faktor faktor yang membuatkan kita tewas
Sahabat yang dirahmati
Allah,
Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya
lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan
seseorang itu. Ketika seseorang ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan
diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah
kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya
: "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman
kamu".
Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan
hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan
sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan
bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk
meningkatkannya.
Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita
ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman
kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus
memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.
Sahabat yang dimuliakan,
Istilah futur adalah merujuk
kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau
keislaman seseorang.
Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang
dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di
amanahkan oleh Allah S.W.T.
Terdapat 9 faktor jika wujud dalan diri
seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita
bertindak segera untuk meningkatkan semula iman kita ketahap yang biasa atau
lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :
1. Malas beribadah.
Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala
sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan
membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau
melayan hobi yang kurang manfaatnya.
Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan
solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah
S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .
Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W.
mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu
mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain.
Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam
dengan Neraka Wail".
2. Tidak ada perasaan takut mengenai
kematian.
Apabila hati tidak langsung mengingati kematian
ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi
orang mati dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil
pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian
sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati
sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)." (Hadis Riwayat
Tirmizi)
3. Melakukan maksiat samaada kecil
atau besar.
Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi
kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang
siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan
tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan lisannya (nasihat),
dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak senang dan tak
setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. " (Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas jika seseorang
itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka
sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.
4. Suka melihat atau menyaksikan
maksiat.
Zina mata adalah mata suka melihat maksiat
dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga
melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat
oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah
kepada Allah S.W.T.
5. Ukhwah menjadi
longgar.
Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka
kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata
kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan
diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan
keluarga.
Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar
Rasulullah S.A.W. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang
bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran
dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan)
nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka." (Hadis
Riwayat Tirmizi)
Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti
dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi
longgar ini petanda imannya sedang lemah.
6. Ghairah kepada dunia.
Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan
kerja-kerja yang tak berfaedah. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi
kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat
adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa:
16-17)
Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia
seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut
yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam
, jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat
seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya
dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.
Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu
pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan
di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat 6)
7. Berbangga dengan kemajuan
duniawi.
Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan
bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat
menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia
diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat
dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral
manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.
Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua
mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah
Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah
S.W.T.
Firman Allah s.w.t maksudnya
: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak
kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan
kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah
mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi
pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat
24)
8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja
amal Islam.
Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal
Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan
kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda
seorang da'i atau seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar
perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.
9. Menangguh-nangguhkan
kerja.
Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal
soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal
soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang
gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang
petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan
dunia." (Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita
kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua
larangan-Nya memperbanyakkan juga kalimah tauhid di dalam hati dengan
keikhlasan. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita
sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah
masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan
tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya
kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada
Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.
Read more at http://mencariygbenar.blogspot.com/2013/06/faktor-faktor-yang-membuatkan-kita-tewas.html#dG0IlmLijPtYPqD6.99
Ulasan
Catat Ulasan