Wanita Yang Menolak Perkahwinan
Sepertimana yang diberitakan kepada
kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak
perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu
bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan
hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan
anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela
menjadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan
pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang
sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk
dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.
Kami akan menceritakan tentang kerugian
yang dialami oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita
yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita
tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian.
Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin
tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas
tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak
gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga
berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan
dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga
bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan.
Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling
memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif
dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam
masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa
sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak
berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga
tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan
di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih
banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga
lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan
anak-anak.
Amat mudah bagi kaum wanita untuk
mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah:
"Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima
waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka
masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."
Sekiranya seorang wanita itu tidak
berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat.
Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah,
wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami.
Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita,
sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan
wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad
fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan
anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana
mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang
berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan
dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan
diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita
yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat
tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela
dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita
yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala
syahid.
Semua kelebihan-kelebihan ini tidak
akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan
mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi
golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui
pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman,
walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.
Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang
kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak
akan timbul fitnah dan kebinasaan.
Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau
ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga
kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu
bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti
kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri
dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan
seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat
ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia
telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan
suami. sumber darulnuman.com
Ulasan
Catat Ulasan