Kaum Khazar ini melakukan
kerosakan di tempat-tempat yang mereka pergi dan berjaya mengalahkan tentera
Islam. Bangsa Yakjuj Makjuj itu sangat besar, kaum Khazar ialah salah satu
daripadanya. Maksudnya kaum Khazar ialah kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya
meloloskan diri dan melakukan kerosakan lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum
Yakjuj Makjuj yang lain.
Berdasarkan
hujah ini, Yakjuj Makjuj pada zaman dahulu bukanlah makhluk aneh, makhluk asing,
raksasa dan seumpamanya, tetapi suku bangsa manusia yang tidak bertamadun. Pada
zaman silam, bangsa-bangsa yang tinggal di utara dunia hidup tidak bertamadun.
Sebab itu mereka digelar ‘orang-orang gasar’ atau ‘barbarians’. Tamadun-tamadun
awal dunia semuanya terletak di selatan daripada penghalang Yakjuj Makjuj
seperti tamadun China, Mesopotamia, Yunani, Greek, Mesir, Mohenjodaro dan
lain-lain.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi.
2.7
HOLLOW EARTH SECARA UMUM
‘Hollow
Earth’ ialah satu teori, dan mungkin sesuai juga dikatakan sebagai satu
konspirasi. Kononnya di dalam planet bumi kita ini, ada ruang berongga yang
sangat luas. Umumnya ia seumpama sebiji kelapa. Kita semua hidup di atas kulit
kelapa itu (iaitu permukaaan bumi), dengan kaki kita memijak kulit kelapa itu
dan kepala kita menghadap ke atas (ke angkasa lepas).
Di
dalam buah kelapa itu ada ruang kosong (berisi air, kita anggaplah air itu tidak
ada, yang ada hanya ruang kosong). Orang-orang yang tinggal di sana keadaannya
bertentangan/ terbalik dengan kita di atas permukaan buah kelapa. Kaki mereka
berpijak pada isi buah kelapa manakala kepala mereka menghadap ke arah tengah
buah kelapa. Tengah buah kelapa itulah langit mereka dan dipercayai ada sesuatu
seperti matahari di situ (central sun). Maksudnya graviti mereka terbalik
berbanding graviti kita. Hal ini memang membingungkan kita kerana jika ia benar,
pusat graviti planet bumi akan berada di antara muka bumi dengan dunia Hollow
Earth, bukannya di pusat planet bumi. Kalau mahu ditamsilkan dengan buah kelapa,
pusat gravitinya akan berada di antara sabut dengan isi kelapa, iaitu pada
tempurungnya.
Jadi
penghuni Hollow Earth ada bumi tempat berpijak, langit tempat bernaung dan
tenaga alam sendiri iaitu matahari yang istimewa. Kononnya di sana ada
makhluk-makhluk aneh seperti alien, dinasour, UFO dan sebagainya.
Antara
orang yang mengemukakan kewujudan Hollow Earth ialah Edmund Halley (1692) yang
terkenal dengan Komet Halley itu. Katanya, di bawah perut bumi ada ruang
berongga yang mempunyai atmosfera. Aurora atau Cahaya Utara yang cantik berwarna
–warni di langit utara itu katanya tidak lain ialah gas bercahaya yang datang
dari dalam perut bumi di kutub. Jules Verne, penulis terkenal itu pula ada
menulis sebuah fiksyen yang popular dan pernah difilemkan dengan tajuk “A
Journey to the Center of the Earth”. Hitler sendiri dikatakan berminat dengan
Teori Hollow Earth.
Sebenarnya
‘dunia bawah’ atau ‘dunia bawah tanah’ dikatakan ada disentuh dalam ‘Epic of
Gilgamesh’ dan buku Mesir kuno ‘Egyptian Book of the Dead’, namun ‘bawah tanah’
yang bagaimana yang mereka maksudkan, tidaklah dapat kita pastikan di sini. Ada
orang menganggap ‘bawah tanah’ itu betul-betul di bawah tanah, ada pula yang
menganggap ia satu dunia ghaib, dan ada juga yang beranggapan ia sekadar
perlambangan.
Saya
ada berbual dengan beberapa orang penganut agama Hindu dan Tao. Mereka percaya
ada tempat di bawah tanah, tetapi tempat itu di ALAM GHAIB. Ia tempat
orang-orang mati yang melakukan terlalu banyak kesalahan. Kata mereka, sesiapa
yang sebelum mati banyak buat baik akan diangkat naik ke atas langit, dan
sesiapa yang banyak buat salah akan TURUN KE BAWAH TANAH.
Kisah dari Babylon pula ada menceritakan
tentang Ishtar turun ke dunia bawah tanah. Malah dalam lagenda Indian Hopi, ada
panduan masuk ke dalam ruang di perut bumi. Salah satu lokasinya ialah di
Colorado. Mereka percaya dunia kita ini ialah DUNIA KE-4. Tiga dunia lagi berada
di bawah tanah. Rasa saya, cerita Indian Hopi ini sangat sukar untuk kita
terima. Dalam tradisi masyarakat Tibet, ada kisah tentang Argharta iaitu
kerajaan bawah tanah di pusat bumi. Di sanalah tempat raja dunia memerintah.
Sesetengah pihak percaya bahawa kerajaan Shambala yang misteri itu berada di
sana.
Leonhard
Fuller (1707-1783) percaya ada matahari di Hollow Earth. John Lesley (1766-1832)
juga yakin ada matahari di sana, malah dua matahari. Satu dinamakannya Pluto dan
satu lagi Proserpine. Cyrus Reed Teed pula datang dengan teori yang agak
berlainan yang dinamakan Teori Cocave Sphere. Menurutnya, kitalah yang sedang
berada dalam Hollow Earth. Ertinya ada manusia lain yang tinggal di atas
permukaan bumi. Lagi haru!
Sekalipun
Teori Hollow Earth ini tidak punya sandaran yang kukuh, namun manusia juga tidak
punya sandaran yang bagus untuk menafikannya. Keadaan ini berterusan sehinggalah
ke abad ke-19, membolehkan ia terus mendapat dukungan manusia walaupun tidak
ramai.
Namun
begitu, apabila manusia dan teknologi semakin maju, kita memperolehi info-info
yang sebaliknya. Richard E. Byrd (1888-1957) pernah terbang melintasi Kutub
Utara dan Kutub Selatan, namun dia tidak menemui apa-apa lubang yang boleh
dikaitkan dengan lubang ke Hollow Earth. Pemantauan melalui pelbagai setelit di
langit sana ke atas Kutub Utara dan Kutub Selatan juga gagal menemukannya.
Penjelajahan demi penjelajahan nampaknya tidak menemui apa-apa lubang. Pengujian
melalui getaran umumnya yang dilakukan oleh ahli-ahli geologi melalui gempa bumi
dari satu hujung bumi ke satu hujung bumi juga gagal membuktikan wujudnya ruang
berongga di dalam bumi. Lubang paling dalam dibuat manusia ialah di Rusia, iaitu
sekitar 12.3 kilometer. Hasilnya, struktur dalaman bumi setakat 12.3 kilometer
itu memang selaras dengan kajian-kajian yang dilakukan. Para pengkaji
berpandangan, apabila kedalaman kerak bumi mencecah 100 kilometer, suhu panasnya
meningkat kepada 1,200 darjah Celsius. Bolehkah alien, dinasour, pemandu UFO,
Yakjuj Makjuj dan lain-lain hidup di sana?
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi.
2.8
BAI’AH KEPADA AL-MAHDI
Rasulullah
Saw menceritakan (*walaupun saya kira riwayat ini bukanlah riwayat yang kukuh)
:
“Al-Mahdi
akan dibaiat pada bulan Muharram setelah terjadi bencana dan peperangan di bulan
Ramadhan sampai bulan Zulhijjah. Kemudian terjadi ancaman kepada Jemaah haji di
Mina yang mengakibatkan banyak kematian sehingga banyak darah yang mengalir di
jamrah. Sebahagian daripada Jemaah haji itu ada yang menyelamatkan Al-Mahdi,
lantas (Al-Mahdi) dibai’ah di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim, namun DIA
ENGGAN MENERIMANYA. Lantas dia diancam : “Jika kamu tidak mahu menerima bai’ah
daripada kami, maka LEHERMU AKAN KAMI PENGGAL.”
(Al-Hakim)
Penguat
kepada pembai’ahan ini ialah hadith yang bermaksud :
“Al-Mahdi
akan dibai’ah di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim oleh sejumlah orang yang
mengikuti Perang Badar.”
(Abu Daud, Al-Hakim)
Jika
benarlah sedemikian kisahnya, kita nampak ada perbezaan antara Al-Mahdi sebenar
dengan Al-Mahdi Nasser Mohamed. Al-Mahdi sebenar berusaha keras mengelak
daripada dibai’ah sehinggakan hampir dipancung kepalanya, manakala Al-Mahdi
Nasser Mohamed sedari awal lagi meminta-minta untuk dibai’ah, malah para
pendukungnya di serata internet mengajak orang ramai untuk mengakui keAl-Mahdian
insan yang bernama Nasser Mohamed.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi.
2.9
HUBUNGAN AL-MAHDI-PEMUDA BANI TAMIM
Nasser
Mohamed di Tanah Arab mengakui Abdul Aziz Muhammad Nashir di Indonesia (Timur)
sebagai Pemuda Bani Tamim, dan Abdul Aziz (Pemuda Bani Tamim) itu juga mengakui
Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi. Saling mengakui antara mereka tentunya dapat
menggamit hati sebahagian orang untuk cenderung mengakui dakwaan mereka
berdua.
“Nabi
saw sambil memegang tangan Saiyidina Ali bersabda : “Akan keluar dari sulbi ini
seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan (iaitu Al-Mahdi).
Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu bersama-sama PEMUDA
BANI TAMIM. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur, dan dialah pemegang
panji-panji Al-Mahdi.”
(Thabrani) (*Hadith ini bukanlah hadith yang kukuh, maka kisah tentang Pemuda
Bani Tamim memang boleh dipertikaikan kewujudannya. Tapi ramai sungguh orang
yang mendakwa diri mereka Pemuda Bani Tamim/Fata At-Tamimi)
Namun
begitu kita yakin Nasser Mohamed dan Abdul Aziz tidak akan menggunakan hadith
ini kerana mereka lebih berpandukan Al-Quran sahaja, dan mereka juga beberapa
kali menolak hadith-hadith yang sahih dan Hassan. Maka, hadith dhaif seperti ini
tentu sahaja tidak dipandang mereka. Sekiranya mereka berhujah dengan hadith
ini, maka akan jadinya cakap tak serupa bikin, kerana yang lebih kukuh ditolak
dan yang lebih lemah pula diambil.
Sungguhpun
begitu, kepada orang lain, hadith ini menunjukkan hubungan antara Al-Mahdi dan
Pemuda Bani Tamim, lalu mereka akan kaitkan dengan hubungan antara Nasser
Mohamed dan Abdul Aziz. Oleh itu saya memandang bahagian ini sedikit-sebanyak
menyumbang kepada kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi di mata orang
awam.
2.10
NAMA AL-MAHDI
Nasser
Mohamed mengakui dirinya Al-Mahdi, tapi namanya tidak sama dengan nama Al-Mahdi
yang diterangkan oleh Rasulullah saw. Kata Nasser Mohamed dan para pengikutnya :
“LIHAT ILMUNYA, BUKAN NAMANYA”. Dengan kata-kata ini mereka menolak sama sekali
nama yang diberikan oleh Rasulullah saw.
Apabila
persoalan ini kita timbulkan, mereka mengambil jalan mudah dengan meletakkan
hadith-hadith yang tidak secocok dengan apa yang ada pada mereka sebagai
HADITH-HADITH PALSU. Bagaimana mereka tahu semua itu hadith palsu? Hanya melalui
kata-kata sang Imam iaitu Nasser Mohamed. Mereka mendakwa yang Nasser Mohamed
boleh tahu hadith-hadith palsu, dan kita pula mesti mempercayainya terus secara
bertaqlid buta, tidak perlu dibuat kajian lagi.
Mari
kita lihat petunjuk-petunjuk yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw tentang
nama Al-Mahdi :
“Dunia
ini tidak akan hancur sehinggalah (muncul) seorang lelaki dari kalangan kaum
keluargaku (ahlul bait, keturunanku), yang NAMANYA SEPERTI NAMAKU (iaitu
Muhammad), memerintah seluruh bangsa Arab.”
(Turmizi)
“Dunia
tidak akan kiamat sehinggalah Allah mengutus seorang lelai yang NAMANYA SEPERTI
NAMAKU, dan NAMA BAPANYA SEPERTI NAMA BAPAKU.”
(Thabrani, Al-Hakim, Abu Syaibah)
“Nama
yang dikenakan Al-Mahdi ialah NAMAKU (iaitu Muhammad), perawakannya seperti
perawakanku, akhlaknya seperti akhlakku, dan kuniyahnya ialah Abu
Abdullah.”
(Abu Daud, Abu Nu’aim)
“Bahawasanya
Nabi pernah mengatakan tentang bala bencana yang akan menimpa keluarganya
sampailah Allah mengutus panji-panji hitam dari Timur. Sesiapa yang menolongnya
Allah akan menolongnya, dan sesiapa yang menghinanya Allah akan menghinanya.
Sehinggalah mereka mendatangi seorang lelaki yang NAMANYA SEPERTI NAMA AKU.
Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan
menolongnya.”
(Riwayat
Nu’aim bin Hammad) (*Sefaham saya riwayat ini tidaklah kukuh)
Ketiga-tiga
riwayat di atas saling menguatkan satu sama lain. Maksudnya, nama Al-Mahdi
mestilah antara yang berikut :
1.
Muhammad
2.
Ahmad
3.
Muhammad
bin Abdullah
4.
Abu
Abdullah Muhammad
5.
Abu
Abdullah Ahmad
6.
Abu
Abdullah Muhammad bin Abdullah
7.
Abu
Abdullah Ahmad bin Abdullah
8.
Atau
sekurang-kurangnya ada Ahmad atau Muhammad pada namanya seperti Ahmad Solihin
atau Muhammad Nuruddin.
Tapi
nama calon Al-Mahdi dari Yaman ini ialah NASSER. Memang tidak cocok, maka
sebagai jalan mudah, terus dikatakan yang hadith-hadith berkenaan sebagai palsu.
Tutup cerita. Katanya, Allah yang beritahu hadith mana palsu dan yang mana yang
tidak. Satu cara mudah untuk menguasai minda para penyokong.
Secara
tidak langsung, NABI MUHAMMAD BERTEGAS MENGATAKAN : “LIHATLAH NAMANYA.” Nasser
Mohamed dan pengikut-pengikutnya pula mengatakan : “Jangan lihat namanya.” Siapa yang kita mahu ikut?
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai
Al-Mahdi.
2.11
PLANET SIJJIL
Nasser
Mohamed cuba menunjukkan kebolehannya mentafsir ayat-ayat Al-Quran. Dengan slogan “LIHAT ILMUNYA, BUKAN NAMANYA”,
kononnya Nasser Mohamed hebat dalam merungkai misteri-misteri di dalam Al-Quran.
Sekarang kita hendak melihat sejauhmana ilmunya.
Nasser
Mohamed Al-Yamani menghuraikan ayat berikut :
“Maka
ketika keputusan Kami datang, Kami menjungkirbalikkan negeri kaum Lut, dan kami
hujani mereka dengan batu daripada SIJJIL (tanah yang
terbakar).”
(Hud : 82)
Perkataan
“sijjil” pada ayat tersebut ditafsir oleh Nasser Mohamed sebagai Planet Sijjil,
atau nama lainnya Planet Saqar, atau nama yang lebih dikenali ramai iaitu PALNET
NIBIRU, atau Planet X. Oleh itu kaum Nabi Lut yang mengamalkan seks sejenis
dimusnahkan Tuhan dengan hujan batu berapi daripada Planet
Sijjil/Nibiru/Saqar/Planet X kerana ketika itu Nibiru sedang melintas
berhampiran bumi.
Nasser
Mohamed percaya Sijjil/Nibiru menziarahi kita setiap 4,166 tahun (tapi kajian
yang popular mengatakan setiap 3,600 tahun). Maksudnya Sijjil/Nibiru pernah
datang pada zaman Nabi Lut. Berdasarkan waktunya, nampak memang ada kaitan yang
bagus antara kemusnahan kaum Lut dengan Sijjil/Nibiru kerana saya juga
berkeyakinan yang zaman Nabi Lut dan bapa saudaranya iaitu Nabi Ibrahim adalah
sekitar 4,000 tahun yang lalu (2,000 SM). Bahagian ini mengukuhkan dakwaan
Nasser Mohamed.
Kini
selepas 4,000 tahun, Sijjil/Nibiru akan melawat kita lagi dan dijangkakan pada
tahun 2012. Tapi…. selepas memetik ayat ke-80 dari Surah Hud, Nasser Mohamed
cuba mengukuhkan hujahnya dengan meletakkan ayat berikut :
“(Burung-burung
Ababil) yang melempari mereka (tentera bergajah Abrahah) dengan batu daripada
SIJJIL (iaitu Planet Nibiru).”
(Al-Fiil:4)
Nasser
mengharapkan agar perkataan “sijjil” dalam ayat ini membantunya. Malangnya…….
ayat ini berperanan sebaliknya. Allah membantu kita apabila ayat yang digunkan
oleg Nasser memakan dirinya sendiri.
Kita
sedia maklum yang tentera bergajah Abrahah dimusnahkan dengan sijjil pada Tahun
Gajah, tahun lahirnya Nabi Muhammad saw iaitu sekitar 571 M. Ada Planet
Nibirukah melintasi bumikah pada 571 M itu? Pastinya tidak ada. Bahkan Nasser
sendiri percaya Nibiru datang 4,166 tahun sekali. Jadi, SIJJIL apa yang
memusnahkan tentera bergajah Abrahah?
Yang
pasti, Sijjil pada 571 M itu bukannya Nibiru. Jadi, atas sandaran apa Nasser
mengatakan SIJJIL itu ialah Planet Nibiru? Kan sudah ada DUA SIJJIL sekarang?
Tidakkah nanti akan dikatakan orang : “Begini rupa-rupanya cara ‘Al-Mahdi’
mentafsir Quran…..”
Bahagian
ini tentunya menjatuhkan saham Nasser Mohamed daripada menjadi
Al-Mahdi.
3.0
MENILAI PEGANGAN ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR (PEMUDA BANI
TAMIM)
3.1
BANI TAMIM.
Apakah
maksud ‘Pemuda Bani Tamim’? Apakah kaitannya dengan Bani Tamim? Allah tentunya
tidak akan secara sia-sia menisbahkan Sang Pemuda kepada Bani Tamim. Tentu ada
kaitannya. Jika tidak, tentu Allah akan menyebutnya sebagai ‘Pemuda’ sahaja
ataupun dinisbahkan-Nya kepada yang lain. Lagipun, setakat yang saya temui,
sebutan “Pemuda Bani Tamim” hanya ada sekali, itu pun dalam hadith yang tidak
kukuh.
Abdul
Aziz yang mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim tidak pula menjelaskan
hubungannya dengan Bani Tamim kepada kita. Adakah ia bermakud pemuda itu
berketurunan Bani Tamim? Jika benar, Abdul Aziz mestilah memaparkan salasilahnya
yang jelas sehinggalah bertemu dengan seorang lelaki dari Bani Tamim.
Sekurang-kurangnya Abdul Aziz hendaklah menjelaskan kaitan dirinya dengan Bani
Tamim.
Namun
sehingga kini, Nasser Mohamed atau Abdul Aziz masih belum berjaya menjelaskan
hal ini. Bukankah sepatutnya sedari awal pengakuan lagi mereka dengan mudahnya
akan menjelaskan hal ini apabila diminta? Jika diterangkannya sekarang atau pada
masa akan datang pun, ia sudah dikira lewat dan memang akan memberi impak kepada
kredibiliti dakwaannya sebagai pemuda Bani Tamim.
“Akan
keluar dari sulbi ini (keturunanku) seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini
dengan keadilan (iaitu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu,
hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari
Timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.”
(Thabrani)
Namun
sefaham saya, hadith ini bukanlah hadith yang kukuh. WaAllahua’lam. Jadi
kewujudan Pemuda Bani Tamim itu sendiri bukanlah kisah yang kuat untuk kita
percayai. Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Abdul Aziz
sebagai Pemuda Bani Tamim.
3.2
MALAM MASJIDIL HARAM
Ketika
diri Abdul Aziz dimasuki oleh sesuatu (yang kemudiannya diyakininya sebagai
Allah) di Makkah, dia berlari ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi untuk
mendapatkan bantuan, tetapi tidak ada sesiapa di Masjidil Haram ketika itu.
Benarkah di Masjidl Haram TIDAK ADA SEORANG MANUSIA PUN pada pukul 1 pagi?
Para
pembaca yang pernah pergi ke Makkah di
luar musim haji tentu tahu suasana tengah malam di Masjidil Haram. Bahkan ramai
juga orang Malaysia yang tinggal di Makkah. Mereka boleh bercerita kepada kita
tentang suasana di Masjidil Haram.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan lagi kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda
Bani Tamim.
3.3
BERHENTI KALA AZAN SUBUH
Sesuatu
(yang diyakininya sebagai Allah) yang masuk ke dalam badannya itu membuatkan
Abdul Aziz berasa sakit, dan sesuatu itu berkata-kata kepada hatinya “A-Qiamah”
berulang kali. Keadaan itu berterusan sehinggalah ke waktu fajar. Apabila azan
Subuh berkumandang, sesuatu itu berhenti berkata-kata walaupun sakitnya masih
ada.
Sepanjang
pengalaman saya merawat orang (saya seorang mu’allij), biasanya yang berhenti
membisik atau berkata-kata pada pesakit kala azan dikumandangkan tidak lain
ialah jin. Dalam kes Abdul Aziz ini, tak tahulah saya. Tapi kuat hati saya
mengatakan sesuatu itu tidak lain ialah syaitan dari kalangan jin yang amsuk ke
dalam tubuh yang lemah, seperti tubuh Abdul Aziz itu.
Saya
memandang bahagian ini merudumkan lagi kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda
Bani Tamim.
3.4
TSUNAMI DAN JIBRIL
Suatu
ketika Abdul Aziz menutup matanya atas arahan sesuatu yang masuk ke dalam
dirinya (iaitu Allah). Ketika itu dia terlihat lembaga yang sangat besar
bersayap MEMUKUL AIR LAUT dengan sayapnya sehingga air laut bergelombang
sedemikian hebatnya. Makhluk besar itu tidak lain ialah Malaikat Jibril.
Kemudian Jibril dengan pantas naik ke langit. Gambaran ini kononnya terbukti
apabila pada tahun 2004 berlaku tsunami.
Di
sini ada permasalahan. Jika benar makhluk itu Jibril dan perbuatannya itu
mengakibatkan tsunami, tentunyaakan Jibril menikamkan sayapnya atau MEMUKUL
SAYAPNYA KE DASAR LAUTAN, bukannya ke air laut. Hal ini kerana kita sedia maklum
bahawa tsunami itu berlaku hasil GELINCIRAN BUMI DI DASAR LAUT, bukannya air
laut bergelombang tiba-tiba kerana ribut taufan atau hentakan sesuatu.
Gelinciran bumi di dasar lautan itu telah menghasilkan jurang lalu ia menarik
air lautan masuk. Kemudian air lautan terpukul keluar kembali lalu menghasilkan
ombak besar yang kita kenali sebagai tsunami.
Maksudnya
di sini, perlakuan makhluk besar yang dikatakan Jibril itu tidak bersesuaian
dengan sebab-musabab kejadian tsunami. Nampaknya calon Pemuda Bani Tamim ini
tidak ada ilmu tentang kejadian tsunami tempoh hari, sehingga dipercayainya
tsunami berlaku kerana kocakan air laut.
Tentang
makhluk besar yang disangkanya Malaikat Jibril dalam khayalannya itu, hal itu
bukan sesuatu yang aneh kerana memang ada ajaran sesat yang berkemampuan
menampakkan gambaran seperti itu. Malahan ajaran Axxx Pxxx di Malaysia dapat
memanggil Jibril (kononnya) yang rupanya sama seperti yang dilihat oleh Abdul
Aziz secara jaga bukan secara khayalan. Axxx Pxx dan orang-orang kanannya boleh
melihat dan berdialog secara terus dengan Jibril (kononnya) yang datang dengan
rupa asalnya. Hebat lagi Axxx Pxx berbanding Abdul Aziz.
Baru
melihat Jibril (kononnya) secara gambaran, sudah berani mengaku dirinya Pemuda
Bani Tamim. Ajaran-ajaran sesat lain malah boleh bertemu Jibril (kononnya)
secara langsung dalam rupanya yang asli. Mereka melihatnya secara beramai-ramai
lagi. Saudara Abdul Aziz, janganlah mudah terpedaya dengan syaitan.
Ustaz
dan ustazah suami isteri lulusan Timur Tengah pun terpedaya dan ‘melutut
menyembah’ Axxx Pxx, oranng awam di luar sana tentunya lebih mudah diperdaya
oleh orang-orang seperti Nasser Mohamed dan Abdul Aziz.
Fikirlah
tuan-tuan, kali pertama Nabi Muhammad saw melihat Jibril dalam rupa asalnya,
baginda terus jatuh pengsan kerana sedemikian hebatnya rupa Malaikat Jibril.
Tapi Abdul Aziz yang kali pertama melihat ‘Jibril’, keadaan dirinya biasa-biasa
sahaja. Hebat lagi Abdul Aziz berbanding Nabi Muhammad.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan lagi kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda
Bani Tamim. Keputusan peribadi saya, khayalan Abdul Aziz itu bukanlah Malaikat
Jibril dan tidak ada kena-mengena dengan tsunami yang melanda Sumatera.
3.5
WARNA NERAKA
Abdul
Aziz yang mengaku dirinya Pemuda Bani Tamim pernah bermimpi melihat manusia
diseksa dengan api yang BERWARNA MERAH BARA. Dia yakin yang dilihatnya ialah
neraka. Mimpinya ini djadikan antara hujahnya sebagai Pemuda Bani
Tamim.
Yang
jelas, yang dilihatnya itu bukan neraka, kerana warna neraka ialah hitam dan
gelap. Orang yang pernah berada di tengah-tengah kebakaran di dunia ini pun
mengatakan mereka berada di dalam keadaan hampir-hampir gelap di tengah-tengah
api itu. Apatah lagi di tengah-tengah api neraka.
Buktinya
:
“Apakah
kamu fikir warnanya (neraka) merah seperti api yang ada pada kamu ini?
Sesungguhnya WARNAYA LEBIH HITAM daripada minyak hitam/tar.”
(Imam Malik)
Buktinya
lagi :
“Dinyalakan
api 1,000 tahun sehingga ia menjadi merah. Kemudian dinyalakan 1,000 tahun
hingga menajdi putih. Kemudian dinyalakan 1,000 tahun lagi sehingga menjadi
HITAM. Maka sekarang warnanya hitam seperti malam yang gelap
gelita.”
(Turmizi)
Lagi
:
“Adapun
neraka itu GELAP-GELITA. Tidak ada lampu untuk meneranginya, kecuali (yang ada
hanyalah) api yang bernyala-nyala.”
(Turmizi)
Riwayat-riwayat
di atas saling menguatkan tentang ehwal neraka yang hitam dan
gelap.
Nampaknya
calon Pemuda Bani Tamim ini tidak punya ilmu tentang neraka, sehinggakan yang
bukan neraka disangkakannya neraka. Benarkah sebegini taraf ilmu pemegang
panji-panji Al-Mahdi?
Dari
itu, bahagian ini juga saya pandang memang menjatuhkan lagi kredibiliti Abdul
Aziz untuk menjadi Pemuda Bani Tamim.
3.6
KEKUATAN TUBUH DAN JIWA
Dalam
mimpi melihat tempat yang disalah sangkanya sebagai neraka itu, Abdul Aziz
berasa ADA SESUATU YANG MASUK KE DALAM DIRINYA. Kemasukan benda itu membuatkan
bahagian dadanya berasa sakit. Benda itu berkata-kata kepada hatinya tanpa
henti.
Kemudian
Abdul Aziz terjaga, namun benda itu masih ada dalam dadanya dan dadanya masih
sakit. Benda itu masih terus berkata-kata. Dia tidak tentu arah lalu berlari ke
Masjidil Haram untuk mendapatkan bantuan. Tidak ada seorang pun di Masjidil
Haram pada pukul 1 pagi? Memang pelik.
Keadaan
itu berterusan sehinggalah tiba waktu Subuh. Apabila azan Subuh berkumandang,
benda itu pun berhenti berkata-kata di dalam dadanya. Nampaknya ia takut atau
terkesan dengan azan Subuh. Dipendekkan cerita, benda itu tidak lain ialah
ALLAH! Begitulah kepercayaan Abdul Aziz, Nasser Mohamed dan para pengikut
mereka.
Saya
biasa melakukan kerja-kerja seorang mu’allij (perawat perubatan Islam yang lebih
menumpu kepada kaedah Tibbun Nabawi, tradisional dan alternatif). Kes seperti
yang dialami oleh Abdul Aziz memang biasa kami temui. Ia tidak lain ialah
kemasukan jin ke dalam badan.
Jin
itu MENGAKU ALLAH? Bukan sesuatu yang menghairankan. Jin-jin jenis inilah yang
biasa masuk ke dalam tubuh penganut agama Hindu lalu mengaku sebagai Siva (yang
Tuhan), Kali (yang juga Tuhan), Batara Guru (Tuhan juga) dan lain-lain. Ia bukan
setakat boleh berbicara kepada tuan punya tubuh yang dimasukinya, bahkan kepada
orang-orang lain di sekeliling tuan tubuh itu. Lagi hebat daripada pengalaman
Abdul Aziz. Orang-orang Hindu percaya
itu memang Tuhan sebenar.
Jin
jenis ini jugalah yang masuk ke dalam badan sebahagian penganut agama Tao/Buddha
lalu mengaku sebagai Tai Shang Lao Jun (Tuhan), Ban Ku Shi (Tuhan juga), Huang
Ti (Tuhan juga), Kuan Yin (dewi) dan sebagainya. Penganut agama Kristian tidak
terkecuali. Banyak kes berlaku di mana benda dalam badan manusia mengaku sebagai
Jesus Christ (Tuhan), Marie (Maryam), Roh Kudus (Tuhan) dan lain-lain. Dan
mereka betul-betul percaya itulah Tuhan sebenar, yang berbicara dari dalam tubuh
manusia.
Jin-jin
yang memainkan peranan seperti ini jenis yang sangat licik. Jumlah mereka
mungkin tidak ramai, tapi punya kedudukan/pangkat tinggi di sisi raja mereka
iaitu Iblis. Jin jenis inilah yang pernah cuba menyesatkan Syeikh Abdul Qadir
Jilani, tapi ia mencuba dari luar tubuh kerana perisai Syeikh Abdul Qadir Jilani
kukuh, tak boleh tembus masuk. Jin ini jugalah yang berjaya menyesatkan Barsisa
si ahli ibadah, yang juga dilakukannya dari luar tubuh kerana ia tak berupaya
menembusi tubuh Barsisa. Apabila JIN ITU BOLEH MASUK DENGAN MUDAH KE DALAM DADA
ABDUL AZIZ malah menyakitkannya, nampak sangat betapa lemahnya calon Pemuda Bani
Tamim kita. Perisai diri sudah tembus
pun masih berkhayal mahu menjadi pemegang panji-panji Al-Mahdi. Awal-awal sudah
tewas kepada syaitan, macam mana bung? Kalau diri kuat, jin jenis itu tak
mungkin dapat masuk. Jin itu pun pandai, dia pilih tubuh dan jiwa yang lemah,
agar mudah dikuasainya.
Cuba
tuan-tuan tengok gambar Abdul Aziz yang beredar. Walaupun dia cuba memberikan
‘pose’ yang menarik hati, berusaha untuk memberikan senyuman memikat, dari sudut
pandang seorang mu’allij (yang ilmu saya tidaklah banyak pun), jelas nampak DIA
SEORANG YANG SEDANG SAKIT. Tubuh dan dirinya tidak sihat sebenarnya. Dia tak
dapat menyembunyikan masalah kesihatan jasmani dan rohaninya daripada saya
dengan ‘pose’ sebegitu. Sebab itu dalam ajaran Islam, sangat digalakkan agar
pihak lelaki melihat muka dan tapak tangan wanita yang hendak dipinangnya
terlebih dahulu. Hal ini kerana pada muka dan tapak tangan si wanita sudah ada
pelbagai petunjuk tentang keadaan diri si wanita, tidak perlu melihat
bahagian-bahagian tubuh yang lain.
Cuba
para pembaca tunjukkan gambar Abdul Aziz itu kepada orang-orang yang ahli dalam
hal ini (saya tidak ahli, cuma tahu sedikit daripada ilmu itu yang lebih luas),
saya yakin, mereka akan mengatakan yang Abdul Aziz sebenarnya sedang sakit
jasmani dan rohani juga. Sebaiknya Abdul Aziz dibawa berubat. Jangan pergi
kepada seorang sahaja, biar kepada
beberapa orang perawat. InsyaAllah dia boleh disembuhkan.
Saya
cuba juga ‘scan’ dari jarak jauh gambar-gambar Nasser Mohamed si Al-Mahdi, tapi
gagal dapatkan apa-apa yang kukuh untuk dikongsi.
Hebatnya
Abdul Aziz, ALLAH MASUK KE DALAM DIRINYA dan berkata-kata secara langsung kepada
dirinya. Nabi Muhammad sendiri tidak begitu melainkan melalui perantaraan
Malaikat Jibril. Kalah Nabi Muhammad dengan Abdul Aziz! Bahkan semua nabi kalah
kepadanya kerana Tuhan sendiri masuk ke dalam dirinya.
Pada
saya, bahagian ini tentunya merudumkan nilai Abdul Aziz untuk menduduki jawatan
Pemuda Bani Tamim.
3.7
MEREKA YAKIN ALLAH TERPENGARUH DENGAN
TEMPAT, ARAH, SEMPADAN, TEPI, BATAS,
POSISI
Antara
Allah dengan tempat, yang mana ada terlebih dahulu? Tentulah Allah, kerana Dia
sudah SEDIA ADA sejak azali. Tidak ada sesuatu apa pun yang mendahuluinya.
Bahkan tidak ada suatu apapun yang wujud sekaligus dengan wujud Allah, kerana
Dia sudah SEDIA ADA.
“ALLAH
YANG TERAWAL dan yang terakhir.”
(Al-Hadid : 3)
Tempat?
Tempat,
arah, sempadan, tepi, batas dan posisi semuanya wujud kemudian daripada Allah.
Semuanya diciptakan, semuanya makhluk. Hal ini kerana semua itu TIDAK SEDIA ADA.
Semuanya pada asalnya tidak ada. Selepas diciptakan, barulah semuanya ada.
Bahkan Allahlah yang menciptakan semua itu. Diciptakan-Nya semua itu daripada
tidak ada kepada ada.
Sebelum
adanya tempat dan lain-lain itu, Allah sudah sedia ada. Maksudnya Allah sudah
sedia wujud tanpa bertempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Dan kita
sedia maklum, yang ALLAH TIDAK PERNAH BERUBAH. Mustahil Dia mengalami sebarang
perubahan. Sekiranya Allah mengalami perubahan walaupun satu, maksudnya itu
bukan Allah, tetapi makhluk. Allah tidak mungkin terpengaruh dengan perubahan.
Apa sahaja yang mengalami perubahan bukanlah Allah, tetapi makhluk. Allah tidak
pernah berubah.
“Segala
sesuatu pasti rosak (mengalami perubahan) melainkan
WajahNya.”
(Al-Qasas : 88)
Sebagaimana
keadaan Allah sebelum Dia menciptakan makhluk, sebegitulah keadaanNya sekarang,
dan begitulah keadaanNya selama-lamanya. Dia kebal daripada sebarang perubahan.
Jika sebelum menciptakan makhluk Allah tidak terpengaruh dengan tempat, maka
selepas Dia menciptakan makhluk pun Dia tetap tidak bertempat. Jika kita katakan
bahawa selepas menciptakan makhluk (termasuklah tempat) Dia mengalami perubahan,
maka itu bukanlah Allah kerana Zat Allah mustahil berubah.
Kesimpulannya,
Allah TIDAK PERNAH TERPENGARUH dengan tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan
posisi. Jika ada orang menyembah sesuatu yang bertempat, berarah, bersempadan,
bertepi, berbatas dan berposisi, tidak syak lagi yang orang itu sebenarnya
sedang menyembah makhluk, bukannya menyembah Allah. Apabila dia menyembah
makhluk, rosaklah aqidahnya.
Allah
= tidak dipengaruhi oleh tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan
posisi.
Makhluk
= semua terpengaruh dengan tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan
posisi.
Maksudnya
Allah tidak sama langsung dengan dengan mana-mana makhluk.
“Tidak
ada sesuatu pun yang serupa Dia.”
(Asy-Syura : 11)
Mari
kita lihat betul-betul siapa yang disembah, yang dinobat sebagai Tuhan, yang
menjadi Ilah kepada Nasser Mohamed, Abdul Aziz dan para pendukung
mereka.
Daripada
tulisan-tulisan sebelum ini, kita sedia faham yang ada SESUATU masuk ke dalam
diri Abdul Aziz hinggakan dia berasa sakit, dan benda itu berkata-kata di dalam
dirinya. Kita petik tulisan berkaitan :
“Kemudian
ibunya (ibu kepada Abdul Aziz) bertanya kepadanya (Abdul Aziz) : “Kenapa kamu
nak (anak)? Ada apa denganmu?” Dia menjawab : “Ada SESUATU YANG MASUK DALAM
DADAKU dengan melafazkan : “Alqiyamah, Alqiyamah.”
Kemudian
SESUATU yang masuk ke dalam badannya itu berkata :
“Kamu
adalah CUCU (keturunan) NABI IBRAHIM yang membangun Ka’abah. Dia (Nabi Ibrahim)
membangun Ka’abah ini UNTUKMU.”
Hebat!
Abdul Aziz tiba-tiba menjadi cucu Nabi Ibrahim. Adakah cerita tentan cucu Nabi
Ibrahim di akhir zaman ini dalam Al-Quran dan hadith? Lebih hebat lagi, Nabi
Ibrahim membina Ka’abah itu adalah untuk Abdul Aziz! Dalam Quran, adakah kisah
yang mengatakan Nabi Ibrahim membina Ka’abah itu untuk Abdul Aziz yang akan
datang pada akhir zaman nanti?
Kemudian
Abdul Aziz dinampakkan satu makhluk besar bersayap yang memukul air laut yang
diyakininya sebagai Malaikat Jibril. Terjadi lagi dialog antara Abdul Aziz
dengan SESUATU yang masuk ke dalam dirinya:
“Jika
(yang bersayap) itu adalah Jibril, maka siapakah engkau (yang sedang berada
dalam diriku ini)?” Di sinilah SESUATU yang memasuki dirinya menjawab : “AKULAH
ALLAH YANG MAHA SUCI DAN AGUNG, TUHANMU DAN TUHAN SEMESTA
ALAM.”
Allahu
Akbar! Apabila SESUATU itu BERTEMPAT dalam diri Abdul Aziz dan berkata-kata dari
ARAH dalam dirinya, maka tidak ada dolak-dalik lagi SESUATU itu memang
dipengaruhi oleh tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Maka SESUATU
yang dipercayainya sebagai Allah itu jelas-jelas bukan Allah, tetapi MAKHLUK
YANG SEDANG MENGAKU SEBAGAI ALLAH!
Abdul
Aziz, Naser Mohamed dan seluruh pengikut mereka percaya sepenuh hati memang itu
Allah. Maksudnya….. mereka tidak menyembah Allah tetapi makhluk, yang mereka
sangkakan makhluk itu sebagai Allah.
Tuhan mereka bukan Allah tetapi makhluk. Ilah mereka bukan Allah tetapi makhluk.
Hal ini kerana Allah tidak terpengaruh dengan tempat, arah, sempadan, tepi,
batas dan posisi. Tapi SESUATU dalam tubuh Abdul Aziz itu dipengaruhi oleh
tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi.
Layakkah
mereka yang berIlahkan/berTuhankan SESUATU yang bertaraf makhluk itu menjadi
Al-Mahdi, Pemuda Bani Tamim, imam kepada Nabi Isa, pemegang panji-panji hitam
dari Timur, penyelamat umat dan agama Islam…….?
Orang-orang
yang terpengaruh dengan ajaran Nasser dan Abdul Aziz sebenarnya mengikut secara
bertaqlid buta. Mereka sendiri tidak tahu apa yang sedang mereka anut. Bahkan
Abdul Azizi sendiri begitu.
“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali
persangkaan sahaja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak mengandungi sedikit pun
kebenaran.”
(Yunus : 36)
“Mereka
tidak mempunyai pengetahuan sedikit pun tentang itu, mereka tidak lain hanyalah
mengagak-agak belaka.”
Az-Zukhruf : 40)
Abdul
Aziz baru bermimpi melihat (sesuatu yang disangkakannya) Jibril memukul air
laut, sudah berasa dirinya Pemuda Bani Tamim. Padahal ada satu ajaran sesat di
Malaysia yang guru dan para pengikut kanannya boleh mengundang dan berdialog
dengan (sesuatu yang mereka dakwa sebagai) Jibril dalam bentuk asalnya lebih
kurang sama seperti yang dilihat oleh Abdul Aziz, secara jaga, bukan secara
mimpi. Hebat lagi juga ajaran sesat Lia Eden. Pengalaman Abdul Aziz dengan Jibril (kononnya) tidak sehebat
pengalaman Lia Eden dan para pengikutnya dengan Jibril (kononnya).
Satu
perkara lagi, terserlah dustanya Nasser Mohamed itu. Kononnya mahir mentafsir
Quran kerana tafsirnya diajar oleh Allah. Jika benar, mengapa dia gagal
mentafsir apa benda yang masuk ke dalam dada Abdul Aziz? Tidka sukar untuk
mengetahui apa yang Abdul Aziz katakan ‘SESUATU’ itu kerana ‘SESUATU’ itu sudah
diterang dengan setarang-terangnya dalam Al-Quran. Malangnya Nasser tidak punya
kemahiran mentafsir. Mari kita lihat apa kata Quran tentang ‘SESUATU’ yang masuk
ke dalam dada manusia dan bersuara di dalamnya. Surah An-Naas menyatakan
:
“YANG
BERSUARA KE DALAM DADA MANUSIA. (Iaitu syaitan-syaitan) dari kalangan jin dan
manusia.”
(An-Naas : 4-5)
Makhluk-makhluk
itulah yang masuk ke dalam dada Abdul Aziz dan bersuara di dalamnya. Mereka
boleh mengaku siapa sahaja baik sebagai Tuhan, Jibril, Syeikh Abdul Qadir
Jilani, Nabi Muhammad, Jesus Christ, Krishna, Boddhidhrama dan sebagainya.
Alangkah mudahnya tertipu manusia. Dan… bagaimana Si Nasser raja tafsir itu
gagal mentafsirkan Surah An-Naas?
3.8
SYAFAAT NABI
Menurut
ajaran Nasser Mohamed, sesiapa yang percaya bahawa di akhirat nanti ada syafaat
Nabi Muhammad, orang itu syirik.
Tulis
Abdul Aziz yang mengaku Pemuda Bani Tamim :
“Siapa
saja yang meyakini bahawa ada shafa'at Nabi kelak di akhirat maka dia telah
shirik.”
4.0
PERSOALAN-PERSOALAN SAMPINGAN
Persoalan-persoalan
ini timbul dalam kalangan orang ramai yang baru mendapat tahu tentang Nasser
Mohamed dan Abdul Aziz. Saya akan cuba memberi penjelasan setakat yang termampu,
insyaAllah.
4.1
JANGGUT DAN SERBAN
Antara
persoalan yang dikemukakan kepada saya ialah… bukankah sepatutnya Al-Mahdi dan
Pemuda Bani Tamim memperjuangkan sunnah Nabi Muhammad kerana mereka akan menjadi
contoh dan ikutan umat manusia akhir zaman? Mengapa mereka tidak mengambil berat
tentang sebahagian sunnah Nabi Muhammad
iaitu memelihara janggut dan berserban?
Jawapan
saya, sudah sepatutnya begitulah. Sepatutnya merekalah yang paling atas dalam
memperjuangkan sunnah-sunnah Rasulullah baik sunnah yang besar-besar, yang
kecil-kecil mahupun yang seni-seni. Kalau imam dan pembantu kanannya sendiri
sudah tidak memperjuangkan sunnah, bagaimana dengan orang ramai? Jika bukan
mereka yang mencontohkan, siapa lagi?
Orang
lelaki awam mencangkul rumput di depan rumah di tepi jalan tanpa memakai baju,
tidak ada yang ganjil. Tapi kalau ulama besar dengan sengaja berbuat demikian,
nampak buruk dari segi adabnya, sekalipun tidak berdosa pada
hukumnya.
Begitu
juga dengan janggut dan serban, atau sekurang-kurangnya penutup kepala berupa
kopiah dan lain-lain. Orang awam tidak berjanggut dan berserban, itu perkara
biasa. Lagi pun janggut dan serban bukannya diwajibkan. Tapi kalau ulama besar
dengan sengaja tidak berjanggut dan berserban, kurang sedikit kedudukannya dari
sudut adab. Kalau ulama pun sudah sebegitu, bagaimana pula dengan Imam Mahdi dan
Pemuda Bani Tamim? Berdasarkan gambar-gambar yang beredar, nampaknya Nasser
Mohamed dan Abdul Aziz tidaklah menjadikan janggut dan serban sebagai salah satu
‘pakaian diri’ mereka.
“Berbezalah
kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah
misai.”
(Bukhari, Muslim)
“Cukurlah
misai dan peliharalah janggut.”
(Bukhari, Muslim)
“Berbezalah
kamu dengan orang-orang musyrik, kerana mereka mencukur janggut dan memanjangkan
misai.”
(Muslim)
Sila
lihat gambar-gambar Nasser Mohamed. Ada ketika dia memotong janggutnya sehingga
begitu pendek dan menyimpan misai. Nampaknya amalan Nasser Mohamed tidak
seiringan dengan amalan dan perintah Nabi Muhammad. Bagi Abdul Aziz pula, terus
licin.
“Kami
diperintahkan supaya mencukur misai dan memanjangkan
janggut.”
(Muslim)
“Kamu
peliharalah janggut dan potonglah misai, dan janganlah kamu mencontohi Yahudi
dan Nasrani.” (Ahmad)
“Sesiapa
yang tidak memotong misainya, dia bukanlah daripada golongan kami.”
(Turmizi)
Nampaknya
Nasser Mohamed ‘bukan dari golongan kami’ kata Nabi Muhammad.
“Sepuluh
perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara
janggut….”
(Muslim)
“Janganlah
kamu mencontohi orang-orang asing, biarkanlah janggut kamu
panjang.”
(Al-Bazzar)
“Disebabkan
orang-orang Majusi membiarkan misai dan mencukur janggut mereka, maka berbezalah
kamu daripada mereka, kamu ambillah misai dan biarkanlah janggut kamu
panjang.”
(Ibnu Hibban)
“Sesunggguhnya
orang-orang musyrik itu memelihara misai mereka dan mencukur janggut mereka.
Oleh sebab itu berbezalah kamu daripada mereka, dengan memelihara janggut dan
memotong misai.”
(Al-Bazzar)
Kesimpulannya,
kesemua riwayat di atas saling menguatkan dari segi temanya. Oleh kerana
hadith-hadith ini tidak selaras dengan diri Nasser Mohamed dan Abdul Aziz,
bukanlah sesuatu yang luar biasa jika selepas ini mereka akan katakan
hadith-hadith ini ialah hadith-hadith palsu.
Saya
memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi
dan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.
4.2
DAJJAL
Himpunan
persoalan yang dikemukakan, yang berkaitan dengan Dajjal. Soalan-soalan ini ada
yang secara lisan dan ada yang dalam bentuk bertulis. Saya susun semula
menggunakan perkataan-perkataan saya sendiri untuk memudahkan
pemahaman.
S
- Adakah Nasser Mohamed itu Dajjal?
J
– Saya tidak tahu. Boleh jadi ya, boleh jadi bukan. Tapi secara peribadi,
setakat ini saya tidak nampak dia sebagai Dajjal. Dia hanyalah orang biasa yang
mengaku sebagai Al-Mahdi.
S
– Ada kemungkinan tak Nasser Mohamed ialah Dajjal memandangkan dia berambut
keriting, berasal dari Yaman dan Abdul Aziz berasal dari sebuah pulau iaitu
Pulau Lombok?
J
– Langkah pertama, kita huraikan maksud soalan-soalan yang saya rangkumkan di
atas. Berambut keriting ialah salah satu ciri Dajjal. Laut Yaman ialah tempat di
mana sahabat Nabi iaitu Tamim Ad-Dari mula belayar. Dalam pelayaran itu dia
terjumpa Dajjal di sebuah pulau. Pulau Lombok pula cuba dikaitkan dengan pulau
tempat Dajjal itu berada pada zaman Rasulullah itu.
Jawapan
saya, mungkin bukan. Perkaitan-perkaitan yang cuba dibuat masih sangat lemah,
belum boleh dijadikan hujah.
S
– Betulkah anda berjaya menulis sedemikian panjang tentang Nasser dan Abdul Aziz
selepas membaca Doa Anti Dajjal? Bukankah ini menunjukkan dia
Dajjal?
J
– Ceritanya begini……. Ketika mula-mula menulis tentang Nasser dan Abdul Aziz,
saya memang kekurangan idea. Namun begitu, saya berusaha juga mengumpul
perkataan demi perkataan. Kemudian, secara kebetulan saya terjumpa Doa Anti
Dajjal di internet dan datang kemahuan yang sungguh kuat agar saya membacanya.
Sebenarnya doa ini memang sudah lama saya ketahui, tapi tidak menjadi amalan
saya kerana saya sudah punya amalan harian berupa Amalan Ikhtiar Muslim (yang
bersesuaian dengan seorang mu’allij) susunan saya sendiri untuk pagi, petang dan
malam, dan Zikir Harian Imam Al-Ghazali sebagai tambahan.
Tapi
memang benar. Selepas membaca doa itu, tiba-tiba idea datang mencurah-curah.
Banyak benda yang saya tidak terfikir tiba-tiba menderu-deru masuk. Sehingga
sekarang (11 Ogos 2012), tulisan ini sudah menjangkau 8,000 patah perkataan.
Saya menjangkakan ia akan pergi sejauh 15,000 perkataan apabila siap sepenuhnya
kelak. Silap-silap lebih daripada itu.
Doa
yang saya terbaca itu ialah :
“Ya
Allah, aku berlindung dengan Engkau dari seksaan api neraka Jahannam, dan dari
seksa kubur, dan dari fitnah ketika hidup dan fitnah setelah mati, dan juga aku
berlidung daripada kejahatan fitnah Al- Masih Dajjal.”
(Muslim)
Doa
ini sesuai dibaca dalam solat selepas bacaan tahiyyat akhir.
Ada
satu lagi doa yang sehampir dengannya iaitu :
“Ya
Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada azab kubur, dan aku berlindung
kepada-Mu dari fitnah Al-Masih Dajjal…….”
(Bukhari, Muslim)
Baiklah.
Sungguhpun fikiran saya jadi lebih terang selepas membaca doa anti-Dajjal, hal
ini tidaklah membuktikan Nasser itu Dajjal. Saya tidak fikir dia ialah Dajjal.
Kita kena memahami bahawa fitnah Dajjal itu besar lagi luas ertinya. Ia tidak
semestinya perkara-perkara yang dilakukan oleh tubuh Dajjal itu sendiri. Maka
perkataan yang mungkin sesuai kita gunakan, jika mahu dikaitkan juga dengan
Dajjal, ialah apa yang diusahakan oleh Nasser dan para pengikutnya mungkin salah
satu daripada FITNAH DAJJAL, bukannya Nasser itu sendiri Dajjal.
WaAllahua’lam.
“Kiamat tidak akan berlaku, sehinggalah
dibangkitkan Dajjal-Dajjal pendusta, jumlah mereka hampir 30, semuanya MENGAKU
SEBAGAI UTUSAN ALLAH.” (Bukhari,
Muslim)
5.0 PERBEZAAN-PERBEZAAN ANTARA AL-MAHDI DAN NASSER
MOHAMED
Sekiranya benar Nasser
Mohamed itu Al-Mahdi yang tulen, pastinya kita akan mendapati begitu banyak
persamaan, bahkan 100% persamaan dengan Al-Mahdi yang dimaklumkan oleh
Rasulullah saw. Namun setelah kita memohon gerak daripada Allah, mengkaji dan
terus mengkaji, terlihat semakin banyak pula perbezaan antara Al-Mahdi dengan
Nasser Mohamed.
Di bawah adalah antara
perbezaan yang dapat kita perhatikan. (Atas tujuan perbandingan, Al-Mahdi yang
asli akan saya tulis sebagai Al-Mahdi, atau Al-Mahdi Ahli Sunnah wal Jamaah,
atau Al-Mahdi ASWJ, atau Al-Mahdi Sunni. Manakala Nasser Mohamed akan saya tulis
antaranya seperti Al-Mahdi Mazhab Nasseri, Al-Mahdi Nasseri, atau Al-Mahdi
An-Nasseri. Hal ini kerana Nasser Mohamed sendiri mengakui yang dirinya dan para
penyokongnya tidak bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ/Sunni), Syiah, Salafi
Wahhabi atau lain-lain. Maksudnya dia sudah mengasaskan satu mazhab ad-diin yang
baharu. Untuk memudahkan pemahaman, saya namakan mazhab baharu ini sebagai Mazhab Nasseri, atau
Mazhab An-Nasseri, atau Aliran Nasseri. Ataupun sesuai juga disebut Agama
Nasseri).
Yang jelasnya,
perbezaan-perbezaan ini tentu saja akan menurunkan saham Nasser Mohamed untuk
ditabalkan sebagai Al-Mahdi oleh umat Islam.
5.1 NAMA
Nama Al-Mahdi ASWJ
sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw ialah antara Ahmad, Muhammad,
Ahmad bin Abdullah, Muhammad bin Abdullah, Abu Abdullah Ahmad, Abu Abdullah
Muhammad, Abu Abdullah Ahmad bin Abdullah atau Abu Abdullah Muhammad bin
Abdullah.
Nama Al-Mahdi kepada
Mazhab Nasseri ialah Nasser Mohamed.
5.2 NILAI MAHMUDAH
Al-Mahdi seorang yang
merendah diri dan tidak suka publisiti. Ketika hendak dibai’ah di Makkah pun
nanti dia berusaha untuk menolak sehinggalah dia diancam untuk dibunuh, barulah
dia bersedia memenuhi permintaan umat Islam.
Al-Mahdi Mazhab Nasseri
seorang yang suka akan populariti dan begitu giat mempromosikan dirinya. Dia
sering mangambil gambar dirinya yang cantik-cantik, dengan ‘posing’ ala seorang
artis dan menyebarkannya ke serata dunia. Sebelum dibai’ah di Makkah lagi pun
dia dan pengikutnya sudah sangat sibuk meminta akuan orang ramai.
5.3 JANGGUT DAN MISAI
Berseuaian dengan
isyarat-isyarat daripada Rasulullah saw, Al-Mahdi sebenar seorang yang memotong
misai, memanjangkan janggut dan memeliharanya.
Al-Mahdi Nasseri pula
seorang yang memelihara misai, memendekkan janggut dan sesekali memotongnya
sehingga begitu pendek sekali. Pemuda Bani Tamim bagi Mazhab Nasseri iaitu Abdul
Aziz pula langsung tidak memanjangkan dan memelihara janggut.
5.4 KETURUNAN RASULULLAH
Al-Mahdi berketurunan
Rasulullah dan jelas susur galur keturunannya. Dia boleh membentangkan salasilah
dirinya sehinggalah kepada Rasulullah dengan mudah. Kedudukannya dalam salasilah
itu dapat disahkan dengan mudah oleh para ahlul bait (keturunan Rasulullah saw)
yang ada pada zamannya.
Nasser Mohamed yang
mengaku sebagai Al-Mahdi tidak diketahui susur-galur keturunannya. Sudah
bertahun-tahun kemunculannya, salasilahnya masih gagal dibentangkan. Jadi,
kedudukannya memang tidak dapat disahkan oleh ahlul bait di seluruh dunia. Abdul
Aziz yang memegang jawatan sebagai pemuda Bani Tamim dalam Mazhab Nasseri juga
sudah lama membuat pengakuan, tapi masih gagal menunjukkan bukti hubungannya
dengan Bani Tamim untuk disahkan oleh keturunan Bani Tamim yang juga sudah
tersebar ke serata dunia hari ini.
5.5 AS-SUNNAH DAN AL-HADITH
Umumnya cerita tentang
Al-Mahdi tidak ada dalam Al-Quran tetapi banyak terdapat dalam as-sunnah iaitu
hadith-hadith. Oleh itu, apabila Al-Mahdi muncul, dia akan menyemarakkan lagi
hadith-hadith Nabi kerana pada hadith-hadithlah dirinya banyak
disebutkan.
Al-Mahdi bagi Mazhab
Nasseri pula menolak begitu banyak hadith dan hanya berhujah menggunakan
ayat-ayat Al-Quran yang ditafsirkannya sendiri. Bahkan dia menolak sama sekali
banyak hadith sahih dan hasan, apatah lagi yang dhaif. Apabila sesuatu hadith
itu kelihatan tidak menunjukkan dirinya sebagai Al-Mahdi, akan dihukumnya
sebagai hadith palsu. Cara dia membuktikan kepalsuan sesuatu hadith itu pula
bukanlah melalui kajian ilmu mustalah hadith, tetapi melalui kaedah “I’m the
law”. Mana hadith yang dikatanya palsu, palsulah. Tidak perlu diberinya apa-apa
bukti, cukup dengan percaya sahaja. Percaya sudah, jangan banyak
tanya.
5.6 MAZHAB AD-DIIN
Sebagaimana Khalifah Umar
Abdul Aziz, Imam Hasan Al-Basri, Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Jilani,
Syeikh Abu Yazid Al-Bustami, para wali Songo, Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan
Solehuddin Al-Ayyubi, Imam Asy-Syafi’I, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Imam
Maliki, Imam Sufyan Ath-Thauri, Maulana Muhammad Ilyas, Imam Asy-Syahid Hasan
Al-Banna, Syeikh Ibnu Ataillah dan lain-lain tokoh besar umat Islam, Al-Mahdi juga akan datang dalam kalangan Ahli
Sunnah wal Jamaah, ringkasnya yang mazhab ad-diinnya ialah Mazhab Sunni. Bukan
Syiah, bukan Nasseri atau yang lain-lain.
Nasser Mohamed al-Yamani
sebaliknya mengakui dirinya bukan bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunni),
Syiah, Salafi Wahhabi atau sebagainya. Maksudnya dia sudah mengasaskan satu
mazhab ad-diin yang baharu, yang untuk memudahkan bicara kita sebuatkan sebagai
Mazhab An-Nasseri (Nasseri) sahaja. Bagi
Nasser, semua mereka yang disebutkan di atas ialah penyesat dan pemecah-belah
umat Islam.
5.7 WAJAH
Al-Mahdi berdahi luas.
Begitulah yang dinyatakan Rasulullah saw.
Al-Mahdi bagi Mazhab
Nasseri tidak berdahi luas.
5.8 KEMAKSUMAN
Al-Mahdi tentunya yakin
bahawa Rasulullah seorang yang maksum.
Nasser Mohamed Al-Yamani
lain pula ceritanya. Baginya Rasulullah tidak maksum, yang maksum hanya
Allah.
6.0 CARA PENYEBARAN DAKWAH/DAKYAH NASSER DAN ABDUL
AZIZ
6.1 PENGAKUAN YANG SENSASI
6.2 SOGOKAN KISAH-KISAH LUAR BIASA
6.3 TAFSIRAN AL-QURAN YANG SENSASI
6.4 BERSUMPAH DENGAN CARA YANG ANEH DAN
MELALUT-LALUT
6.5 PERLEKEHKAN HADITH-HADITH
6.6 MEMEPRKENALKAN JALAN KESELAMATAN YANG
MUDAH
7.0 HASIL DAKWAH/DAKYAH NASSER DAN ABDUL AZIZ
Sebelum kita lihat hasil
atau kesan dakwah/dakyah mereka, kita himpunkan isi kandungan ajaran mereka
terlebih dahulu agar kita dapat gambaran secara keseluruhan.
-
Al-Mahdi ialah Nasser Mohamed
(San’a, Yaman)
-
Pemuda Bani Tamim ialah Abdul
Aziz Muhammad Nashir (Pulau Lombok, Indonesia)
-
Allah sendiri yang mengajar
Nasser tafsir ayat-ayat Al-Quran. Oleh itu tafsirnya tepat dan tidak mungkin
tersalah atau lemah.
-
Semua ulama tafsir dulu dan
sekarang lemah belaka kerana mentafsir dengan akal sendiri yang penuh dengan
sangkaan. Oleh itu tasfiran mereka tidak boleh dipakai. Kita mestilah memakai
tafsiran Nasser kerana tasfiran Nasser diajarkan oleh Allah.
-
Semua umat Islam diwajibkan
mempercayai segala tafsiran Quran oleh Nasser.
-
Nabi Muhammad tidak maksum.
Tidak ada sesiapa yang maksum kecuali Allah.
-
Tuhan yang disembah oleh
Nasser, Abdul Aziz dan para pengikutnya dikenali sebagai “Alloh”. Alloh ini
boleh masuk keluar tubuh manusia, dan boleh pula berkata-kata di dalam tubuh
manusia. Alloh tertakluk/dipengaruhi oleh tempat, lokasi, posisi, arah,
sempadan, tepi dan batas. Alloh ini tidak sama dengan Allah yang disembah oleh
umat Islam kerana Allah tidak tertakluk/terpengaruh dengan tempat, lokasi,
posisi, arah, sempadan, tepi dan batas.
-
Saringan ke atas hadith yang
dibuat oleh ulama-ulama hadith terlalu banyak yang salah, termasuklah
hadith-hadith yang sahih dan hasan. Hanya Nasser yang tahu mana hadith yang
benar dan mana hadith yang palsu.
-
Nasser tidak menggunakan ilmu
mustalah hadith dalam mengelaskan hadith-hadith. Dia mengelaskan hadith-hadith
cukup dengan ajaran yang diterimanya secara langsung daripada Tuhan. Para
pengikutnya dan seluruh manusia mestilah memeprcayai pengekelasan yang dibuatnya
tanpa soal.
-
Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah
dan para ulamanya menyesat dan memecah-belahkan umat Islam.
-
Jemaah-jemaah Islam dan
tokoh-tokohnya semuanya menyesat dan memecah-belahkan umat Islam.
-
Menolak semua mazhab fiqh,
kerana mazhab-mazhab itu dan tokoh-tokohnya menyesat dan memecah-belahkan umat
Islam.
-
Nama Al-Mahdi bukannya Ahmad
atau Muhammad, tapi Nasser.
-
Tidak ada seksa
kubur.
-
Tidak ada syafaat Nabi pada
hari akhirat nanti.
-
Nama lain bagi Planet Nibiru
ialah Neraka Sijjil dan Neraka Saqar.
-
Planet Nibiru datang setiap
4,166 tahun melewati planet bumi.
-
Planet Nibirulah yang
menghancurkan kaum Nabi Lut sekitar 2,000 SM. Ia disebut Sijjil oleh
Al-Quran.
-
Planet Nibirulah yang
mengahncurkan tentera Raja Abrahah sekitar 571 M, kerana ia juga disebut Sijjil
oleh Al-Quran (malangnya kenyataan Nasser ini bertentangan dengan kenyataanya
bahawa Planet Nibiru datang setiap 4,166 tahun).
-
Planet Nibiru akan datang
pada tahun 2012 dan membakar ornag-orang yang tidak mahu mengikuti ajaran Nasser
dan Abdul Aziz.
-
Mereka percaya ada ruang
kosong berupa alam di bawah tanah yang disebut sebagai Hollow Earth. Di situlah
Yakjuj dan Makjuj tinggal sekarang.
-
Mereka percaya Zulqarnain
mengembara sehingga ke Kutub Utara.
-
Orang-orang yang menentang
ajaran mereka disebut sebagai “musuh Alloh”.
-
Malaikat pengambil nyawa
tidak wujud. Tidak ada malaikat yang bernama Izrail yang tugasnya mencabut nyawa
manusia. Nyawa manusia akan diambil oleh dua malaikat pencatat iaitu Raqib dan
Atid.
-
Ka’abah dibina oleh Nabi
Ibrahim untuk Abdul Aziz Muhammad Nashir, yang kononnya Si Pemuda bani
Tamim.
-
Mereka percaya warna api
neraka ialah merah bara, bukannya hitam.
7.1 UMAT ISLAM SEMAKIN BERPECAH
Apabila Nasser Mohamed
dengan bangganya mengakui dia dan pengikutnya bukan ASWJ (Sunni), bukan Syiah,
bukan Salafi Wahhabi ataupun yang lain-lain, juga tidak mengikut mana-mana
mazhab fiqh, hal ini bermaksud dia lebih memecah-belahkan umat Islam.
Kehadirannya menambahkan satu lagi kumpulan, iaitu mazhab dan alirannya sendiri
yang tidak diberinya nama. Maka untuk memudahkan kita, saya namakan sebagai
Mazhab Nasseri atau Aliran Nasseri. Semakin berbalahlah umat Islam dan Nasser
salah seorang yang menyemarakkan lagi perbalahan sedia ada.
7.2 KERJA-KERJA MUSUH-MUSUH ISLAM SEMAKIN
MUDAH
Musuh-musuh Islam
mengucapkan : “Terima kasih Nasser dan Aziz. Kerja-kerja anda berdua sangat
memuaskan hati kami.”
7.3 PENGHINAAN KEPADA SELURUH ULAMA ASWJ DULU DAN
SEKARANG
7.4 LAHIRNYA MAZHAB FIQH BAHARU, IBADAH PENGIKUT JADI
TUNGGANG-LANGGANG
7.5
MENAIKKAN SAHAM PUAK ANTI-HADITH
8.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya,
dakwah/dakyah Nasser Mohamed dan Abdul Aziz Muhammad Nashir mengajak umat Islam
memusuhi dan menjauhi para ulama dari zaman dahulu hingga sekarang, menjauhkan
manusia daripada hadith, menjauhkan manusia dari sunnah-sunnah Rasulullah,
menolak Rasulullah yang diakwanya tidak maksum, menjauhkan manusia dari membuat
kajian dan pertimbangan melainkan menerima sahaja dan bertaqlid buta kepada
ajarannya, menjauhkan manusia dari aliran Ahli Sunnah wal Jamaah, mengajak
manusia menghapuskan mazhab fiqh yang empat, menjauhkan manusia dari
jemaah-jemaah Islam yang ada dan berusaha menghapuskan semua Jemaah
Islam…….
Pesan Nabi Muhammad saw
:
“Kiamat tidak
akan berlaku, sehinggalah dibangkitkan Dajjal-Dajjal pendusta, jumlah mereka
hampir 30, semuanya MENGAKU SEBAGAI UTUSAN ALLAH.” (Bukhari, Muslim)
Bersambung…….
banyak lagi diskusi akan menyusul untuk sama-sama difikir-fikirkan.
Sila
tunggu kemaskini.
Abu
Zulfiqar
(Tulisan
asal 4 OGOS 2012)
Kemaskini
dan penambahan maklumat kali ke-6 (12 OGOS 2012)
*Tulisan saya sudah menjangkau 10,000
perkataan, maksudnya sekitar 700% daripada keseluruhan artikel yang bakal saya
siapkan. Oleh itu saya kira, sudah sesuai masanya untuk Abdul Aziz (yang
mendakwa dirinya Pemuda Bani Tamim) atau Nasser Mohamed (yang mendakwa dirinya
Al-Mahdi) mengulas setiap satu isi kandungan artikel ini secara terperinci.
Pastinya Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim punya ilmu yang sangat tinggi, melebihi
orang-orang lain. Bersesuaian dengan slogan mereka iaitu “Lihat ilmunya, bukan
namanya”, maka mulai sekarang Al-Mahdi Mazhab Nasseri atau/dan Fata At-Tamimi
bagi Mazhab Nasseri bolehlah mula menjawab, untuk semua umat Islam menilai ilmu
mereka.
Ulasan
Catat Ulasan