Kemerdekaan Malaysia ke 55
31 Ogos 2012 genaplah 55 tahun Malaysia Merdeka dari penjajahan terakhir iaitu British. Namun selepas 55 tahun bergelar sebuah negara merdeka, apakah yang telah dicapai oleh negara ini? Adakah bangunan pencakar langit KLCC Menara Petronas adalah cukup sebagai kayu ukur pencapaian negara ini selepas 55 tahun merdeka? Jawapannya pasti berbeza bergantung daripada mana aliran pemikiran seseorang wagrganegara Malaysia itu condong.
Bagi pemerintah, benarlah Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, Menara berkembar Petronas KLCC, KLIA, Lebuhraya PLUS, PROTON, PRODUA, 1 Pingat Perak 1 PIngat Gangsa Olimpik adalah kayu ukur pencapaian negara. Negara Malaysia telah dicanangkan sebagai negara contoh Umat Islam di dunia yang patut menjadi contoh kepada negara-negara Islam di dunia ini. Apatah lagi buat umat Melayu, maka Malaysialah satu-satunya negara umat Melayu yang terbilang kata pemerintah Malaysia buat masa kini.
Berbekalkan gambar-gambar lama tahun 1950an Negara Tanah Melayu dengan gambar sungai Gombak dan Batu jelas menunjukkan Malaysia 55 tahun dahulu dengan tahun 2012 amatlah berbeza sekali.
Maka benarlah pandangan pemerintah akan kayu ukur kemajuan Malaysia selepas 55 tahun merdeka dari penjajah British berdasarkan gambar dan apa yang nyata di hadapan mata semua umat manusia.
Berlainan pula pandangan daripada pihak pembangkang yang terang-terang akan mengatakan negara Malaysia sebenarnya telah jauh ketinggalan dengan negara yang sepatut sama kemajuannya dengan Malaysia iaitu Korea dan Jepun.
Korea dan Jepun adalah negara yang sama kemajuannya dengan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Sebagai pengeluar barang-barang elektronik dan automotif utama dunia, Korea dan Jepun jauh terserlah dan maju dengan Malaysia. Siapa tidak kenal dengan produk Samsung, Honda, Hyundai, Suzuki sebagai misalan, maka sekiranya dibandingkan Malaysia dan Korea dan Jepun, maka jauh ketinggalanlah Malaysia.
Bagi mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mengatakan diri mereka neutral dan sering pula keluar negara samaada keluar urusan perniagaan atau melancung pasti memiliki pandangannya yang tersendiri dengan Malaysia. Pendek kata, pendapat kita berhubung dengan kemerdekaan Malaysia dan kemajuannya pasti berbeza dan tidak akan sama selagi ada bulan dan bintang di muka bumi ini. Namun apa yang penting untuk rakyat Malaysia khususnya ialah menghargai kemerdekaan yang telah kita miliki selama 55 tahun ini. Mungkin bagi generasi baru yang berumur di bawah 50 tahun tidak pernah berpeluang merasa betapa sengsaranya kehidupan di kala tahun 1950an ke bawah di waktu negara kita berada dibawah penjajahan British.
Kita (termasuk penulis) adalah umat yang membesar ketika negara telah merdeka dan diselimuti oleh subsidi dan berbagai kemudahan untuk kemajuan diri. Bagi mereka yang telah menggunakan peluang sepenuhnya, pastilah sekarang mereka telah mengecapi kemewahan dan tidak timbul bagi mereka akan bab survival kehidupan sebagaimana penulis sedang bergelumang sekarang ini.
Melihat mereka berkereta berjenama mewah seperti BMW dan MERCEDEZ terasa menyesal pula di hati kerana telah mensia-siakan peluang yang telah diberi sebelum ini. Walau pun peluang kedua yang telah diberikan telah digunakan sepenuhnya dan berjaya, namun kerana kemelesetan ekonomi dan penukaran dasar Kerajaan, penulis tersadai juga dengan kemelut survival kehidupan ini.
Apa yang penting sempena Hari Ulang tahun Kemerdekaan ke 55 ini sebagai sebuah negara yang matang dan lanjut, akan menjadi titik tolaknya untuk negara dan rakyatnya bergerak terus ke hadapan tanpa menoleh kebelakang kecuali sebagai mempelajari kesilapan dan memperbaikinya.
Perjuangan untuk survival kehidupan perlu diteruskan biar gelombang api dihadapan maupun Tsunami besar lautan melanda. Selagi nyawa masih ada, perjuangan mesti diteruskan. Kitalah yang pasti merubah segalanya. Untuk itu, kita perlu bergerak dan usahlah diratapkan apa yang sedang melanda kita waktu ini (terutama diri penulis ini).
Mudah-mudahan Allah meredhai dan melapangkan perjalanan ini. Amin Yara bal alamin.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55. Sama-samalah kita menghargainya, memeliharanya dan memajukan negara kita bersama-sama tidak kira dari mana haluan pemikiran, parti politik maunpun ugama, bangsa dan bahasa.
30 Ogos 2012 10.09
Ulasan
Catat Ulasan