RASULULLAH S.A.W DAN PARA SAHABAT FANA DALAM WAHYU BAQA DALAM UBUDIAH
Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos tahun
610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari,
datanglah malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang sedang berkhalwat di
Gua Hiraa. Jibrail a.s yang muncul secara tiba-tiba itu terus berkata: “Baca!”
Nabi Muhammad s.a.w menjawab: “Saya tidak tahu membaca”. Jibrail a.s terus
menangkap Nabi Muhammad s.a.w. Diserkupnya baginda s.a.w dengan kain rida’ dan
dipeluknya sehingga baginda s.a.w mengalami kesukaran untuk bernafas. Kemudian
dilepaskannya dan disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti mulanya. Baginda
s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca.
Sekali lagi Jibrail a.s menangkap
Nabi Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti mula-mula tadi. Pelukan Jibrail a.s
kali ini lebih erat daripada yang pertama tadi, menyebabkan baginda s.a.w
hampir-hampir tidak dapat bernafas. Kemudian baginda s.a.w dilepaskan oleh
Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih
mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke tiga Jibrail a.s menangkap Nabi
Muhammad s.a.w, menutup baginda s.a.w dengan kain rida’ dan memeluk baginda
s.a.w dengan erat. Perbuatan yang demikian sangat memayahkan baginda s.a.w
bernafas. Setelah melepaskan baginda s.a.w buat kali ke tiganya, Jibrail a.s
membacakan firman Allah:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari
segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya. ( Ayat 1 – 5 : Surah al-‘Alaq )
Termetrailah wahyu pertama di dalam dada Nabi
Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s membacakan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w,
wahyu tersebut akan melekat, terpahat pada hati baginda s.a.w, tidak akan hilang
atau pudar buat selama-lamanya. Baginda s.a.w mengikuti bacaan Jibrail a.s
dengan fasih. Setiap huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan membuka segala
tutupan dan menghuraikan segala simpulan yang tidak mampu dihuraikan oleh fitrah
baginda s.a.w selama baginda s.a.w berkhalwat di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu
disingkap oleh akal dan renungan batin sudah terjawab dengan kedatangan wahyu.
Kebenaran yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran yang muktamad.
Nabi Muhammad s.a.w menerima perkhabaran wahyu
dengan sepenuh jiwa raga tanpa sebarang keraguan walaupun sebesar zarah. Baginda
s.a.w yakin penuh dengan kebenaran berita dan janji yang wahyu sampaikan. Wahyu
sentiasa turun membimbing baginda s.a.w serta memberi ketetapan hati, meneguhkan
kepercayaan dan pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan amanah yang Allah
s.w.t serahkan kepada baginda s.a.w. Tempoh wahyu turun kepada baginda s.a.w
adalah 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.
Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui
tujuh cara. Cara yang pertama adalah mimpi yang benar. Apabila baginda s.a.w
melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan yang kelihatan adalah terang seperti
cuaca subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di dalam mimpi benar-benar berlaku.
Wahyu cara ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati baginda s.a.w. Baginda
s.a.w mengetahui sesuatu secara spontan, tanpa berfikir atau merenung. Wahyu
cara ke tiga dibawa oleh malaikat Jibrail a.s yang menggunakan bentuk misal.
Contohnya Jibrail a.s pernah memakai rupa salah seorang daripada sahabat
Rasulullah s.a.w yang elok wajahnya iaitu Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Sahabat
inilah yang kemudian hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w menyampaikan surat
baginda s.a.w kepada Heraklius, penguasa kerajaan Roman Timur. Wahyu cara ke
empat pula datang kepada Rasulullah s.a.w seperti suara loceng. Wahyu cara
inilah yang paling berat dan memenatkan baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah
berpeluh pada musim dingin tatkala menerima kedatangan wahyu cara ke empat ini.
Pernah satu ketika paha Rasulullah s.a.w sedang menindih paha Zaid bin Sabit
ketika wahyu yang seperti suara loceng ini turun kepada baginda s.a.w. Zaid
merasakan seolah-olah pahanya akan pecah menanggung paha Rasulullah s.a.w yang
sedang menerima wahyu tersebut. Wahyu cara ke lima datang kepada Rasulullah
s.a.w dengan menderu seperti suara lebah. Pada cara ke enam pula Jibrail a.s
datang kepada Rasulullah s.a.w dalam rupanya yang asli. Wahyu cara ke tujuh
adalah penyampaian secara langsung daripada Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w,
tanpa sebarang perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh Nabi Musa
a.s.
Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w
menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu ternyata pada kata-kata baginda
s.a.w kepada bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, yang menyampaikan kepada
baginda s.a.w permintaan kaumnya agar baginda s.a.w menghentikan pekerjaan
dakwah. Baginda s.a.w memberikan jawapan yang tegas: “Wahai bapaku. Walaupun
mereka meletakkan matahari pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku yang
kiri dengan maksud daku meninggalkan tugasku, tidak akan daku tinggalkannya
sehinggalah agama ini menang atau daku binasa sebelumnya!”
Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan
pergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w memperolehi berbagai-bagai
kemuliaan dan ketinggian tetapi segala puji-pujian diperuntukkan kepada Allah
s.w.t semata-mata. Apabila baginda s.a.w dipuji oleh orang ramai baginda s.a.w
mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan
tegas di dalam menanggung wahyu. Apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda
s.a.w melaksanakannya sendiri terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain
melakukannya. Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melalui diri
baginda s.a.w sendiri. Tidak ada istilah hukum yang wajib untuk orang ramai
tetapi tidak wajib untuk Rasulullah s.a.w. Hukum Allah s.w.t berjalan sama rata
sama rasa, kepada Rasulullah s.a.w dan juga kepada umat baginda s.a.w. Jika umat
baginda s.a.w wajib mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam baginda
s.a.w juga wajib berbuat demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi daripada
apa yang dikerjakan oleh orang lain. Baginda s.a.w memperbanyakkan sembahyang
malam hingga bengkak tumit baginda s.a.w, tetapi umat baginda s.a.w tidak
diwajibkan berbuat demikian, walaupun digalakkan.
Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat
manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh kaum baginda s.a.w tetapi baginda
s.a.w mengelakkan daripada mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda s.a.w lebih
suka mendoakan: “Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku kerana mereka tidak mengerti.”
Kadang-kadang baginda s.a.w mendoakan: “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku kerana
mereka tidak tahu”. Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak Rasulullah s.a.w
yang diasuh oleh wahyu.
Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai kebenaran
yang Mutlak. Apa juga bakat yang ada dengan baginda s.a.w seperti fikiran, ilham
dan kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin bagi menterjemahkan wahyu dan
menyatakan kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi baginda s.a.w mengeluarkan
buah fikiran, ilham atau kasyaf yang berbeza dengan wahyu. Baginda s.a.w
menggunakan segala bakat baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara yang baginda
amalkan menyebabkan Hadis menjadi sumber hukum selepas al-Quran. Hadis yang
benar daripada Rasulullah s.a.w tidak sezarah pun bercanggah dengan
al-Quran.
Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan
bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam dunia ini sebagai manusia biasa
bukan sebagai malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w menjalani
kehidupan yang ada urusan beristeri dan berkeluarga, bermasyarakat, merasai
kenyang dan lapar, sihat dan sakit dan segala aspek kehidupan manusia biasa,
hinggakan baginda s.a.w menjalani juga proses kematian walaupun ada Nabi yang
tidak menjalani proses tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani itu
berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar. Baginda s.a.w adalah orang yang
paling arif mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu yang baginda s.a.w tunjukkan
dengan prinsip dan amalan kehidupan baginda s.a.w sendiri merupakan suasana
kehidupan yang paling utama, paling baik, paling mulia dan paling tinggi.
Suasana demikian juga yang dijalani oleh para sahabat baginda s.a.w. Mereka
adalah puak yang bergerak di atas muka bumi, di dalam dunia, menyebarkan apa
yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi
Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai enam perkara yang menjadi dasar
pembentukan umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah mereka dan
melaksanakan kewajipan kehambaan kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu
adalah:
1: menyampaikan, mengajak serta
membimbing umat manusia supaya mematuhi sekalian perintah Allah s.w.t dan
menjauhi sekalian larangan-Nya dengan sepenuh kekuatan dan kebijaksanaan.
2: bersyukur kepada Allah s.w.t yang menciptakan
dan mengurniakan nikmat kesinambungan hidup sehingga umat manusia tidak menemui
kesukaran di dalam menjalani kehidupan dan mendapatkan keperluan mereka.
3: membersihkan pakaian dan perbuatan zahir serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan takwa. 4: meninggalkan segala yang keji dan munkar seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan lain-lain yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. 5: mengikhlaskan niat dan amalan supaya kepentingan diri tidak merobohkan benteng keadilan dan supaya fitnah kebendaan tidak memesongkan haluan ubudiah (kehambaan) terhadap Allah s.w.t.
6: semua perkara yang dinyatakan di
atas hen
daklah dilengkapkan dengan sabar kerana dugaan di dalam melakukan
kebaikan jauh lebih kuat daripada dugaan meninggalkan kejahatan. Sabar menjadi
prinsip yang kukuh mempertahankan diri dalam menghadapi halangan dan penentangan
di sepanjang jalan menyebarkan dan melakukan kebaikan.
Wahyu telah memberi jawapan yang konkrit terhadap
permasalahan yang tidak mampu dihurai oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila
wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi Muhammad s.a.w di dalam mencari
hakikat yang sebenar. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w terima melalui wahyu
itu dipertanggungjawabkan kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula kepada
sekalian manusia. Baginda s.a.w tidak boleh lagi memencilkan diri di dalam Gua
Hiraa. Apabila cahaya kebenaran memancar di dalam lubuk hati dan bidang tugas
dibukakan, baginda s.a.w mesti keluar kepada orang ramai, kepada dunia, bagi
menyampaikan amanah yang baginda s.a.w tanggung dengan bersuluhkan cahaya
kebenaran.
Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan
yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan, Yang Maha Mulia dan memiliki
nama-nama yang baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian manusia. Wahyu
mengajar manusia berbuat kebaktian kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara
perhubungan dengan sesama manusia. Wahyu sangat menekankan soal takwa iaitu
mematuhi titah perintah Allah s.w.t, tidak keluar daripada sempadan jalan yang
lurus yang telah digariskan oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu mendidik manusia
supaya hidup sebagai hamba Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah
dengan tegas dan jelas meletakkan manusia pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf
yang lain daripada itu.
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh
mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin. Pendidikan al-Quran berkembang dengan
sangat pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Jika
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran, kaum Muslimin
pula sangat bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sebahagian daripada kaum
Muhajirin yang berhijrah ke Madinah terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di
satu kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km dari masjid Rasulullah s.a.w.
Di sana mereka mendirikan rumah-rumah dan menguruskan kebun-kebun. Saidina Abu
Bakar dan Saidina Umar adalah di antara mereka yang tinggal di Sunuh. Jarak 20km
itu tidak menghalang mereka mempelajari al-Quran daripada Rasulullah s.a.w.
Mereka telah menyusun jadual pembelajaran al-Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari
mereka menghantarkan dua atau tiga orang wakil dari Sunuh pergi ke Madinah.
Sepanjang hari wakil dari Sunuh akan mendapatkan apa sahaja yang diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w, terutamanya ayat-ayat al-Quran yang baharu turun. Mereka
mempelajari al-Quran secara menghafal dan memahami dengan lengkap. Jika ada
larangan atau perintah atau amalan yang disampaikan oleh al-Quran mereka akan
mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Rasulullah s.a.w. Apa juga
ayat yang turun pada hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga kerana pada
hari esoknya mungkin ada pula ayat-ayat yang baharu turun. Setelah hari petang
mereka kembali semula ke Sunuh dan pada malam itu juga atau paling lewat
keesokan harinya semua pelajaran yang diterima daripada Rasulullah s.a.w sudah
disampaikan kepada semua kaum Muslimin di Sunuh. Mereka mempelajari al-Quran
tanpa bertangguh-tangguh. Al-Quran dipelajari secara menyeluruh iaitu membaca,
menghafal, memahami dan mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran yang diatur
oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat-sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan
sehingga mereka boleh menjalankan kegiatan harian untuk menampung perbelanjaan
mereka dan pada masa yang sama mereka boleh mempelajari al-Quran dengan
sempurna. Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan, pertukangan dan lain-lain
boleh berjalan dengan lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan dengan
bersistematik. Kesungguhan mempelajari al-Quran tidak menjejaskan urusan
kehidupan harian.
Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam
menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada kaum Muslimin. Setiap kali turun
ayat baginda s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat baginda s.a.w dan ayat yang
baharu turun itu disampaikan dengan pembacaan yang betul, sebutan setiap huruf
mengikut kadar panjang dan pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang tepat
sebutannya dihafal berulang-ulang sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar
melekat di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak berganjak daripada majlis
Rasulullah s.a.w sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-Quran dengan betul
dan menghafalnya dengan baik. Bukan sekadar membaca dan menghafal, malah mereka
juga dilengkapkan dengan pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang maksud
ayat, kedudukan susunannya di dalam al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat
yang lain. Jika ayat tersebut melibatkan peraturan dan amalan maka kaedah
peraturan dan amalan itu difahami benar-benar. Semua itu mereka pelajari secara
langsung daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah mereka pelajari itu
mereka sampaikan pula kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat menghadiri
majlis Rasulullah s.a.w.
Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di
atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar, pelepah-pelepah tamar yang sudah
dikeringkan dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran bukan sahaja
dipelihara di dalam dada kaum Muslimin malah ia juga dipelihara secara bertulis.
Lembaran al-Quran yang bertulis itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran kepada
umat baginda s.a.w dengan cara yang paling berkesan dan selamat. Atas
kebijaksanaan baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian dapat menerima
al-Quran dalam keasliannya. Selain daripada jurutulis wahyu yang khusus terdapat
kira-kira 40 orang yang mengambil bahagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara
yang demikian lebih memudahkan kaum Muslimin menyebarkan al-Quran.
Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal menghafal
al-Quran. Baginda s.a.w memberi petunjuk mengenai penghafalan ayat-ayat al-Quran
dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menghafal
al-Quran adalah seperti orang yang memiliki unta yang diikat. Jika unta itu
dijaga ia terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang”. Baginda s.a.w
mengajarkan supaya mengikat hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi
bacaannya seberapa kerap yang terdaya. Selain daripada menghafal, pemahaman dan
amalan juga dititik-beratkan. Ibnu Mas’ud menceritakan: “Apabila seseorang kami
mempelajari sepuluh ayat dari al-Quran kami tidak akan berpindah kepada ayat
lain sebelum kami mengetahui benar-benar maksudnya dan tahu cara beramal
dengannya”. Ramai para sahabat menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w mengajarkan
ayat-ayat al-Quran kepada mereka secara sepuluh ayat sekali belajar, tetapi
lengkap dengan menghafal, memahami maksud, tahu mengamalkannya dan tahu
kedudukannya berhubung dengan ayat-ayat lain yang turun terdahulu. Mereka
mempelajari al-Quran, menyimpan serta mengamalkannya.
Rasulullah s.a.w selama-lamanya membaca al-Quran
secara tartil, membaca dengan terang dan perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi
setiap huruf dengan jelas. Cara bacaan yang demikian baginda s.a.w sebarkan
kepada para sahabat. Cara tersebut selain memberi faedah kepada para pembaca
juga memudahkan pendengar mengikuti serta menghafalnya.
Rasulullah s.a.w berjaya membentuk satu umat yang
tidak pernah wujud di atas muka bumi seperti mereka sebelumnya dan tidak akan
ada lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah umat yang setiap ahlinya
terdiri daripada orang yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran dari
sudut perlembagaan negara maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli politik
yang arif tentang peraturan negara. Jika dilihat al-Quran sebagai kod etika
sosial maka setiap ahli masyarakatnya adalah pemimpin yang bertanggung-jawab
kepada apa yang dipimpin, baik keluarga, perniagaan, pertanian, penternakan dan
sebagainya. Jika dilihat al-Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap ahli
masyarakatnya adalah perajurit yang sentiasa bersedia menyahut panggilan jihad.
Jika al-Quran dilihat sebagai peraturan kehidupan maka setiap ahlinya adalah
ahli syariat yang taat. Jika dilihat al-Quran sebagai penyampai khabar tentang
Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli makrifat yang benar-benar
mengenal Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran penyucian hati maka
setiap ahli masyarakatnya adalah yang sangat mendalam pengertian mereka mengenai
hati. Mereka beragama secara menyeluruh. Darah, daging, tulang, sumsun dan urat
saraf adalah Muslim. Pendengaran, penglihatan, penciuman, pergerakan dan akal
fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka adalah Muslim. Roh mereka adalah
Muslim. Mereka memakai satu makam sahaja iaitu makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak
tahu perbezaan istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat, makrifat, ilmu tauhid,
ilmu fikah, ilmu tasauf dan yang seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran dan
ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.
Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga
sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran. Lahirlah individu yang cergas dalam
segala bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja bersungguh-sungguh dengan
segala kemahiran yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan dan keperluan kaum
Muslimin. Peniaga pula mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara halal untuk
disumbangkan kepada pembangunan umat dan juga jihad fi-sabilillah. Apa juga
nikmat yang diperolehi diperakui sebagai kurniaan Allah s.w.t yang dipertaruhkan
sebagai amanah, bukan sebagai milik individu sepenuhnya. Individu yang menerima
kurniaan tersebut mentadbirkannya secara yang diredai oleh Allah s.w.t. Apabila
pemilikan harta longgar pada hati mudahlah melepaskannya demi kepentingan agama
Allah s.w.t kerana Allah s.w.t adalah Pemilik sebenar. Saidina Abu Bakar
as-Siddik melepaskan kesemua hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para sahabat
yang lain menyumbangkan menurut kadar masing-masing. Tidak ada yang menuntut
harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya. Kaum Ansar telah membuktikannya
dengan kesanggupan mereka melepaskan harta dan tanah pemilikan mereka demi
membantu saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa yang dilepaskan itu
diserahkan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada baginda s.a.w
bagaimana mahu membahagikan harta Ansar tersebut.
Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad s.a.w dan
kaum Muslimin agar bergerak cergas dalam segala bidang bagi membentuk kehidupan
yang sihat sejahtera sesuai dengan kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Kehidupan
dunia yang demikian menjadi asas kepada kehidupan akhirat. Kesungguhan
Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w membina kesejahteraan di bumi
dapat dilihat melalui program dan strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi
disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama para sahabat baginda s.a.w. Ketika
berlaku Perang Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam terdiri daripada
313 orang dengan alat kelengkapan perang yang sangat sederhana. Ketika berlaku
Perang Uhud dalam tahun ke tiga hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan
kelengkapan perang yang lebih baik daripada ketika Perang Badar dahulu. Dalam
tahun ke lima hijrah berlaku pula Perang Khandak. Dalam peperangan tersebut
tentera Islam sudah berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang
mencukupi. Dalam tahun ke enam hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1,700 orang kaum
Muslimin menuju Makkah dengan bilangan kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke
sepuluh hijrah baginda s.a.w memimpin 10,000 orang tentera Muslimin menakluki
kota Makkah. Bilangan kuda pada masa itu sudah berjumlah 1,000 ekor. Pada tahun
ke sembilan hijrah baginda s.a.w memimpin hampir 40,000 orang tentera Muslimin
ke Tabbuk dalam daerah Syam. Mereka menggunakan 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor
unta. Mereka mampu meredah jarak 2,000 batu yang sebahagian besarnya adalah
padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah membentuk 40,000 orang tentera yang
tinggal di merata tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka terdiri daripada
berbagai-bagai suku dan kaum.
Kerja penyelarasan pasukan tentera yang begitu
besar bukanlah mudah. 40,000 orang tentera, 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor
unta berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum berangkat ke Tabbuk. Tempat
tinggal, makan dan minum mereka semua diperlukan. Pekerjaan yang berat itu dapat
diselenggarakan oleh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Apa yang
tidak dapat dibuat oleh umat lain mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w
kerana mereka mendapat pimpinan yang langsung dari Allah s.w.t melalui
wahyu-Nya, melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah berjaya membentuk umat yang menjadi
penolong dan pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan di Arafah
bahawa orang yang boleh menolong agama Islam adalah mereka yang memberikan
sepenuh hatinya kepada Islam dan bekerja dalam segala jurusan untuk Islam. Orang
yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja tidak dapat menyumbangkan kepada
perkembangan Islam secara berkesan. Hanya mereka yang menyerah secara menyeluruh
dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk Islam benar-benar mampu menaikkan
Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja, misalnya dalam
jurusan ibadat sahaja atau dalam jurusan ekonomi sahaja atau politik sahaja,
tidak banyak membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan agama Islam. Hanya
puak Ansar (orang yang menolong dan membela Islam dalam segala bidang) dapat
menyokong perkembangan Islam. Orang Ansar mengenepikan segala kepentingan diri
demi agama Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t!
Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian kepada
bidang ekonomi. Di dalam pelan pembangunan Madinah baginda s.a.w tidak lupa
menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat perniagaan kaum Muslimin. Sebelumnya
kaum Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi Banu Kainuka. Sistem pasar
tersebut berjalan menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w sangat tidak
menyukai apa sahaja yang bercanggah dengan peraturan Allah s.w.t. Baginda s.a.w
mahu kaum Muslimin berniaga menurut prinsip perekonomian Islam. Oleh itu baginda
s.a.w membuka pusat perniagaan yang baharu. Baginda s.a.w bersabda yang
maksudnya: “Inilah tapak tempat perniagaan kamu, semoga ia tidak sempit dan
tidak dipungut hasil padanya”. Muncullah sebuah pekan kecil yang berperanan
sebagai pasar bebas cukai milik kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang
dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah s.w.t. Pengunjungnya sentiasa
bertambah dan pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi semakin lengang.
Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi bukan
sekadar menyediakan kawasan perniagaan sahaja. Baginda s.a.w juga melindunginya
agar keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana. Satu ketika baginda s.a.w
melihat ada didirikan khemah di kawasan perniagaan tersebut. Baginda s.a.w
memerintahkan agar khemah itu dibakar. Sebelum terjadi perlumbaan mengawal
kepentingan diri sendiri dengan mencabut hak orang lain, awal-awal lagi
Rasulullah s.a.w mencabut pokok yang berbisa itu, sebelum ia sempat tumbuh segar
dan merosakkan sistem perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w tidak mahu ruang
perniagaan menjadi sempit lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak ada
pemilikan dan penguasaan individu di dalam kawasan perniagaan yang di bina oleh
Rasulullah s.a.w.
Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w melihat
ada peniaga yang menumpuk gandum. Baginda s.a.w memasukkan tangan baginda s.a.w
ke dalam tumpukan gandum itu dan mendapati bahagian bawahnya basah. Baginda
s.a.w memerintahkan agar bahagian yang basah diletakkan di atas supaya pembeli
tidak tertipu. Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang sengaja menaikkan
harga barang. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang yang membawa barang
ke pasar ini seperti orang yang berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan
harga barang seperti orang yang kufur dengan Allah s.w.t”.
Di dalam pelan pembangunan Madinah masjid
menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti bergerak mengelilinginya. ‘Roh’
kepada jantung itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada masjid baginda s.a.w
memancarkan kehidupan yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga kebendaan.
Jika masjid diibaratkan jantung, maka darah yang dihantarkan oleh jantung kepada
semua bahagian adalah al-Quran. Darah al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum
Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas dasar mentaati Allah s.w.t dan
Rasul-Nya. Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip keadilan dan
kebenaran.
Wahyu meninggalkan kesan yang sangat mendalam
kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut baginda s.a.w. Setiap kali wahyu turun
terjadilah perubahan pada diri mereka dan suasana di sekeliling mereka. Wahyu
yang dibacakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk
mendatangkan perubahan. Apabila Rasulullah s.a.w membaca wahyu yang menegur
sesuatu perkara yang ada pada mereka, maka dengan segera mereka mengambil
tindakan menyesuaikan diri dengan teguran tersebut. Amalan, kepercayaan, tradisi
dan apa sahaja mereka boleh lepaskan dengan mudah apabila datang perintah wahyu.
Pekerjaan berat dan belum pernah mereka lakukan akan menjadi ringan jika wahyu
memerintahkan mereka melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang wahyu
mengharamkan arak, orang yang sedang memegang botol arak terus mencampakkannya,
sekalipun mereka merupakan orang yang ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu
yang dibacakan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Kaum Muslimin sentiasa
mengharapkan kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk, bimbingan dan teguran
kepada mereka. Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan kekasih yang mereka
rindui. Mereka fana di dalam wahyu hinggakan tidak ada perkataan yang menguasai
mereka melebihi perkataan Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah wahyu iaitu
kehambaan kepada Allah s.w.t hinggakan tidak ada yang menguasai mereka melainkan
peraturan Allah s.w.t. Itulah umat Nabi Muhammad s.a.w yang fana dalam wahyu dan
baqa dalam ubudiah (kehambaan).
|
Ulasan
Catat Ulasan