akibat daripada jahat mulut
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ditanya orang kepada Rasulullah S.A.W,
“Wahai Rasulullah, si polan itu (perempuan) siang hari berpuasa, malam hari dia bangun kerana mengerjakan ibadah. Cuma dia ada sedikit cacat. Akhlaknya rosak iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya”.
Lantas dijawab oleh Rasulullah SAW,
“Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu bahkan dia
adalah menjadi ahli neraka.”
Hadith ini meriwayatkan perbualan seorang sahabat dengan
Rasulullah dalam mana sahabat itu tertanya kepada Rasulullah tentang seorang
perempuan yang dikenalinya. Perempuan itu amat kuat beribadah kerana pada siang
harinya dia berpuasa manakala di malam hari dia bangun
bertahajjud.
Perempuan itu sudah boleh dikatakan ahli ‘abid kerana seseorang yang mampu berpuasa siang hari dan bangun bertahjud malam hari dia sudah boleh dikatakan ‘abid. Cuma dia belum tentu orang bertaqwa atau orang soleh boleh kita panggil ‘abid atau ahli ibadah saja. Dan perempuan yang diceritakan oleh sahabat itu kepada Rasulullah adalah seorang ‘abidah, kerana dia kuat berpuasa dan tahajjud malam. Tentulah selepas dia bertahajjjud dia juga membaca Al-Quran, berwirid, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Perempuan itu sudah boleh dikatakan ahli ‘abid kerana seseorang yang mampu berpuasa siang hari dan bangun bertahjud malam hari dia sudah boleh dikatakan ‘abid. Cuma dia belum tentu orang bertaqwa atau orang soleh boleh kita panggil ‘abid atau ahli ibadah saja. Dan perempuan yang diceritakan oleh sahabat itu kepada Rasulullah adalah seorang ‘abidah, kerana dia kuat berpuasa dan tahajjud malam. Tentulah selepas dia bertahajjjud dia juga membaca Al-Quran, berwirid, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Di sini kita dapati sahabat tadi menceritakan perihal
perempuan itu kepada Rasulullah supaya Baginda dapat menilai bagaimana kedudukan
wanita ini iaitu sama ada dia boleh dianggap orang yang soleh atau tholeh, sama
ada dia boleh dianggap orang yang berbakti atau tidak berbakti dan sama ada dia
boleh dianggap orang yang baik atau tidak. Sebab itu sahabat itu menceritakan
tentang kuatnya dia berpuasa dan bertahajjud cuma dia ada sedikit kecacatannya
iaitu akhlaknya rosak. Itu pun bukan semua bentuk akhlaknya yang
cacat.
Di antara akhlak-akhlak jahat yang banyak, dia hanya
jahat dalam satu perkara sahaja iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya.
Mungkin dia selalu mengumpat jirannya atau dia berkasar dengan jirannya atau
boleh jadi dia selalu membahasakan jirannya dengan lidahnya. Dalam hal inilah
sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang bagaimana kedudukan wanita itu. Dan
ketika itu Rasulullah menjawab mengatakan bahawa, tidak ada lagi kebaikan pada
wanita itu bahkan dia adalah menjadi penghuni neraka.
Di dalam riwayat hadith ini kita digambarkan mengenai
seorang wanita yang begitu kuat amal ibadahnya, cuma dia tidak berakhlak. Dan
itu pun hanya satu sahaja akhlaknya yang cacat iaitu lidahnya kasar yang mana
selalu menyakiti jirannya. Walaupun demikian, Rasulullah mengatakan yang amal
ibadahnya yang begitu banyak tidak ada harga lagi di sisi Allah S.W.T. Dia
dianggap tidak ada membuat kebaikan, bahkan dia adalah penghuni neraka. Jadi
hadith ini memberitahu kepada kita betapa seorang ahli ibadah menjadi penghuni
neraka kerana dia tidak berakhlak.
Mengapakah seorang ahli ibadah boleh menjadi penghuni
neraka kerana dia tidak berakhlak? Kita sendiri pun tidak sanggup bertahajjud
malam, manakala puasa hari Isnin dan Khamis pun susah hendak dibuat. Sedangkan
perempuan itu kuat berpuasa dan bertahajjud. Cuma akhlaknya sahaja yang cacat.
Dan kerana itu dia menjadi ahli neraka. Dia telah menjadi ahli neraka adalah
kerana ibadahnya tidak berbuah. Seseorang yang melakukan ibadah yang
bermacam-macam bentuk sama ada yang berbentuk fardu ain mahupun fardHu kifayah,
sama ada yang berbentuk sunat muakkad atau ghairu muakkad sama ada ibadah
melalui puasa, sembahyang, membaca Al-Quran, berdoa, berwirid, zikir dan
lain-lainnya, semuanya adalah dengan tujuan agar ibadah-ibadah itu dapat melahir
atau membuahkan sifat taqwa dan akhlak. Bererti bahawa sifat taqwa serta akhlak
itu adalah buah daripada ibadah yang seseorang itu lakukan. Sebab itulah semakin
banyak seseorang itu beribadah, semakin halus budi pekerti dan akhlaknya.
Dari Abu hurairah r.a katanya rasulullah saw. Pernah
bercerita “Pada suatu ketika ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebuah
jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia turun ke sumur itu untuk
minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya
menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya, Alangkah
hausnya anjing itu, seperti yang baru kualami” lalu dia turun kembali ke sumur,
dicedoknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diberi minumkannya kepada
anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada lelaki itu (diterimaNya amalnya),
dan diampuniNya dosanya” Para sahabat bertanya “Ya Rasulullah saw. Dapat
pahalakah kami menyayangi haiwan ini?” Jawab rasulullah saw “Menyayangi setiap
makhluk hidup(tumbuhan dan haiwan) berpahala (ada pahalanya),” Hadis Sahih
Muslim jilid 4 no hadis 2099Dari Abu Hurairah r.a katanya “Rasulullah saw.
Bercerita “Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing
itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba dia terlihat oleh seorang wanita pelacur
bangsa bani Israil. Maka dibukanya sepatu bootnya, kemudian dicedoknya air
dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu . maka Allah
swt mengampuni segala dosa wanita itu (dengan asbab amalnya beri minum anjing
itu)
Jadi, kalau seseorang itu banyak beribadah tetapi
akhlaknya masih jahat, maka berertilah ibadahnya tidak berbuah. Ini juga
menunjukkan bahawa walaupun dia banyak beribadah, tetapi ibadahnya tidak
diterima oleh Allah S.W.T. Dan sebab itulah, walaupun dia banyak beribadah, dia
tetap menjadi penghuni neraka kerana ibadah-ibadahnya tidak ada nilai kebaikan
di sisi Allah S.W.T. Ibadah yang tidak menghasilkan buah ini samalah seperti
orang menanam pokok tetapi tidak berbuah. Banyak saja pokok-pokok yang ditanam
tetapi pokok-pokoknya tidak berbuah. Begitu juga, kalau seseorang itu beribadah
tetapi tidak juga lahir akhlak yang baik, maka ibadahnya tidak berbuah. Dia
tetap menjadi penghuni neraka.
Berdasarkan hadith ini, kita sepatutnya ada sebab untuk
berasa bimbang dengan diri kita kerana adakah kita sudah beribadah sepertimana
perempuan yang diceritakan di dalam hadith itu iaitu kuat berpuasa, kuat
tahajjud, banyak baca Al-Quran, banyak wirid, zikir dan sebagainya. Sudahlah
ibadah kita tidak banyak, akhlak kita pun tidak baik. Sedangkan perempuan yang
banyak ibadah itu pun, kerana akhlaknya cacat sedikit sahaja dia telah menjadi
penghuni neraka, betapalah dengan kita ini. Maka tentulah kita berada dalam
keadaan, yang lebih teruk dari wanita itu. Sebab itulah, maka hendaklah kita
banyakkan ibadah dengan tujuan mendapatkan akhlak yang baik. Janganlah kita
hendak banyakkan ibadah sahaja tetapi tidak menginginkan akhlak yang baik. Jadi
kita membanyakkan ibadah itu adalah dengan tujuan supaya kita dapat menghalusi
budi pekerti kita agar kita dapat memiliki akhlak yang baik dengan
sebanyak-banyaknya.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya Allah S.W.T. telah membersihkan agama ini (iaitu agama Islam) untuk diriNya (iaitu Allah). Agama itu tidak akan menjadi baik melainkan kalau ada pada kita sifat pemurah dan baik akhlak. Oleh demikian hendaklah kamu hiasi agama kamu itu dengan keduanya (iaitu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik).”
Hadith yang kedua membawa maksud
berikut:
Hadith ini menceritakan kepada kita bahawa setiap orang yang hendak menegakkan agama Islam itu, sama ada yang hendak ditegakkannya itu berbentuk fardhu ain mahupun yang berbentuk fardhu kifayah, yang berbentuk sunat muakkad mahupun yang berbentuk ghairi muakkad tujuannya adalah untuk dihadiahkan kepada Allah S.W.T. Ertinya, keseluruhan agama Islam yang ditegakkan itu walau di bidang mana sekalipun, semuanya adalah untuk dipersembahkan kepada Allah S.W.T. Dan Allah pula tidak akan menerima sesuatu hadiah yang tidak bersih dan yang tidak suci murai. Jadi hadiah yang hendak kita persembahkan kepada Allah itu mestilah yang bersih dan suci murni. Dalam ertikata yang lain, setiap bidang agama Islam yang kita amal dan yang kita buat itu sama ada di bidang fardu dan di bidang sunatnya, ia mestilah suci bersih. Tetapi di dalam hadith ini, kita diingatkan bahawa agama Islam yang kita tegakkan itu sebagai hadiah kita kepada Allah, ia tidak akan suci bersih kalau di dalam diri kita tidak ada dua perkara iaitu sifat pemurah dan akhlak yang baik. Jadi kalau seseorang itu ada memiliki sifat pemurah dan akhlak-akhlak yang baik, maka agama Islam yang didirikan dan dibangunkannya itu adalah suci murni. Dan manakala dia mempersembahkannya kepada Allah S.W.T., maka Allah akan menerimanya.
Daripada sini, fahamlah kita bahawa agama Islam yang
hendak kita jadikan hadiah kepada Allah S.W.T. itu, akan menjadi kotor kalau
kita memiliki sifat di sebaliknya iaitu sifat bakhil dan akhlak yang jahat.
Dengan adanya dua sifat ini di dalam diri kita, agama Islam yang kita dirikan
itu akan menjadi suci dan murni. Oleh sebab itu, bagaimana kuat pun kita
beribadah iaitu mungkin kita boleh berpuasa dan bertahajjud malam, mungkin baca
Al-Quran kita kuat hingga boleh buat 10 juz satu hari, wirid, zikir kita
berpuluh-puluh ribu satu hari, doa kita berjela-jela manakala selawat pula
ribuan kita baca, semuanya itu masih belum bersih di sisi Allah kalau kita ada
sifat bakhil dan kalau akhlak kita masih rosak. Maka dengan sebab itulah kita
disuruh menghiasi agama yang kita dirikan itu dengan sifat pemurah dan dengan
akhlak yang baik. Apabila kita dapat memiliki sifat pemurah dan akhlak yang baik
itu, maka agama yang kita dirikan akan menjadi suci dan bersih dan apabila kita
persembahkan agama yang suci bersih itu kepada Allah S.W.T., maka Allah akan
menerimanya.
Sehubungan dengan ini, pepatah Arab ada berkata yang
maksudnya: Bukanlah yang dikatakan kecantikan pada diri seseorang itu pakaian
yang menghiasi diri tetapi yang dikatakan cantik dan indah itu ialah ilmu yang
ada padanya dan budi pekerti yang baik. Jadi ilmu yang sah di sisi Allah S.W.T.
dan akhlak yang baik yang ada pada diri kita, itulah yang dikatakan hiasan pada
diri kita. Itulah kecantikan yang ada pada diri kita dan itulah bunga pada diri
kita yang Allah memberikan perhatianNya dan yang juga boleh menarik perhatian
orang ramai. Bererti, dengannya, Allah pun suka dan orang ramai pun suka.
Sebaliknya, kalau pakaian kita saja yang cantik dan indah tetapi akhlak kita
tidak baik, tidak ada siapa yang suka. Tetapi walaupun buruk mana pakaian kita,
kalau akhlak kita baik, orang tetap akan suka. Bukan saja orang suka, tetapi
Allah juga akan suka dan cinta. Sebab itulah akhlak itu dikatakan bunga diri
yang mana bunga itu adalah menjadi hiasan di tengah majlis, kerana sudah menjadi
fitrah semula jadi manusia, sukakan bunga. Semua orang gemar melihatnya dan
berasa tenang bila ada bunga di atas meja. Lebih-lebih lagilah sukanya orang
ramai kalau bunga itu berbau harum. Ia adalah merupakan daya tarikan atau besi
berani dalam diri seseorang hingga menyebabkan orang tertarik padanya. Sebab
itu, kalau daya tarikan sudah tidak ada dalam diri seseorang kerana dia tidak
memiliki akhlak yang baik, apa saja yang dianjurkannya, orang ramai tidak akan
tertarik dan tidak akan menyertainya. Oleh yang demikianlah, kita disuruh
menghiasi diri kita atau agama yang kita bina itu dengan sifat pemurah dan
dengan akhlak yang baik. Dan apabila kita telah hiaskan agama kita, maka ia akan
menjadi suci bersih yang mana apabila kita persembahkannya kepada Allah, lantas
Allah akan menerimanya.
Di sini ingin kita bahaskan sedikit tentang sifat pemurah
yang disebutkan di dalam hadith tadi. Mengapakah di dalam hadith itu sifat
pemurah ini dikhususkan sedangkan ia di dalam lingkungan akhlak yang baik, sifat
pemurah itu sendiri adalah termasuk di antaranya. Misalnya, pemaaf, merendah
diri, tidak sombong dan sebagainya adalah beberapa contoh akhlak yang baik.
Manakala di antaranya juga adalah sifat pemurah. Tetapi mengapakah sifat pemurah
dikhususkan di dalam hadith tadi iaitu sebagai salah satu daripada dua perkara
yang boleh mensucikan agama yang kita dirikan. Sedangkan kalau disebut saja
akhlak yang baik, pemurah sudah terangkuman di dalamnya. Ini adalah kerana, di
antara akhlak-akhlak yang baik, sifat pemurah adalah yang paling menonjol. Kalau
seseorang itu ada memiliki sifat pemurah, sifat ini amat menonjol dalam dirinya
hingga sifat itu boleh menarik perhatian orang ramai yang menyebabkan orang
ramai kasih sayang kepadanya. Dari sifat pemurah di dalam diri seseorang, ia
boleh menimbulkan perpaduan dan menghilangkan perasaan hasad dengki di kalangan
fakir miskin. Mereka akan berasa senang hati kalau adanya orang yang bersifat
pemurah. Bererti sifat pemurah ini boleh membantu dalam melahirkan kedamaian dan
keamanan di dalam masyarakat. Jadi kita dapati sifat ini cepat memberi kesan
kepada jiwa orang ramai. Sebab itulah di dalam hadith ini, sifat pemurah ini
dikhususkan sebutannya sedangkan ia adalah sudah termasuk di dalam lafaz husnul
khulk atau akhlak yang baik. Dan dengan demikian juga, kalau kita rasa amat
payah melahirkan akhlak-akhlak baik yang lain, cubalah kita usahakan sifat
pemurah ini.
Bila kita ada sifat pemurah, Allah suka kepada kita dan
orang ramai pun suka kepada kita. Dan ia pula boleh menghindarkan timbulnya
hasad dengki di kalangan orang miskin kerana apabila orang- orang kaya sudah
bersifat pemurah, maka orang-orang fakir miskin akan tertarik kepadanya. Kerana
timbulnya hasad dengki di kalangan fakir miskin ialah orang-orang senang tidak
pemurah. Sudahlah tidak pemurah, mereka bersifat tamak pula. Maka timbullah
usaha hendak menganiaya dan hendak memusnahkan orang lain hingga timbullah
kekacauan di tengah masyarakat. Kalau masyarakat sudah kacau-bilau dan
huru-hara, bukan seorang saja yang susah, malah semua orang akan susah
termasuklah orang yang baik pun turut susah sama. Dan sebab itulah sifat pemurah
ini amat menonjol sekali di antara bentuk-bentuk akhlak yang
baik.
Selain daripada itu, seorang yang memiliki sifat pemurah,
secara automatik dia memiliki sifat syukur kepada Allah. Ini adalah kerana orang
yang bersyukur kepada Allah itu menggunakan hartanya untuk Allah. Dan apabila
seseorang itu membuat kebaikan dengan melahirkan sifat pemurah, maka tandanya
orang itu bersyukur kepada Allah, disebabkan dia membelanjakan harta dan
kesenangannya di jalan Allah. Kerana apabila pemurah saja seseorang itu, bererti
dia juga memiliki sifat syukur kepada Allah S.W.T. Dan sifat bersyukur kepada
Allah S.W.T. Dan sifat bersyukur kepada Allah adalah satu sifat yang baik yang
mesti ada pada diri setiap orang.
Kemudian hadith yang ketiga memberikan maksud
berikut: Ditanya orang kepada Rasulullah,
“Mana satu orang mikminkah, ya Rasulullah yang iman
mereka itu paling utama.”
Jawab Rasulullah,
“Ialah mereka yang paling baik
akhlaknya.”
Hadith ini meriwayatkan kisah seorang sahabat bertanya
kepada Rasulullah. Ertinya, bila sebuah hadith mengisahkan ‘orang’ bertanya
kepada Rasulullah, ‘orang’ yang dimaksudkan itu ialah sahabat. Tidak mungkin
orang di zaman kita atau orang di zaman tabi’in. Jadi bila kita baca hadith yang
mengatakan Rasulullah pernah ditanya orang, maksudnya, yang bertanya itu ialah
sahabat. Sahabat adalah orang yang beriman di zaman Rasulullah dan bertemu
dengan Rasulullah. Manakala tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan
sahabat. Dan tabi’it tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan orang
yang bertemu dengan sahabat. Jadi, kita dapatlah memahami apa dia sahabat,
tabi’in dan tabi’it tabi’in. Kita ini sudah tidak dapat hendak dihitung berapa
kali tabi’it-tabi’it tabi’innya. Kita ini sudah di luar kira yang mana kalaulah
kita dapat beijumpa dengan Rasulullah di dalam mimpi sahaja pun sudah memadai.
Itu pun entah-entah kerana maklumlah, orang-orang seperti kita ini, jiwanya
terlalu kotor. Tak mungkin dapat bermimpi Rasulullah walau sekali dalam seumur
hidup. Jangan kan mimpikan Rasulullah, mungkin hendak mimpikan hidung Rasulullah
pun atau mata Rasulullah pun, itu pun jauh sekali. Tidak pernah dapat kita
alami.
Berhubung dengan hadith ini, kita diriwayatkan Rasulullah
ditanya orang. Dan orang itu sudah maklum adalah sahabat. Sahabat itu bertanya
kepada Rasulullah tentang manakah orang mukmin yang paling utama imannya.
Rasulullah menyatakan bahawa itulah orang yang paling baik akhlaknya. Jadi
daripada hadith ini dapatlah kita fahamkan bahawa siapa-siapa daripada orang
mukmin yang paling baik akhlaknya, maka itulah orang mukmin yang paling utama
imannya. Walaupun seseorang itu membuat amal ibadah yang fardhu-fardhu sahaja
tetapi oleh kerana akhlaknya paling baik, maka dia memiliki iman yang paling
baik. Di sini kita dapati yang walaupun seseorang itu hanya dapat membuat amal
ibadah yang fardhu-fardhunya sahaja tetapi dia dapat memiliki akhlak yang baik
hingga imannya menjadi yang paling utama.
Ini menunjukkan bahawa ibadahnya itu telah berbuah kerana
akhlak yang baik itu adalah buah daripada ibadah. Walaupun dia hanya membuat
ibadah yang fardhu sahaja tetapi ia menghasilkan buah. Samalah seperti orang
yang menanam dua tiga batang pokok buah-buahan tetapi setiap musim ia berbuah.
Tentulah lebih baik daripada orang yang membuat estet rambutan tetapi tidak
berbuah. Walaupun dia mempunyai 1,000 ekar pokok rambutan, namun kalau pokok itu
tidak berbuah, maka tidaklah memberi apa-apa faedah kepadanya. Biarlah orang
yang hanya mempunyai sebatang atau dua batang pokok sahaja tetapi setiap musim,
iaberbuah. Jadi, walaupun dia itu hanya memuat ibadah-ibadah yang fardhu sahaja
tetapi oleh kerana ibadahnya itu berbuah hingga dapat ia memiliki akhlak yang
paling baik, maka itu adalah lebih baik kalau dibandingkan dengan orang yang
banyak membuat ibadah sama ada yang fardhu mahupun yang sunat tetapi ibadahnya
tidak berbuah atau kalau pun berbuah hanya satu dua akhlak yang baik saja
dimilikinya. Maka orang yang paling baik akhlaknya itulah orang yang paling
sempurna imannya.
Dalam soal ini kita dapati yang manusia ini ada mempunyai
dua bentuk ibadah kepada Allah S.W.T., iaitu ibadah yang berbentuk zahir dan
ibadah yang berbentuk batin. Ibadah zahir adalah seperti sembahyang, berpuasa,
berwirid, berzikir dan sebagainya. Manakala ibadah batin adalah yang lahir dari
jiwa seseorang seperti melahirkan akhlak yang baik dan memiliki sifat pemurah.
Di antara dua ibadah ini, ibadah batin lebih utama daripada ibadah zahir tetapi
untuk mendapatkan kesempurnaan iman, kedua-dua ibadah itu mesti dilaksanakan.
Ertinya, kita tidak boleh melaksanakan yang satu dan meninggalkan yang lain.
Cuma dari segi nilaian di sisi Allah S.W.T., ibadah batin adalah lebih utama
daripada ibadah zahir. Dan orang yang memiliki akhlak yang baik bererti dia
telah memiliki ibadah batin. Sebab itu, orang yang dapat memiliki akhlak yang
baik walaupun ibadah zahirnya sederhana sahaja, orang itu dikatakan memiliki
iman yang utama. Orang ini pula adalah lebih baik daripada orang lain yang
banyak ibadah zahirnya tetapi tidak ada ibadah batin kerana dia tidak memiliki
akhlak yang baik.
Dalam hal ini, ada suatu keterangan hadith yang
maksudnya:
“Allah SWT tidak melihat gambaran zahir kamu tetapi Allah melihat hati-hatimu.”
“Allah SWT tidak melihat gambaran zahir kamu tetapi Allah melihat hati-hatimu.”
Maksud keterangan hadith ini ialah, sesungguhnya Allah
tidak memandang ibadah zahir yang kita lakukan seperti banyaknya sembahyang,
puasa dan sebagainya tetapi untuk menilai iman seseorang itu Allah memandang
kepada hati-hati manusia. Maksud hati di sini ialah ibadah batin yang dilakukan
oleh orang itu. Jadi hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa apabila Allah
hendak menilai iman seseorang itu Allah tak pandang pada sembahyangnya banyak
walaupun disuruh sembahyang banyak Allah juga tidak memandang kepada puasanya
walaupun disuruh berpuasa dan Allah juga tidak memandang kepada banyak membaca
Al-Qurannya, doanya, wirid, zikirnya dan lain-lain tetapi Allah lebih memandang
ibadah yang ke duanya iaitu ibadah hati. Kalau ibadah hati manusia itu rosak,
Allah tidak nilai lagi ibadah yang zahir itu. Kalau pun Allah nilai, itu adalah
setelah dia niasuk neraka lebih dahulu. Ertinya, Allah tidak akan kecewakan juga
ibadahnya itu tetapi setelah dia masuk neraka, barulah dibalas. Inilah tafsir
hadith yang disebutkan di atas.
Dalam pada itu, ada orang yang mentafsirkan hadith itu
dengan mengatakan bahawa Allah tidak memandang kepada pakaian seseorang itu
tetapi Allah memandang pada hatinya. Mereka mentafsirkan maksud zahir itu
sebagai pakaian. Jadi, apabila seseorang itu mendedahkan aurat, dia nanti akan
berkata, “Allah tidak pandang yang zahir, Allah pandang hati seseorang itu.”
Baginya, seolah-olah walaupun dia mendedahkan aurat tetapi hatinya baik dan
tentunya Allah lebih menilai hatinya. Tetapi cuba kita fikirkan sejenak, “Apakah
orang yang telanjang atau yang hampir telanjang itu baik hatinya?” Masakan baik,
kerana kebaikan terletak pada hati dan orang yang bertelanjang atau yang hampir
telanjang itu adalah disuruh oleh hatinya bukan hidung atau matanya. Jadi kalau
hatinya yang menyuruh dia mendedahkan aurat, apakah hati semacam itu dikatakan
hati yang baik? Jadi kalau hatinya menyuruh dia telanjang atau mendedahkan aurat
bererti hatinya juga telanjang. Sedangkan iman adalah di dalam hati. Kalaulah
hatinya telanjang, bererti imannya juga adalah telanjang
sama.
Oleh yang demikian, di antara dua ibadah ini, Allah tidak
terus menilai ibadah yang zahir walaupun ia diperintahkan dan tidak boleh kita
cuaikan langsung, tetapi Allah menilai lagi ibadah batin, sama ada cacat atau
tidak. Kalau ia cacat, maka tidak ada harga lagi ibadah yang pertama tadi tetapi
kalau ibadah batinnya baik walaupun ibadah yang pertama itu kurang iaitu dia
hanya melaksanakan semua perintah-perintah yang wajib saja, maka itu lebih besar
nilainya di sisi Allah. Ini adalah kerana orang yang baik ibadah batinnya adalah
memiliki akhlak yang baik. Bererti akhlak yang baik adalah daripada hati yang
bersih dan daripada iman yang kuat. Dan orang yang berakhlak baik, boleh memberi
kesan yang amat kuat kepada masyarakat iaitu dia boleh melahirkan ukhuwah yang
akhirnya boleh membawa kepada perpaduan. Manakala yang membawa kepada
kacau-bilau kehidupan di tengah masyarakat adalah berpunca daripada akhlak yang
rosak di kalangan anggota masyarakat. Mengumpat, memfitnah, kata-mengata dan
sebagainya, semuanya membawa kepada pergeseran di tengah masyarakat. Kerana itu
masyarakat boleh berpecah-belah.
Jadi, akhlak yang baik sahaja yang boleh mencetuskan
perpaduan dan apabila masyarakat telah berpadu, maka mudahlah masyarakat
berhadapan dengan musuh-musuhnya. Dan apabila masyarakat Islam itu dapat
berpadu, maka dapat jugalah masyarakat Islam itu melahirkan tamadunnya sendiri
serta dapat pula membangunkan kemajuannya sendiri tanpa lagi bersandar dengan
kemajuan yang dibangunkan oleh orang kafir. Dengan demikian, umat Islam akan
menjadi hebat dan akan ditakuti oleh bangsa-bangsa lain. Ini berlaku di zaman
Rasulullah, di zaman sahabat-sahabat serta zaman tabi’in. Orang-orang kafir amat
gerun dan gentar terhadap umat Islam.
Betapalah kalau umat Islam itu berjuang terhadap mereka.
Tetapi di zaman ini, orang-orang kafir tidak lagi gentar dan gerun kepada umat
Islam. Malah mereka lebih mentertawakan umat Islam. Ini adalah kerana umat Islam
ini tidak ada kehebatan lagi. Sebabnya umat Islam tidak hebat ialah kerana umat
Islam tidak berpadu dan tidak berpadunya umat Islam adalah kerana umat Islam
sudah tidak berakhlak. Banyak saja bilangan umat Islam di zaman ini tetapi
mereka sudah tidak berpadu lagi. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah di dalam
hadithnya yang bermaksud, di akhir zaman nanti umat Islam ini bilangannya sahaja
yang banyak tetapi mereka adalah ibarat buih di atas air laut. Maknanya,
kekuatan umat Islam ini hanya seperti buih yang mana besarnya saja yang seperti
gunung tetapi ranting kayu saja yang jatuh, ia boleh pecah. Dan kalau sebuah
kapal lalu melanggarnya, habis berkecai. Ataupun juga, dikatakan banyaknya umat
Islam ini di akhir zaman adalah ibarat bumbungan pasir yang tinggi. Timbunan
pasirnya besar seperti gunung tetapi apabila turun sahaja hujan, pasir yang
banyak itu tadi habis dilarikan air hingga menjadi paras bumi
semula.
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah dapat mengetahui
tentang keadaan umatnya di akhir zaman melalui mukasyafahnya yang mana umatnya
itu bilangan mereka sahaja yang ramai tetapi sudah tidak ada perpaduan lagi.
Tidak adanya perpaduan di kalangan umatnya adalah kerana mereka sudah tidak
berakhlak. Manakala orang yang tidak ada akhlak adalah orang yang cintakan dunia
dan orang yang takut mati. Bila cinta dunia ada di hati mulalah manusia itu
bersikap bakhil. Tidak adalah pemurah lagi di dalam hatinya. Bakhil itu adalah
akhlak yang tidak baik sedangkan pemurah itu adakah akhlak yang
baik.
Jadi, apabila umat Islam itu berakhlak maka akan
timbullah perpaduan dan apabila timbul perpaduan dengan sendirinya umat Islam
itu mempunyai kehebatan. Dengan kehebatan yang ada itu, maka musuh akan berasa
takut kepada umat Islam. Ertinya, mereka tidak akan berani hendak
mempermain-mainkan umat Islam ini. Dengan sebab itulah akhlak yang baik perlu
kita miliki sesungguh-sungguhnya kerana akhlak yang baik ini akan membersihkan
agama kita dan akan menjadi bunga serta perhiasan diri kepada diri kita. Dan
apabila kita dapat memiliki akhlak yang baik ini, Allah akan mencintai kita dan
manusia juga akan suka kepada kita.
Untuk mendapatkan akhlak yang mulia ini, kita mesti
jadikan ia sebagai matlamat kita di dalam kita melaksanakan ibadah kita kepada
Allah S.W.T. walau di bidang apa sekalipun. Untuk ini juga, hendaklah kita
laksanakan ibadah kita dengan tujuan ia akan menghasilkan buah. Biarlah kita
hanya melaksanakan ibadah yang fardhu-fardhu sahaja tetapi ibadah kita itu dapat
membuahkan akhlak yang baik daripada kita beribadah banyak tetapi ibadah kita
tidak berbuah. Namun, yang paling baik ialah ibadah kita banyak, akhlak yang
baik pun banyak terhasil darinya. Tetapi kalau kita tidak dapat melaksanakan
ibadah yang banyak, jadilah kalau kita dapat membuat ibadah yang sederhana
sahaja yang tidak meninggalkan ibadah yang fardhu tetapi ibadah kita itu
menghasilkan akhlak yang baik. Jadi sebab itulah, kalau kita beribadah sedangkan
ibadah kita tidak membuahkan akhlak yang baik, ia tidak boleh memberi kesan
kepada kehidupan masyarakat. Umat Islam ini tidak akan berpadu dan akibatnya
umat Islam ini tidak akan kuat dan ia tidak akan dapat membantu melahirkan
keselamatan dan keamanan di tengah masyarakat. Hanya akhlak yang baik yang dapat
dimiliki oleh seseorang itu sahaja yang dapat membantu melahirkan keamanan dan
keselamatan di tengah masyarakat.
Ramai orang yang beribadah takutkan Tuhan tidak ada di
dalam hati. Cintakan Tuhan apatah lagi. Seolah-olah ibadah itu tidak ada
hubungan dengan Tuhan. Ibadah sekadarkan hendak pahala dan fadhilat atau takut
Neraka. Kerana itulah ramai ahli ibadah melanggar syariat. Hidupnya tidak
berdisiplin, akhlak mereka rosak, mazmumah masih bermaharajalela, oleh itu
dipandang orang bukan Islam, Islam itu tidak indah. Apatah lagi ahli-ahli ibadah
itu bila diuji dengan kesusahan nampak tidak sabarnya. Tawakalnya tidak
ada,bakhil,tamak, pemarah terserlah dalam kehidupan mereka. Kadang-kadang
didalam perbualan nama tuhan kurang disebut. Yang disebut ibadahnya dan
kehidupannya. Syariat pun disebut hanya sekitar ibadah sahaja. Bukan syariat
didalam kehidupan yang lebih global dan menyeluruh. Kerana itulah ahli-ahli
ibadah orang tidak jatuh hati pada mereka. Ibadah mereka tidak membawa mereka
kepada sifat bertaqwa. Golongan ini termasuk orang yang tertipu dengan ibadah
mereka.
Ya Allah, Jadikanlah ibadahku padaMu ibarat pohon yang
subur dengannya menghasilkan buah yang banyak. Itulah akhlak yang mulia. Ya
Allah, terimalah ibadah hambaMu, Ya Allah.
Ulasan
Catat Ulasan