Ibnu Bathutah bercerita tentang Syiah - Bahagian 2 (Akhir)
Dalam Rihlah-nya, (Tuhfah an-Nuzhar fi
Gharaibil Amshar wa Ajaibil Asfar, Rihlah Ibnu Bathuthah, Pustaka Al-Kautsar,
Cet I, Mac 2012, hal 220-223). Ibnu Bathuthah bercerita:
".... Pada suatu ketika, Raja Iraq yang
bernama Sultan Muhammad Khadabandah berjalan ditemani oleh seorang faqih yang
bernama Jamaludin bin Muthahhar. Kala itu, raja masih belum memeluk Islam.
Setelah dia masuk Islam, maka seluruh bangsa Tartar yang berada dalam
kekuasaannya juga masuk Islam. Setelah itu, mereka semua bertambah rasa hormat
kepada Faqih Jamaludin. Raja menganut mazhab Rafidhah. Faqih mengajarkan mazhab
ini kepada raja dan mengistimewakannya di atas mazhab lain. Dia menjelaskan
sejarah para sahabat Nabi dan para khalifah. Dia menjelaskan bahawa Abu Bakar
dan Umar adalah menteri Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam. Ali adalah
putera bapa saudara sekaligus menantu beliau. Faqih itu menjelaskan tema-tema
seperti itu. Dia tahu, raja di hadapannya adalah pewaris kerajaan sang datuk dan
kerabatnya. Dia tahu, raja baru saja memeluk Islam dan belum tahu banyak tentang
sendi-sendi agama.
Raja menyeru agar rakyatnya mengikuti
mazhab Rafidhah. Untuk itu, dia menghantar utusan kepada rakyat Iraq, Parsi,
Azerbaijan, Isfahan, Kirman, dan Khurasan. Dia juga menghantar utusan ke
pelbagai negeri. Dan negeri pertama yang disinggahi utusan raja adalah Baghdad,
Syiraz, dan Isfahan. Penduduk Baghdad menolak kedatangan penduduk Bab Al-Azj.
Penduduk Baghdad menganut mazhab Ahlussunnah, majoriti adalah pengikut Imam
Ahmad bin Hanbal. "Kami tidak mahu melaksanakan perintah raja." Pada hari
Jumaat, mereka datang ke masjid dengan membawa senjata, sementara di sana telah
datang utusan raja. Saat khatib naik ke atas mimbar, 12,000 orang bersenjata
mengelilingi khatib. Mereka adalah penjaga kota Baghdad. Mereka bersumpah akan
membunuh khatib dan utusan raja, jika khutbah disampaikan dengan cara yang
berbeza dari biasanya, dengan menambah atau mengurangkan. Setelah itu, mereka
akan menyerahkan diri.
Raja memerintahkan agar nama Abu Bakar,
Umar, Uthman dan para sahabat yang lain tidak disebut dalam khutbah-khutbah.
Yang boleh disebutkan hanyalah nama Ali dan para sahabat pendukungnya seperti
Ammar bin Yasir. Kerana takut dengan ancaman penduduk Baghdad, khatib
menyampaikan khutbah dengan cara yang biasa dilakukan di masjid itu. Penduduk
Syiraz dan Isfahan meniru apa yang dilakukan penduduk Baghdad.
Para utusan raja melaporkan kenyataan
ini kepada raja. Mendengar laporan itu, raja memerintahkan agar para qadhi di
tiga bandar itu dibawa menghadap. Syaikh Majdudin adalah qadhi yang pertama
menghadap raja. Ketika itu, raja sedang duduk di sebuah tempat bernama Qarabagh,
sebuah tempat bercuti raja di musim panas. Saat Syaikh datang, para pengawal
raja melepaskan anjing-anjing besar berkalung rantai besi. Anjing-anjing itu
bersedia untuk menerkam manusia yang sengaja dijadikan mangsa. Jika mangsa
datang, anjing-anjing itu dilepaskan, dan orang itu melarikan diri ke sana ke
mari. Setelah berjaya menangkap mangsanya, anjing-anjing itu mencabik-cabik
badannya dan melahapnya dengan rakus.
Anjing-anjing itu dilepaskan di hadapan
Syaikh Majdudin. Mereka mengerlingkan mata dan menampakkan taring-taringnya di
hadapan Syaikh. Namun, anjing-anjing itu tidak menyerang Syaikh. Peristiwa ini
didengar oleh raja. Dia keluar istana, berjalan tanpa alas kaki. Dia bersimpuh
di hadapan Syaikh dan mencium kedua-dua kakinya. Dia mencium tangan Syeikh, lalu
melepaskan pakaian kebesarannya. Menurut tradisi, apa yang dia lakukan itu
menjadi bukti akan kemuliaan orang yang berada di hadapannya. Jika raja
melepaskan pakaian kebesaran di hadapan seseorang, maka itu bererti bahawa raja
memuliakan orang itu, termasuk anak-cucu dan seluruh keturunannya. Penghormatan
itu terus dilakukan selama pakaian kebesaran raja, atau bahagian tertentu dari
pakaian itu, masih ada. Bahagian yang paling istimewa dari pakaian kebesaran
raja adalah seluar.
Raja memimpin tangan Syaikh Majdudin,
menghantarnya masuk ke dalam istana. Dia memerintah seluruh isterinya untuk
memberikan hormat kepada Syaikh dan bertabarruk dengannya. Raja kemudian
meninggalkan mazhab Rafidhah. Dia menulis kepada rakyat untuk menganut mazhab
Ahlussunnah wal Jamaah.
Raja memberikan hadiah yang banyak
kepada Syaikh Majdudin, menghantarnya kembali ke Syiraz dengan penuh
penghormatan.
Ulasan
Catat Ulasan